Karpal Singh sepakat dengan Harrusani?

| |
Apa yang tersimpan dalam perut pedal UMNO? Busuk sungguh. Merekalah sebagai pengadu domba. Merekalah pencetus isu agar timbulnya konflik antara agama. Merekalah juga pembakar api perkauman dan mereka ingin menggunakan undang-undang thagut dalam menjadikan mereka pemerintah kuku-besi disebalik keselamatan Negara. ISA adalah alat bagi pemuas nafsu keji UMNO bagi dan bakal digunakan terhadap musuh politik mereka.
Siapa sebenarnya dalang disebalik pembakaran gereja? Disebalik menggelegakkan isu perkataan Allah. Siapa disebalik perarakan kepala lembu di Shah Alam dalam mencetuskan ketegangan agama. Siapa disebalik demo penentangan DEB di Pulau Pinang yang kononnya penyelamat ekonomi melayu. Siapa di sebalik NGO Perkasa yang membakar semangat perkauman melayu. Siapa di sebalik pelbagai isu sensitif termasuk terakhir ‘isu khutbah dengan menyebut nama Lim Guang Eng. UMNO lah punca gejalanya yang kian terhimpit demi kuasa politik mereka. Tidak ketinggalan wayang MCA dalam menyalakan api tuntutan bangsa cina.
Mereka yang memalu gong agar mengikut tarian mereka. Akibatnya pimpinan dan penyokong PR yang akan menjadi mangsa. Alasannya mudah iaitu demi keselamatan Negara dan tanpa bicara boleh dihumban dalam ISA. Kenyataan Pemuda UMNO Terengganu dibawah ini adalah signalnya. Mereka bercakaran sesama mereka bak kata pepatah, gajah sesama gajah bertempur, kancil mati ditengah-tengah.

KUALA TERENGGANU Kerajaan diminta bertindak tegas terhadap mana-mana pihak yang cuba mencetuskan suasana tidak aman terhadap negara termasuk menahan mereka di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Setiausaha Pemuda UMNO negeri Terengganu, Apli Yusof berkata, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan pihak seumpama itu kerana ia akan memberi impak besar kepada kesejahteraan rakyat negara ini yang berbilang kaum. Menurutnya, dalam isu bahawa pihak tertentu cuba mewujudkan perlembagaan negara baru, ia harus dipandang serius dengan menjalankan siasatan terperinci supaya hak dan keistimewaan orang Melayu sentiasa terpelihara.

“Saya pernah dengar mengenainya sebelum ini, tapi sumbernya tidak berapa sahih dan dengan pendedahan terbaru ini, kita berharap kerajaan bertindak termasuk menahan individu terlibat dalam ISA. “Kita tidak mahu kesejahteraan tergugat dan tidak mustahil perlembagaan negara akan diubah jika Barisan Nasional (BN) tidak mampu mengekalkan kedudukan sebagai sebuah kerajaan,” katanya, semalam.
Beliau mendakwa, isi kandungan buku itu antara lain adalah mahu menyisihkan hak keistimewaan orang Melayu dan Islam yang dijamin dalam perlembagaan sekarang. Mengulas lanjut, Apli yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Nerus berkata, sebagai seorang mufti beliau percaya pendedahan dibuat Harussani itu bukan bermotif politik semata-mata.

Sebaliknya kata Apli, ulama itu berusaha menyelamatkan kedudukan agama Islam dan orang Melayu dengan mengemukakan perkara songsang yang sedang berlaku sekarang termasuk perlembagaan baru itu. “Kita bimbang apatah lagi golongan muda sekarang kurang faham mengenai perlembagaan negara dan atas sebab ini, kita mengadakan program memberi penerangan mengenai perlembagaan negara kepada 20,000 belia,” katanya.



Apakah Pemuda UMNO ini teramat jahil. Apakah sebenarnya perlembagaan persekutuan yang terlalu suci dan keramat buat Umno dan Tan Sri Harussani. Seolah-olah tidak boleh disentuh dan diubah.
Perlembagaan didefinisikan sebagai kumpulan peraturan atau undang-undang utama sama ada bertulis atau tidak bertulis di mana ianya merupakan peraturan yang menentukan bagaimana sesebuah negara ditadbir dan diurus dengan teratur. Ia juga menjadi neraca atau kayu ukur penting dalam menentukan pembahagian kuasa antara bidang pemerintahan dan pelaksanaannya. Oleh yang demikian, Perlembagaan ialah asset undang-undang tertinggi yang menjadi rujukan pemerintahan negara dan merupakan sumber utama bagi menggubal undang-undang yang lain.

Sejak tahun 1948, setiap negeri Melayu mempunyai perlembagaan masing-masing. Johor dan Terengganu telah pun mempunyai perlembagaan lebih awal lagi, masing-masing pada tahun 1895 dan 1911. Perlembagaan ini berteraskan syariah dan selari dengan pemerintahan melayu di negeri-negeri Tanah Melayu.
Kedatangan British telah merubah segala-galanya. Mereka memaksakan perlembagaan penjajah untuk diguna-pakai dibawah pemerintahan negeri-negeri selat dan di negeri-negeri bersekutu. Akhirnya termasuklah negeri-negeri tidak bersekutu juga meminda undang –undang dan perlembagaan supaya sesuai dengan kehendak Perjanjian Persekutaun 1948.

Adapun Perlembagaan Persekutuan 1957 yang mengandungi 183 perkara merupakan undang-undang tertinggi di Malaysia dan menjadi dokumen terpenting dalam bentuk undang-undang bertulis yang berasaskan kepada dua dokumen terdahulu iaitu Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 dan Perlembagaan Kemerdekaan tahun 1957. Perlembagaan ini menjadi begitu tinggi dan tidak boleh dicabar dengan menyisihkan undang-undang dan peraturan Islam yang berteraskan al-Quran dan al-Hadis serta qias dan Ijma’ ulama. Ia telah dikesampingkan meskipun diguna-pakai berates tahun lamanya.
Begitulah nasib yang dihadapi bukan sahaja di Tanah Melayu bahkan disemua Negara jajahan penjajah kolonial kristian di Negara umat Islam. Ia meletakkan dasar pluralism dalam agama-agama dan meletakkan agenda sekularisme dalam pentadbiran dan pemerintahan. Ia merangka prinsip Rukun Negara atau Panca Sila di Indonesia.

Suruhanjaya Reid ditubuhkan pada bulan Mac 1956, satu Jawatankuasa Perlembagaan telah dibentuk bagi mengkaji dan merangka Perlembagaan Persekutuan bagi mewujudkan sebuah kerajaan pusat. Jawatankuasa yang diketuai oleh Lord Reid ini turut dianggotai oleh Sir Ivor Jennings, Sir William Mckell, En. B. Malik dan En. Abdul Hamid. Pada bulan Februari 1957, Suruhanjaya Reid telah menyiarkan penyataannya mengenai Perlembagaan Tanah Melayu merdeka. Dengan terbitnya Penyata tersebut, maka sekali lagi suasana politik dalam negeri telah menjadi keruh. Orang melayu termasuk ahli-ahli UMNO pada umumnya menganggap Penyata Reid itu 'terkeluar daripada cadangan UMNO dan Perikatan'. Pada pandangan ahli-ahli UMNO sekiranya cadangan perlembagaan Suruhanjaya Reid itu diterima sepenuhnya nescaya orang Melayu akan menerima bencana besar. Seorang ahli UMNO mengeluh:

Banyak syor-syor dan tuntutan-tuntutan daripada orang-orang dan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang telah dimajukan kepada Suruhanjaya itu yang bercorak mempertahankan hak-hak Melayu itu nampaknya dikecualikan penyata tersebut, sebaliknya tuntutan orang-orang dan petubuhan-pertubuhan daripada bangsa yang bukan Melayu yang telah menuntut persamaan hak dengan orang-orang Melayu itu telah mendapat layanan dalam penyata itu. Tetapi isu yang paling hangat dibicarakan ialah mengenai kerakyatan berasaskan prinsip jus soli dan isu bahasa.
Sementara itu satu perhimpunan telah berlangsung di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 4-7 Mei 1957 yang ditaja oleh ahli-ahli UMNO yang tidak puas hati untuk membincangkan laporan deraf Perlembagaan. Turut terlibat dalam perhimpunan itu yang dikenali sebagai Kongres Melayu 1957 itu ialah PAS, Parti Negara dan Parti Rakyat. Perhimpunan itu telah mengemukakan beberapa tuntutan, diantaranya menuntut supaya syarat-syarat pemberian kerakyatan diperketatkan, menolak kerakyatan komonwel dan menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan. Perhimpunan itu juga mendesak agar agama Islam bukan hanya diisytihar sebagai agama rasmi tetapi juga sebagai asas pemerintahan negara. Memorandum Kongres itu telah dikemukakan kepada Tunku untuk dijadikan pedoman semasa berunding dengan Kerajaan British, tetapi telah ditolak.

Syed Jaafar Albar, Setiausaha Penerangan UMNO telah melepaskan jawatannya kerana tidak berpuashati dengan keputusan itu. Bagi mengelakkan ahli-ahli UMNO dan penyokong- penyokongnya daripada terpengaruh dan terkeliru oleh dakyah-dakyah lawan, UMNO telah mengadakan Perhimpinan Agung pada 28 Mac 1957 di Kuala Lumpur untuk menerangkan perkembangan dalam rundingan Jawatankuasa Kerja dan pendirian UMNO terhadap Penyata Reid. Tunku Abdul Rahman memberi jaminan bahawa beliau tidak akan berganjak untuk mempertahan kehendak rakyat. Tetapi hakikatnya Pada 10 Mei 1957 Tunku telah mengepalai rombongan untuk kali ketiga ke London berbincang dengan kerajaan British tentang kemerdekaan. Rombongan itu bertolak ke London dan berada di sana selama 15 hari.Tunku Abdul Rahman, Dato Abdul Razak, Ong Yoke Lim, V.Y. Sambanthan dan Tunku Ismail. Hakikatnya sebagai pewaris penjajah maka perlembagaan penjajah terpaksa diterima dan dijunjung sebagai pra-syarat sebuah kemerdekaan.Hari ini barulah kelihatan kesan daripada tindakan pimpinan UMNO itu. PAS telah lama tidak bersekongkol sebab kepimpinan PAS mengetahui bahawa dasar penjajah itu akan mengkhianati bangsa melayu dan umat Islam di Tanah Melayu sendiri. Lihatlah. Siapa yang khianat siapa?

Sebagai perbandingan sejarah Islam telah merekodkan Nabi Muhammad s.a.w dalam usaha mewujudkan persefahaman antara pelbagai kelompok dalam masyarakat Madinah pada waktu itu, maka terbentuklah perlembagaan pertama yang dikenali sebagai Sahifah iaitu kanun tingkah laku atau piagam yang memperincikan hak dan kewajipan pemerintah dan rakyat. Catatan mengenai Perlembagaan ini banyak diterangkan oleh sarjana Islam seperti Ibn Ishaq, Abu Ubaid, Ibn Kathir, Ibn Abi Kyathaman dan lain-lain dalam banyak bahan penulisan dan kritikan mereka.

Perlembagan Madinah turut merangkumi asas hubungan dan penyatuan antara kaum Muhajirin dan Ansar, termasuk juga beberapa fasal penting mengenai perjanjian dengan kaum Yahudi. Antara lain fasal mengenai jaminan agama dan harta serta peruntukan mengenai kewajipan masing-masing terhadap negara dan kaum lain. Jumlah keseluruhan fasal yang terkandung di dalam Piagam Madinah ini adalah 47 fasal di mana dua puluh empat daripadanya menyentuh peruntukan hak dan kewajipan orang Yahudi yang merupakan kelompok minoriti bukan Islam. Perlembagaan pertama dalam sejarah peradaban Islam ini adalah manifestasi pendirian Islam berteraskan prinsip keadilan yang tercermin melalui sikap dan peribadi Rasulullah yang bersedia berunding dan menjamin hak masyarakat bukan Islam di Madinah.

Tetapi yang menjadi pokok serta dasarnya adalah tiada peruntukan undang-undang yang mengatasi ketentuan Allah dan Rasul yang menjadi sumber perundangan. Kenapa kita setelah merdeka lebih daripada separuh abad tetapi masih kemas berpegang dengan perlembagaan tersebut sehingga dianggap terlalu suci bagi sesetengah pihak. Khususnya kepada mereka yang berumur seusia dengan perlembagaan tersebut. Mereka sepakat menjadikannya sebagai rujukan tertinggi. Karpal Singh menyanggah kenyataan Tok Guru Nik Aziz kerana hudud bertentangan dengan Perlembagaan Malaysia yang sekular dan Harrussani menyanggah seolah adanya perlembagaan baru yang nak menghapuskan perlembagaan sedia ada. Adakah perlembagaan Lord Reid itu suci? Keramat? sedangkan ianya sekular! Jangan sentuh! Inikah yang disepakati oleh Harrusani termasuk Karpal Singh?

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...