Tiada air yang boleh menyucikan dosa Pengkhianat

| | 1 comments

Kalau Iblis sebagai tokoh pengkhianat no satu, nescaya setiap zaman dan masa pasti akan ada para pengikutnya. Ia pasti akan merekrut untuk turut menjadikan manusia musuh kepada pembawa risalah Allah Swt. Bermula dengan anak Nabi Adam a.s pernah terpedaya, anak dan isteri Nabi Nuh, isteri nabi Lut dan berterusan setiap zaman. Peringatan Allah Swt dalam surah at-Taghabun ayat 14 menyebut:


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آَمَنُوا إِنَّ مِنْ أَزْوَاجِكُمْ وَأَوْلَادِكُمْ عَدُوًّا لَكُمْ فَاحْذَرُوهُمْ
Wahai orang-orang yang beriman. Sesungguhnya isteri-isteri dan anak-anak kamu boleh menjadi musuh kepada kamu, maka berhati-hatilah.

Kalau anak dan isteri serta ahli keluarga yang rapat boleh menjadi musuh apatah lagi para pengikut dari kalangan kaum nabi tersebut menjadi pengkhianat kepada perjuangan nabi-nabi mareka.

Qarun, yang khianat kepada Nabi Musa a.s merupakan sepupu, setiusaha kepada Baginda serta penulis Kitab Taurat sanggup khianat dan bersekongkol dengan Firaun. Nabi Isa pernah dikhianati oleh kaumnya sendiri. Apatah lagi para pengikut yang tidak sabar dengan tawaran kebendaan yang lumayan. Para mujahid menjadi khianat apabila terpesona dengan rampasan perang yang merupakan ghanimah lalu diambil untuk menjadi miliknya. Peringatan Allah dijelaskan dalam firmanNya:

وَمَا كَانَ لِنَبِيٍّ أَنْ يَغُلَّ وَمَنْ يَغْلُلْ يَأْتِ بِمَا غَلَّ يَوْمَ الْقِيَامَةِ ثُمَّ تُوَفَّى كُلُّ نَفْسٍ مَا كَسَبَتْ وَهُمْ لَا يُظْلَمُونَ
Tidak mungkin seorang nabi berkhianat (ghanimah), barangsiapa yang berkhianat (mengambil ghanimah), maka pada hari kiamat ia akan datang membawa apa yang dikhianatkannya itu, kemudian tiap-tiap diri akan diberi pembalasan tentang apa yang ia kerjakan dengan (pembalasan) setimpal, sedang mereka tidak dianiaya. Al-Imran : 161

Sejarah terkemudian mempamerkan para pengkhianat ini mendapat tempat bahkan kuasa pemerintahan, harta benda tetapi ia tetap dikenang sebagai pengkhianat kepada perjuangan. Setiap sejarah kejatuhan kerajaan dan kepimpinan Islam, maka pasti ada dibelakang tabir itu tangan para pengkhianat yang membawa saham kejatuhan perjuangan Islam. Kamal Atarturk, sebagai jeneral ketika itu sanggup mengkhianati Sultan Abdul Hamed dengan menjadi tali barut kepada tentera British dan Yahudi yang akhirnya menumbangkan Khilafah Uthmaniyyah Turki pada tahun 1924 dan mensekularkan Turki daripada pengaruh Islam. Kejatuhan kerajaan al-Hamra’ Andalusia (1942) akibat daripada pengkianatan pemimpin terhadap Islam. Kalaulah Drakula mengkhianati Muhammad al-Fateh, kejatuhan kerajaan Melaka juga adanya para pengkhianat seperti Si Kitul dan Datuk Mandeliar yang menggunakan tawaran harta yang mengelabui laksamana yang akhirnya membuat onar. Pembunuhan Mufti Datuk Maharaja Lela dan si Putung, ada kisah pengkhianatan disebaliknya. Pembunuhan Tok Janggut serta peperangan terhadap Tuan guru Hj Abd. Rahman Limbong, ada siri penghianatan yang disembunyikan disebalik lipatan sejarah dikalangan anak bangsa mereka sendiri.

Sebenarnya para pejuang sebenar yang terdiri dari para ulama yang berjuang dengan ikhlas, mengharungi berbagai onak dan duri, biasanya dikhianati apabila kejayaan telah didepan mata dan kemenangan telah mula diraih. Mereka tidak sabar melihat pangkat dan kuasa, melihat kebendaan yang melimpah. Bahkan terasa kemenangan itu mahu disegerakan. Lihatlah para pejuang kemerdekaan dari kalangan ulama di pasentren-pasentren yang berjuang dan berjihad sekian lama. Tetapi ketika hampir merdeka, Sukarno akhirnya menjadi pemimpin dan mengistiharkan Indonesia sebagai negara sekular pada tahun 1945. Orang yang bertungkus lumus memperjuangkan kemerdekaan dan pembebasan di Tanah Melayu dipenjara dan dipinggirkan. Golongan talibarut British sebagai galang-ganti penjajah akhirnya dinobatkan sebagai pemimpin dan mengekalkan Tanah Melayu sebagai negera sekular sehingga kini.

Perhitungan sebenarnya adalah sejauhmana daya istiqamah mampu bertahan dalam diri seorang pejuang apabila tawaran menghianati perjuangannya merintangi diri mereka. Sabarkah mereka. Yakinkah mereka. Sultan Abdul Hameed pernah ditawarkan oleh Theodore Hertz , seorang Yahudi pengasas Jews State sebanyak 150 juta keeping emas untuk menyerahkan Palestine kepada Yahudi tetapi beliau menolaknya. Tetapi berapakah bayarannya menyebabkan Anuar Sadat menghulurkan penyerahan Palestine dalam Perjanjian Camd David pada tahun 1978?

Pengkhianat merupakan pelaku dosa besar. Tergolong daripada salah satu daripada 7 dosa yang membinasakan. Mereka lari dari perjuangan dengan pelbagai alasan yang direka-reka untuk membenarkan dakwaan. Bahkan mereka menjadi lebih jahat daripada musuh yang mereka pernah musuhi sebelum ini. Mereka sanggip menjilat segala ingus dan kahak yang mereka lemparkan dulu bahkan kini mereka sanggup pula bersumpah dengan pelbagai sumpah untuk menegakkan benang yang basah. Kerana itu Allah Swt telah memperingatkan kita agar jangan terjebak dalam temberang mereka ini sebagaimana firmanNya:

وَلَا تُطِعْ كُلَّ حَلَّافٍ مَهِينٍ . هَمَّازٍ مَشَّاءٍ بِنَمِيمٍ . مَنَّاعٍ لِلْخَيْرِ مُعْتَدٍ أَثِيمٍ
“Janganlah kamu terpengaruh dengan golongan pengkhianat tersebut yang selalu bersumpah dan hina sikap dan amalannya, lagi yang selalu mencela dan menyebarkan fitnah untuk perpecahan (umat) menolak segala kebajikan (dan kemajuan orang), mereka yang melampau dan menentang (ajaran agama) dan melakukan dosa.” Surah al-Qalam

Orang yang khinat dan lari perjuangan ini tidak dikaffarahkan dosa-dosa mereka. Tiada air yang boleh menyucikan mereka sebagaimana sabda Rasulullah Saw:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَال : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ لَقِيَ اللَّهَ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا وَأَدَّى زَكَاةَ مَالِهِ طَيِّبًا بِهَا نَفْسُهُ مُحْتَسِبًا وَسَمِعَ وَأَطَاعَ فَلَهُ الْجَنَّةُ أَوْ دَخَلَ الْجَنَّةَ وَخَمْسٌ لَيْسَ لَهُنَّ كَفَّارَةٌ الشِّرْكُ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ وَقَتْلُ النَّفْسِ بِغَيْرِ حَقٍّ أَوْ نَهْبُ مُؤْمِنٍ أَوْ الْفِرَارُ يَوْمَ الزَّحْفِ أَوْ يَمِينٌ صَابِرَةٌ يَقْتَطِعُ بِهَا مَالًا بِغَيْرِ حَقٍّ
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: “Barangsiapa bertemu Allah dengan tidak syirik kepadaNya, dia menunaikan zakat hartanya dengan cara yang baik dan berhati-hati, dia bersifat mendengar dan taat nescaya baginya syurga atau masuk syurga dan lima perkara yang tiada kafarah dosanya, syirik kepada Allah azzawajalla, membunuh diri dengan tidak sebenar, merampas barangan mukmin, lari dari medan perjuangan dan orang bersumpah palsu untuk mendapatkan harta yang bukan haknya.” Hadis riwayat Ahmad.

Golongan pengkhianat ini hina di dunia dan hina di akhirat. Mereka disebut dalam hadis Rasulullah Saw sebagai pembawa bendera khianat di padang mahsyar kelak dan akan dikenali sebagai pengkhianat. Betapa hidupnya tercela di akhirat bahkan semenjak di dunia ini lagi. Mereka ini duduk didalam kelambu perjuangan tetapi akhirnya sanggup berpindah dan merempat hina ditepi longkang musuh dengan menadah tempurung mengharapkan kepentingan duniawi.

قُلْ مَتَاعُ الدُّنْيَا قَلِيلٌ وَالْآَخِرَةُ خَيْرٌ لِمَنِ اتَّقَى
Katakanlah, ni’mat dunia ini hanyalah sedikit dan akhirat itu terlebih baik bagi orang yang takut

Cuba perhatikan daya istiqamah para sahabat dan semangat perjuangan mereka. Cuba lihat bagaimana Abdullah bin Hadzafah As-Sahmi r.a. yang pergi menemui Raja Rom, lalu beliau melihat jasad-jasad kaum Muslimin yang direbus di dalam kuali-kuali besar. Maka si raja berkata kepadanya: “Mahukah kamu kembali dari agamamu (murtad dari Islam) dan kamu akan mendapatkan setengah dari kerajaanku?!”. Dengan tegas Abdullah mengatakan: “Demi Dzat yang tidak ada Tuhan selainNya, seandainya kamu memberikan semua kerajaanmu dan kerajaan bapa dan nenek moyangmu, supaya saya kembali sedikitpun dari agamaku, saya tidak akan melakukan hal itu!”.

Bahkan sebahagian kaum Muslimin ada yang dibakar dengan api, namun mereka tetap tegar mempertahankan kalimat “Laa Ilaaha Illallah, Muhammadur Rasulullah” sehingga mereka menemui ajal. Malah turut dikisahkan bahawa seorang sahabat ketika hendak dicampak ke dalam api oleh seorang kafir telah menangis sambil berkata: “Aku menangis bukan kerana takut mati, aku menangis kerana aku hanya ada satu nyawa sahaja. Seandainya aku mempunyai nyawa sebanyak bulu roma di badanku, maka satu demi satu akan kukorbankan untuk agama!”.

Semoga Allah mengkategorikan kita dari kalangan mereka insyaAllah.

Read More !

Bloggers Ruwaibidhah?

| | 0 comments


Kelapa setandan tidak semuanya elok meskipun datang dari pokok yang sama. Ada juga kekadangnya yang komeng dan ada yang diakibatkan oleh anasir luar apabila ditebuk tupai. Yang peliknya buah-buah komeng seperti ini, dok syok lagi mendakwa dia adalah buah yang terbaik. Sanggup mengkritik teman-temannya yang lain dan tetap mendakwa ‘kekomengannya’ itu hebat dan terpilih apatah lagi dia membawa sikap lain pada yang lain. Sikap syok sendiri ini adalah akibat daripada kebodohan dan biasalah, tin yang tak penuh atau kosong kuat bunyinya daripada yang penuh. Makin lama makin kelihatanlah kebodohannya.

Mereka mendakwa ahli PAS dan pendokong PAS. Kalau tidak benarnya dia, ia adalah akibat dari kegagalan tarbiyyah PAS. Apa yang dilakukan adalah untuk menjaga parti dan menegakkan kebenaran, kononnya. Inilah golongan-golongan beruang yang terlalu sayangkan tuannya, ditamparnya lalat yang hinggap diatas muka tuannya dengan alasan supaya tidak menganggu tuannya tidur, tetapi kebodohannya itulah yang menyebabkan muka tuannya koyak rabak sedangkan lalat terbang lari. Marahkan pepijat, kelambu dibakarnya. Sebenarnya inilah kegagalan dirinya didalam menjadi amilin serta menerima tarbiyyah PAS atau sebenarnya inilah nyior komeng yang bertengek dan menumpang ditandan PAS atau parasit yang sedang menyerap untuk membunuh pokok PAS yang telah mula merendang.

Kita jangan lupa bahawa dunia ini milik Allah SWT. Allah pasti menjaga dan mentarbiyyah secara langsung golongan pendokong Hizbullah. Walaupun mereka membuat perancangan, pastinya akan terbongkar jua. Sejak PAS ditubuhkan sudah banyak individu dan kumpulan cuba mencorakkan PAS kearah kehendak sendiri tetapi akhirnya mereka sendiri gugur dan tergelincir. Hanya mereka yang ikhlas sahaja yang akan tinggal dan mereka yang sentiasa melengkapkan ciri-ciri sebagai pendokong Hizbullah tersebut. Mereka yang gagal bukan bermakna gerakan islam seperti PAS akan gagal. Allah SWT pasti akan menyediakan golongan-golongan yang ikhlas terus mendokong perjuangan ini. Firman Allah SWT dalam surah at-Taubah : 39

إِلَّا تَنْفِرُوا يُعَذِّبْكُمْ عَذَابًا أَلِيمًا وَيَسْتَبْدِلْ قَوْمًا غَيْرَكُمْ وَلَا تَضُرُّوهُ شَيْئًا وَاللَّهُ عَلَى كُلِّ شَيْءٍ قَدِيرٌ
Jika kamu tidak berangkat (berjihad), nescaya Allah menyeksa kamu dengan seksa yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudharatan kepada-Nya sedikitpun. Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu.

Yang peliknya, golongan inilah yang mendakwa sebagai pengislah. Ia menjadi juara ummah. Dialah sebagai tokoh reform. Dialah sebagai jurucakap yang patut didengar dan disokong… dialah… dialah…. Tapi hakikatnya golongan ini adalah golongan ‘RUWAIBIDHAH’. Dia mencelah dan menonjol diri ketika masyarakat bercelaru dalam membezakan antara Hak dan Batil. Antara siapa yang benar dan siapa yang khianat. Mereka menggunakan pelbagai media untuk mengelabui kebenaran. Jadi apa bezanya dengan tindakan dan pelakuan para pemimpin UMNO BN yang sekian lama menggunakan pelbagai medium sebagai propaganda yang menyebabkan mereka terus berkuasa meskipun terus berbohong dan khianat kepada amanah rakyat. Tetapi mereka diberi kepercayaan dan bercakap bagi pihak orang-ramai, kononnya merekalah juara rakyat pembela ummah, tokoh pejuang dan sebagainya. Perkara ini sudah disebut oleh Rasulullah Saw dengan sabdanya:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَيَأْتِي عَلَى النَّاسِ سَنَوَاتٌ خَدَّاعَاتُ يُصَدَّقُ فِيهَا الْكَاذِبُ وَيُكَذَّبُ فِيهَا الصَّادِقُ وَيُؤْتَمَنُ فِيهَا الْخَائِنُ وَيُخَوَّنُ فِيهَا الْأَمِينُ وَيَنْطِقُ فِيهَا الرُّوَيْبِضَةُ قِيلَ وَمَا الرُّوَيْبِضَةُ قَالَ الرَّجُلُ التَّافِهُ فِي أَمْرِ الْعَامَّةِ
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: “Akan datang kepada manusia tahun-tahun yang penuh tipu-daya. Ketika itu golongan benar dikatakankan pembohong dan golongan pembohong dikatakan benar. Orang yang khianat dipercayai dan orang-orang yang benar dikhianati dan para ruwaibidhah akan menjadi jurucakapnya”. Sahabat bertanya: Siapa itu ruwaibidhah? Sabda Baginda: “Orang yang bodoh dalam urusan orang-ramai”

Allah akan sentiasa menapis golongan yang benar dan golongan yang khianat ini. Hanya masa sahaja yang menentukan. Ingatlah orang yang benar dan khianat memang tidak boleh duduk dalam satu jamaah. Apatah lagi sebuah gerakan Islam. Rasulullah Saw bersabda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لَا يَجْتَمِعُ الْإِيمَانُ وَالْكُفْرُ فِي قَلْبِ امْرِئٍ وَلَا يَجْتَمِعُ الصِّدْقُ وَالْكَذِبُ جَمِيعًا وَلَا تَجْتَمِعُ الْخِيَانَةُ وَالْأَمَانَةُ جَمِيعًا
Dari Abu harairah r.a bahawa Rasulullah Saw bersabda : “Tidak akan berhimpun iman dan kufur dalam rongga hati seseorang dan tidak akan berhimpun yang benar dan yang dusta serta takkan berhimpun sekali khianat dan amanah”

Kerana itu jika orang yang khianat dalam perjuangan itu melompat parti itu adalah normal dan merupakan proses penyucian. Yang payah dan sukar mereka yang menjadi tali barut dalam lipatan. Munafik dicelah-celah perjuangan. Menjadi parasit untuk menyuntik racun berbisa bagi memporak perandakan ukhuwwah dan perjuangan. Golongan ini menghunuskan pedangnya ke tengkok orang mukmin dan sahabat seperjuangan dan tidak kepada musuh. Ia sanggup menjadi khianat dan menipu. Munasabahlah mereka ini tidak diakui sebagai umat Muhammad Saw sebagaimana sabda Baginda:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ : أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَنْ حَمَلَ عَلَيْنَا السِّلَاحَ فَلَيْسَ مِنَّا وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Dari Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah S.a.w bersabda: “barangsiapa yang mengacu senjata kepada kami ia bukan dari kalangan kami, dan barangsiapa menipu kami dia bukan dari kalangan kami”. Hadis riwayat Muslim.


Media internet yang merupakan medan terbuka yang perlu dimanfaatkanlah sebaik mungkin demi perjuangan. Gunakan sebagai medan jihad untuk menyampaikan mesej parti dan kembalikan segala perancangan jahat musuh kepada mereka semula. Pepatah arab menyebutkan: “, Syair dilawan syair, khutbah dilawan khutbah dan pedang melawan pedang” lawanlah dengan senjata yang digunakan musuh. Gunakanlah laman-laman web, blog, facebook, twitter dan sebagainya untuk menghambat musuh Allah. Tetapi jangan sekali-kali terjebak dengan tipu daya musuh Allah yang tanpa disedari kita mengkhianati perjuangan ini. Kita menjadi musuh kepada perjuangan Islam ini. Tangan-tangan kita menjadi penyambung kepada lidah para musuh atau menjadi tunggangan musuh.

Ingatlah. Anak Adam a.s, Qabil memikul setiap dosa membunuh yang dilakukan oleh manusia sehingga ke hari kiamat. kerana beliaulah pengasas agenda pembunuhan. janganlah kita menghimpun pengikut dan pendokong pada perkara yang dilarang. Janganlah kita gunakan kebebasan pada pandangan manusia keluar dari kebebasan yang diharamkan Allah swt. Awas!Jangan pula bloggers menjadi goblog maupun Ruwaibidhah. والعيز من ذلك

Read More !

SAYA TAK NAK JADI AHLI VETERAN PAS!

| | 2 comments

Baru-baru ni dalam satu majlis kenduri kahwin, saya bertemu dengan salah seorang tokoh lama dalam memperjuangkan Parti PAS kawasan Dungun ini. Beliau pernah memegang setiausaha Pemuda Pas era 60an -70an. Umurnya sudah nak mencecah 80 tahun. Pernah jatuh sakit dan alhamdulillah kini agak pulih kembali. Apabila saya bertanya khabar kepada beliau sambil menceritakan era perjuangan beliau kepada orang-orang muda yang mungkin tidak mengenali beliau… nampaknya beliau menjadi semangat kembali. Seolah-olah darah anak muda dihadapan beliau itu menyerapi kerangka tubuh yang agak usang. Beliau lantas berkata: “ ana tidak sudi dikategorikan veteran PAS, ana taknak orang bagi hadiah kepada ana sebagai ahli kelab veteran!”. Segera saya bertanya: “Kenapa?. Takkan tak sudi?”. “Bukan. Tapi ana bekerja didalam PAS, tidak ada masa muda atau masa veteran. Ana akan bekerja sampai mati. Mana ada istilah veteran dalam perjuangan!”.

Fuhhh.. Lihatlah saudara ku sekelian. Darah orang berjuang dijalan Allah ini manis. Sentiasa segar mengalir bagi mengabdikan jasad kepada perjuangan Tuhannya sehingga lupus dari bumi yang fana’ ini. Ia menjadi pembakar semangat untuk kita generasi pelapis untuk rasa malu dengan daya tahan yang dimiliki oleh mereka. Perjuangan yang penuh dengan onak dan duri.. tetapi ikhlas tidak mengharapkan apa-apa walau sekelumit tetapi hanya mengharapkan kemenangan Islam semata-mata mencari keredhaan Allah Rabbul jalil. Memang berkesan tarbiyyah mereka terdahulu. Mereka semua ini pernah mendapat sentuhan Tuan Guru Haji Zainal Abidin yang merupakan pengasas Pas di Terengganu yang berpusat di Pondoknya Madrasah az-Zainiyyah di Sura Gate pada 6 Julai 1956 dan beliau dilantik menjadi Yang Dipertua Pas kawasan Dungun yang pertama pada tahun 1956 dan melepaskan jawatannya pada tahun 1971 kerana keuzuran dan istiqamah dengan Pas sehingga beliau kembali ke rahmatullah pada 20 Ramadhan 1976.

menemani Tuan Guru Presiden menziarahi Ust Hj Wan abas di tebing Tembah

Antara pengasas Pas yang hadir di Madrasah az-Zainiyyah dalam penubuhan Pas di Terengganu pada tahun 1956 itu yang masih hidup adalah Ustaz Hj Wan Abas yang kini tinggal di tebing Tembah dan merupakan antara tokoh penting dalam mengembangkan Pas di Dungun dan Paka. Beliau juga sebagai murid kepada Tok Guru Hj. Bidin. Sebagai guru agama, beliau bukan sekadar menyampai dan menyebarkan pengajaran Islam kepada masyarakat setempat bahkan mentarbiyyah masyarakat supaya bekerja dalam amal jamaie bersama Parti Islam Pas. Walaupun kini beliau menghidapi berbagai penyakit dan uzur, apatah lagi faktor umur tetapi semangat perjuangan tidak pernah luntur. Semenjak kecil lagi saya mendapat ilmu daripada kuliah-kuliah beliau dan sangat dikenali kesungguhan dalam berdakwah sehingga seluruh Paka termasuk Felda dan Ketengah termasuk kawasan ulu Dungun. Setiap kali kalau Ustaz di ziarahi nescaya beliau sentiasa menceritakan perit getir Pas dalam era perjuangan awalnya. Berkat kesabaran, Pas berkembang khususnya di cawangan tebing Tembah bersama rakan-rakan dan keluarga beserta anak dan menantunya.

ketika menziarahi Hj wahab Yunus


Ketika menziarahi Hj Wahab Yunus yang diserang penyakit ahmar baru-baru ini, meskipun tubuh beliau lumpuh separuh badan tetapi tidak melumpuhkan ingatan serta daya juangnya. Minatnya dalam membaca, menulis apatah lagi kalau menceritakan tentang sejarah perjuangan… nescaya wajahnya menjadi ceria. "Semoga panjang umur, banyak lagi ana nak tulis sejarah Pas ni. blum selesai lagi" ucapnya. Terlupa keadaan yang menimpanya dan seolah kembali muda semula. Apatah lagi sebagai Pengerusi Persatuan Sejarah Dungun sudah pasti beliau memiliki pelbagai nostalgia penuh liku perjuangan. Beliau selaku anak saudara kepada Tok Guru Hj Bidin dan pelajar di Pondok Sura Gate adalah orang yang menyusun kerusi semasa program penubuhan Pas 1956 itu. Akhirnya beliau pernah menjadi Adun Ulu Dungun pada 1964 hingga 1969, Ahli Parlimen Dungun (1969-1978); Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Beliau yang menyertai PAS pada 9 Ogos 1956 pernah memegang jawatan Setiausaha Dewan Pemuda PAS(DPP) Kawasan Dungun (1957-1960), Ketua DPP Dungun (1960-1961), Setiausaha PAS Kawasan Dungun (1960-1975), Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun (1979-1983), Ketua DPP Negeri Terengganu (1965-1969), Bendahari, Setiausaha dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu (1968-1975), Pesuruhjaya PAS Terengganu (1975-1982), Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1973-1975), Bendahari Agung PAS (1977-1979) danAJK PAS Pusat (1979-1983). Mutakhir beliau sempat bersama menubuhkan SRABZA (Sek. Ren. Agama Bersepadu Zainal Abidin) di Dungun bersama Sri Darul Bayan dalam memberi khidmat pendidikan alternatif Islam kepada masyarakat. Semoga Allah menjadikan semua amalnya sebagai ibadah, InsyaAllah.

Pernah mengunjungi Hj Wahab untuk bertanyakan sejarah Pas Dungun beberapa tahun lalu


Salah satu cara dalam meneruskan perjuangan dan meningkatkan daya istiqamah kita adalah melalui ziarah pimpinan dan ulama. Kisah-kisah getir mereka dalam perjuangan yang kita dengar secara langsung dari lidah mereka sendiri mempunyai terapi perjuangan yang tersendiri. Ia membangkitkan emosi, spiritual, mental serta roh kita untuk turut sama menjejaki denai yang dilalui oleh mereka bagi mengecapi sedikit kemanisan perjuangan yang diperolehi mereka.

Teringat buku catatan Mujahid Umar Tilmisani, pimpinan Ikhwan muslimin Mesir yang bertajuk “ Baina Hikmatus Suyukh wa hamasatus Syabab” (Antara Hikmah orang Veteran dan Semangan Generasi Muda) yang menyarankan gabungan mantap antara ilmu dan pengalaman pimpinan dan pejuang orang lama dengan dan semangat dan fizikal kental generasi pelapis pemuda dewasa kini. Selalulah menziarahi mereka untuk mengutip mutiara hikmah sebelum ianya hilang dari pandangan.

Read More !

Bila Royalti Akan Di Kembalikan?

| | 0 comments

Program Dialog Perdana bersama dengan Ku Li berjalan dengan lancar. Meskipun berbagai usaha yang cuba dilakukan untuk menggagal dan menggangu gugat program tidak berjaya. Yang paling lucu adalah kepala-kepala kat Jabatan Agama Terengganu (JHEAT) sibuk sekali bermesyuarat, memanggil pegawai-pegawai masjid terapung Kuala ibai sebagai tempat untuk solat hajat & munajat berbincang untuk menghalang solat hajat diadakan disitu. Hatta ada yang beri pandangan agar jangan guna pembesar suara seolah ia rosak. Cadangan adalah untuk segera menutup suiz mic agar tidak diggunakan oleh sidang jamaah untuk solat hajat.
Ust Zainal al-hafiz (bekas timbalan mufti Terengganu) yang menjadi imam solat juga cuba dihalang. Nak solat hajat kat masjid pun payah ke? Klu sembahyang tengah padang pun salah. Kat masjid pun salah? ish3x. Pihak polis hendak digunakan seolah program itu tiada permit. Solat hajat kena permit polis ke??? Tetapi akhirnya segala perancangan itu gagal. Nampak sangat ia cuba diperkudakan oleh UMNO dan jadi tali barut BN. Ia sebenarnya menjadi tidak selesa kepada pegawai-pegawai masjid sendiri dalam bermuamalah dengan jamaah. Para pegawai JHEAT yang nak mengampu kerajaan UMNO BN itu tidak melakukan sendiri tetapi cuba untuk memaksakan imam & bilal sebagai terompah mereka. Apapun alhamdulillah, perancangan mereka gagal. Program semalam pun selesai dengan cara yang baik.. sebenarnya ia tidak menimbulkan masalah kecuali jika pihak UMNO yang cuba cari jalan untuk jadikannya masalah.

وَمَكَرُوا وَمَكَرَ اللَّهُ وَاللَّهُ خَيْرُ الْمَاكِرِينَ
Dan mereka cuba membuat tipudaya dan Allah juga membuat perancangan dan sesungguhnya Allah adal sebaik-baik membuat tipudaya. al-Imran 54

Apapun program dialog semalam berjaya menggamit beribu hadirin yang datang dalam siri mengingati perjuangan 10 tahun hak royalti yang telah dinafikan daripada kerajaan negeri Terengganu hasil perjanjian kerajaan negeri dengan pihak petronas. Meskipun kerajaan yang memerintah kini adalah kerajaan UMNO BN tetapi pihak PAS konsisten menuntut hak yang menjadi milik rakyat Terengganu. Kalaulah royalti dikembalikan, takde apapun yang PAS dapat tetapi perjuangan adalah menggembalikan yang empunya hak daripada si zalim yang melakukan pengkhianatan. Pengkhianatan UMNO ini kini terasa oleh kerajaan yang memerintah Terengganu kini. tetapi apabila bertembung antara kepentingan peribadi dan rakyat, pemimpin UMNO lebih utamakan kepentingan pangkat, kuasa serta kekayaan pribadi mereka sendiri meskipun hak rakyat terpaksa dinafikan.

Meskipun umur sudah dipenghujung, kepentingan politik sempit mereka masih mengatasi kebenaran. lihatlah DS Wan Moktar bekas MB Terengganu yang sudah berpuluh tahun memerintah dengan hasil royalti sanggup menafikannya dan menyatakannya sebagai ehsan ketika PAS memerintah dan apabila UMNO kembali berkuasa dia pula terhegeh-hegeh mendesak supaya kerajaan pusat mengembalikan royalti kepada kejaan negeri Terengganu. Dunia kata pergi dan kubur kata mari dah... sepatutnya berkatalah kebenaran meskipun pahit. janganlah khianat sehingga ke lubang kubur.
Ku li dalam dialognya bermula ucapan serta jawapan-jawapan yang diberi sehingga ke akhir sessi begitu jelas konsistennya sebagai 'Tokey Petronas' pertama yang menggubal akta petroleum serta menandatangani banyak perjanjian petronas dengan negeri-negeri disemenanjung yang tetap mengiktiraf tentang hak royalti yang sepatutnya dibayar kepada pihak kerajaan negeri secara tunai dan bukannya wang ehsan sejak zaman Tun Abd Razak PM ketika itu dan hari ini anaknya Najib Tun razak meneruskan pengkhianatan semenjak Tun Dr mahathir. Ini adalah pengkhianatan terhadap bapanya sendiri.

Kesimpulan dari perbincangan tersebut, nampaknya ia adalah isu politik bukan lagi peraturan dan undang-undang. jangan cakaplah logik dan sistem fideralisme dana apa saje. pokok pangkalnya adalah politik bakar kelambu yang diamalkan oleh UMNO apabila marahkan nyamuk. Pertembungan PAS-UMNO inilah puncanya kepada segalanya. Cadangan pimpinan UMNO yang mengkhianati negerinya sendiri dalam perhimpunan agung UMNO dan dipersetujui dan diamalkan oleh Dr mahathir hingga kini.

Beberapa pandangan tentang langkah yang perlu diambil seterusnya dilihat sebagai jalan buntu. Ku Li sendiri tidak menyetujui jalan mahkamah. ianya sebagai tindakan sia-sia. Dan sejauh mana tekanan politik oleh pihak rakyat Terengganu dan Kelantan yang berupaya mengembalikan tuntutan royalti ini didengar oleh pimpinan UMNO yang mempunyai 2 lidah dan 1 telingga ini?... amat mustahil.


Saya bersetuju dengan pandangan seorang peserta yang mencadangkan jalan yang paling mudah dan paling cepat unyuk mencapai cita-cita dan matlamat perjuangan rakyat dalam mengembalikan royalti ini. Tidak lain dan tidak bukan adalah PR-13. hanya beberapa tahun je lagi dalam pilihanraya umum akan datang UMNO-BN wajib ditumbangkan. Dan pakatan Rakyat bukan hanya sekadar memulangkan kembali royalti bahkan mengembalikan 20% royalti kepada kerajaan negeri mengikut kadar harta Rikaz dalam sisitem kewangan islam.

Ku Li & Tg Paduka Raja bersama pimpinan



Tunggu apa lagi. Ayuh wahai rakyat Terengganu. masa sudah singkat. Inilah masanya. InsyaAllah cahaya sudah kelihatan dihujung terowong... teruskan perjuangan.







Read More !

Kejatuhan Khilafah Uthmaniyyah. Umat Islam Perlu Bermuhasabah

| | 3 comments

Bulan Mac ini seluruh umat Islam tidak lekang membicarakan sambutan Maulidurrasul. Meskipun tamat bulan rabiulawwal masih kendengaran orang bercakap tentang manusia terpilih ini, iaitu Rasulullah Saw. Dan sememangnya perbicaraan tentang Rasulullah Saw tidak terhad kepada bulan tertentu sahaja. Tetapi bagaimana pula peristiwa kejatuhan khilafah Islamiyyah Turki pada 2 mac 1924?

Jarang umat Islam membicarakan isu ini secara serius dan meluas. Hanya beberapa orang pendakwah yang cuba mengenegahkan isu ini ke dalam masyarakat. Tidak sebagaimana sambutan maulidurrasul, ma'al hijrah, nuzul al-Quran dsb. apakah umat Islam lebih suka membicarakan hanya sejarah dan catatan yang bertinta emas. Adapun coretan dakwat hitam dilipat untuk tidak dipamerkan. Bukankah ianya sejarah umat Islam kita sendiri. Jatuh bangun adalah sejarah kita. yang baik dijadikan tauladan, yang buruk dijadikan sempadan.

Hakikatnya, kejatuhan kerajaan Khilafah Uthmaniyyah Turki merupakan satu bahana dan fitnah yang paling besar setelah kewafatan Rasulullah saw. Satu amanah dan warisan hasil perjuangan baginda yang panjang. Mewariskan kepada ummahnya satu khilafah hasil jihad dan pengorbanan baginda dan para sahabat. Bukan sekadar masa, keringat, harta-benda bahkan airmata dan nyawa mereka sendiri. Meneruskan perjuangan Adam a.s yang dilantik sebagai khalifah diatas mukabumi ini.

وَإِذْ قَالَ رَبُّكَ لِلْمَلَائِكَةِ إِنِّي جَاعِلٌ فِي الْأَرْضِ خَلِيفَةً
"Dan kita berfirman Tuhanmu kepada para malaikat,
Aku ingin jadikan (Adam) khalifah di bumi"

Diteruskan oleh nabi dan para rasul sehinggalah ke zaman rasul yang terakhir. Tertegaknya Madinatul Munawwarah adalah menyempurnakan risalah nubuwwah.

الْيَوْمَ أَكْمَلْتُ لَكُمْ دِينَكُمْ وَأَتْمَمْتُ عَلَيْكُمْ نِعْمَتِي وَرَضِيتُ لَكُمُ الْإِسْلَامَ دِينًا
"Pada hari ini Aku telah sempurnakan bagimu agamamu dan Aku telah cukupkan keatasmu ni'matku dan
Aku telah redhakan bagimu Islam sebagai agama"


Selepas baginda, amanah itu diteruskan khalifah oleh sahabat-sahabat baginda. Kerajaan demi kerajaan semenjak bani umayyah, abassiyyah dan seterusnya memikul amanah tersebut. Meskipun ada pasang surutnya tetapi cahaya Islam berkembang sehingga ke dua pertiga dunia ini. Sehinggalah kepada khalifah Uthmaniyyah Turki yang diasaskan oleh Sultan Osman al-Ghazi pada tahun 1299M dan akhirnya lenyap pada tahun 1924M. Bermulalah era penjajahan terhadap negara-negara umat Islam. Mereka diratah fizikal,mental dan spritual. bab anak kehilangan ibunya sehingga ke hari ini umat Islam masih lagi belum mampu untuk bangkit hasil dari penindasan, pembunuhan, penjajahan tanpa kesudahan meskipun telah menjangkaui alaf baru.

Apa yang telah berlalu ianya tetap telah berlaku sebagai ketentuan ilahi. Tetapi umat Islam perlu bermuhasabah diri. Sama dengan peristiwa kekalahan perang Uhud & Hunain. Ada hikmah yang mesti dipelajari agar tidak diulang kembali yang akibatnya sebagaimana peristiwa yang di ajar oleh Allah Swt yang pastinya akan berulang kembali natijahnya.

Faktor kejayaan dalam futuhat perlu diambil kira sebagai pra syarat kepada kemenangan yang dijanjikan Allah Swt. Kemenangan yang diperolehi oleh Khalid ibn walid dalam membebaskan embayar besar. Kejayaan Salahuddin al-ayubi dalam mengembalikan Palestine, kejayaan Muhammad al-Fateh dalam membuka kota Kostantinople. Ia bukan semudah memetik jari. Ia bukannya kemenangan yang datang melayang. Ia mengikuti jejak langkah yang ditinggalkan oleh Rasulullah Saw sebagai qudwah yang terbaik. Begitulah Baginda membuka Kota Madinah & Mekah, maka begitulah onak dan denai yang dilalui oleh mereka dan melakukan futuhat.

Begitulah juga dengan faktor kejatuhan. Ia mewarisi faktor yang sama sejak zaman berzaman. Ingatlah bilangan mereka lebih ramai, harta mereka lebih banyak, kelengkapan mereka lebih sempurna. Jika kamu melakukan dosa sebagaimana apa yang mereka lakukan sudah pasti mereka dapat mengalahkan kamu tetapi jika kamu menjauhkan diri daripada apa yang dimurkai Allah, sudah pasti pertolongan allah akan tiba dan disaat itulah kamu akan dapati kejayaan.


Dunia ini sentiasa berputar. Siang dan malam silih berganti. Setiap umat ada tempoh ajalnya. tapi ia masih ada sebab musabbab. Di era kejatuhan Khilafah uthmaniyyah, ianya juga menyamai era kejatuhan Andalusia al-hamra' ataupun kerajaan Islam yang lain. Meskipun Sultan Abdul hamid dianggap masih mempunyai kehebatannya tetapi kerajaan sudah dihujung tanduk. menunggu saat kejatuhannya. ada beberapa faktor yang boleh diteliti bersama.

Istana & Sultan yang dahulunya dipenuhi oleh para ulama, cendikiawan & ilmuan. Istana merupakan perpustakaan mega yang menghimpunkan asas ketamadunan iaitu ilmu pengetahuan. Akhirnya mereka dikesampingkan lalu istana dipenuhi oleh penyanyi dan dayang-dayang. Lagu2 dan alat muzik. Sibuk dengan nafsu dan syahwat. Sultan dan bangsawan sibuk mengumpulkan harta dan membesarkan istana-istana mereka. Akibatnya cukai dan hasil dikutip dari rakyat jelata. Pegawai yang paling banyak memungut cukai diberi jawatan dan pangkat maka rakyat makin tertindas dan kezaliman makin berleluasa. Arak dan judi merupakan perkara yang menjadi kesibukan para pemimpin. urusan negara mula terabai. Para pegawai yang ikhlas dan jujur makin tiada dan yang banyak adalah para pengampu yang tidak jujur lagi jahat. Para musuh boleh merasuah dan mengambil kesempatan yang menyebabkan keselamatan negara mula tergugat.

Akhlak dan moral makin hari makin parah dari pimpinan sehingga rakyat jelata. Islam dikesampingkan. Sistem kehakiman menjadi porak peranda. akhirnya rakyat tidak bersama dengan pemerintah bahkan membenci mereka. Semangat jihad makin luntur dan pihak musuh mula membebaskan diri mereka dari ikatan kerajaan Uthmaniyyah.

Yahudi dan Nasrani mencanangkan berbagai agenda bagi menumbangkan khilafah Islamiyyah. Agenda sekularisme yang dibawa oleh golongan Turk Muda akhirnya membawa kepada jatuhnya kesultanan di tangan pengkhianat Kamal ataturk, talibarut british yang memerintah dengan dasar penghapusan Islam dari pemerintahan Turki demi kononnya mencapai kehendak Turki yang membangun & Moden.

Apapun sehingga ke hari ini, semua penyakit yang dihadapi oleh Khilafah Uthmaniyyah Turki 1924 samada penyakit dalaman maupun luaran masih lagi segar dikalangan negara umat Islam termasuk negara kita sendiri. Samada pemimpin maupun rakyat, dasar serta sistem pemerintahan sekular, serta bertebarannya para pengkhianat agama yang bersekongkol dengan musuh-musuh Islam masih lagi belum dirawat bahkan kekadang semakin parah... maka bilakah kemenangan akan diperolehi??

Kita hanya berbangga membaca diari kejayaan mereka yang berada dalam lipatan sejarah. Bagaimana dengan diari kita sendiri? Apa kata mereka yang terkemudian apabila melihat sejarah yang dicatat oleh kita sendiri??? Banggakah generasi kita terhadap kita???









Read More !

Resolusi & Harapan

| | 0 comments

Selesainya Ijtima' Pondok & Pusat Pengajian Islam Se-Terengganu kali pertama 2010/1431H selama 3 hari 3 malam (4-6 Mac/ 18-20 RabiulAwal) yang berjaya dihadiri 18 orang tetamu khas bagi menjayakan Ijtima' kali ini.

Apa yang menjadi matlamat adalah untuk mengembalikan semula kegemilangan Pendidikan Islam di Terengganu yang telah masyhur semenjak 700 tahun yang lampau. Peninggalan ulama terbilang seperti Syeikh Abdul malek Abdullah di abad ke 17 sehinggalah zaman Tok Ku paloh maupun sehingga Tuan Guru hj Zainal Abidin. Di harapkan Ijtima' ini mampu memantapkan ukhuwwah antara tuan-tuan guru, mudir2, para penggiat, guru, para pelajar dan masyarakat Islam di Terengganu bagi mencapai hasrat besar ini. Secara langsung ia akan menyuburkan kesatuan amal dan wehdatul fikr di kalangan kami.

Sebanyak 37 pusat pengajian termasuk pondok2, ma'had tahfiz, sekolah rendah Islam & sekolah menengah Islam dengan tenaga seramai 370 dan melibatkan para pelajar hampir mencecah seramai 5,000 orang dan para ajk penggerak maupun ibu-bapa adalah satu gerombolan tenaga yang cukup besar dalam menjana pendidikan alternatif terhadap pendidikan sekular yang sedia ada.


Antara resolusi yang dipersetujui bersama ialah:-

1. Bersetuju agar semua Institusi ini bergabung dibawah satu payung bagi bergading bahu demi kecemerlangan pendidikan ummah. Wakil-wakil daerah sudah pun dilantik dan akan bermesyuarat untuk kali pertama dalam masa yang terdekat.

2. Menjadikan program Ijtima' Pondok & pusat pendidikan Islam se Terengganu ini sebagai program tahunan yang bertukar venue mengikut daerah2 dan bergilir pusat pengajian. Pihak Besut menwarkan diri untuk tahun 2011 dan Kuala nerus bagi tahun 2012.



Sabtu 6hb. Mac 2010. Jam 3.00 ptg. Antara yang hadir dalam perbincangan meja bulat Mudir-mudir, para penggiat atau wakil Institusi Pengajian Islam Terengganu





Selesai langkah pertama. Masih ada banyak lagi amanah yang menanti.

Berpisah dengan penuh ukhuwwah. Dapat dirasakan bahawa bukan kita keseorangan dalam kerja dakwah ini

3. Mewujudkan Alumni bekas-bekas pelajar agar menambahkan jaringan dan dokongan yang berterusan.



Secara praktikalnya. Di hari yang sama pada Sabtu 6hb Mac 2010. Alumni madrasah Darul Bayan telah berjaya ditubuhkan sebagai asas untuk mengumpulkan bekas-bekas pelajarnya agar sentiasa berada dalam arus gerakan kependidikan ini semenjak 17 tahun yang lalu.

Mula mendaftar alumni MDB. dah ada anak dah.

Antara pelajar yang hadir untuk mesyuarat pertama. Ajk telah dibentuk dan susulan untuk tindakan akan diberitahu kemudian. Diharapkan kepada semua bekas-bekas pelajar dan turut serta .




Read More !

Gambar Pengisian Ijtima & Sambutan Masyarakat

| | 0 comments

Cukuplah dengan gambar-gambar dibawah dapat dilihat sambutan terhadap Ijtima'. Kesungguhan para jemputan yang hadir dari jauh untuk menjayakan program ini amat membanggakan. Kedahagaan masyarakat untuk mendapat pengisian dari para ulama sungguh mengesankan. Ini semua dapat mengikis segala penat lelah, usaha bertungkus lumus pihak penganjur dalam menjayakan ijtima' ini terasa berbaloi.

Sedikit gambaran untuk tontonan sahabat yang tak berkesempatan untuk hadir. Untuk gambar sebelumnya sila lihat artikel lepas.


Pengisian ke-6 : Khutbah Jumaat oleh ust Azman Syapawi Abd Rani

Jamuan Makan Peserta

Maaf deh. Dok cukup kerusi. Wat lapik perut le je. Mana-mana pun jadi..

Aik... sampai ke dapur?

Pengisian ke- 7: "Sejarah kedatangan Islam & perkembangan Institusi Pengajian Islam Pantai Timur" . Oleh YB Dr. Syafei Abu Bakar. Bersama pengulas Ust Zaidi (Akademi Penyelidik Pondok Pasir Tumboh) dan Dr Berhanuddin (Pensyarah UDM)

Pengisian ke- 8: Kuliah Ustaz Azhar Idrus

Kyusuk mendengar di kalangan peserta

Sembahyang pun melimpah masjid

Pengisian ke 9 : Forum Perdana bertajuk "Warisan Nabawi pemangkin Ummah"

Panel: Ust Khairuddin at-Takiri (bendahari DUPP), Ust Asmungi Syamsuddin al-Jambi & Ust Saifuddin (Pusat Pembangunan Pondok Berhad, Kelantan)

Mengikuti forum di perkarangan masjid Pinang Merah

Pengisian 10: Sabtu 6hb Mac . Kuliah subuh oleh Ust Saifuddin Abd Rahman

pengisian 11: Sabtu jam: 10.00 pagi : "Menjana Dana Institusi pendidikan Islam"

Oleh Ust Subki Abd Rahman (Pondok Repek, Kelantan). Pengulas : Prof Dr Mansor (Pensyarah UITM)

Pengisian 12: Sabtu 6.00 ptg . Salawat & Burdah oleh pelajar Pondok Mustaqim Kemaman.

Pengisian 13: Kuliah Maghrib oleh Ust Aziz b. Tok Guru Hj Abas (Pondok Puteri Besut)

pengisian 14: Ceramah Penutup Oleh : Yb Ust wan Hassan Ramli, Dr hamzah jaafar (TPJ pahang) & Yb Dato' Dr IsaIsmail (Speaker DUN Kedah)

Menyampaikan sedikit cenderahati sebagai tanda ingatan. wassalam

Read More !

Ijtima' Pondok-Pondok & Pusat pengajian Se terengganu 2010

| | 0 comments

Alhamdulillah.. dengan izin Allah swt Ijtima' yang julung2 kalinya diadakan di Terengganu dalam mengembalikan pendidikan Islam ke persada arus perdana berjaya diadakan. Hari ini merupakan hari kedua ijtima yang berjalan sebagaimana yang dirancang. Sambutan disegenap lapisan dalam mendokong ijtima' ini amat membanggakan. InsyaAllah semoga objektif ijtima ini akan tercapai.

Sedikit gambar-gambar sempena ijtima bermula hari perasmian bagi sahabat2 yang tak berkesempatan bersama:-


Persiapan untuk ijtima'


Pembentangan 1 bertajuk : Institusi Pondok & Pusat Pendidikan Islam: Survival & Daya Saing Dalam menghadapi Alaf Baru.

Pembentang oleh: Ust Dato' Abu Bakar Chik (Pengerusi Lujnah Pendidikan PAS Pusat)



Antara peserta yang kyusuk mengikuti program

Antara Pameran Pondok & Pusat pengajian yang masih aktif sebantak 37 buah di Terengganu

Pengisian 2 : Kuliah Maghrib oleh Ust Razali Muhamad Permaisuri dari Setiu

Pengisian 3: Ceramah Perasmian oleh YB Ust Nasaruddin Mat Isa


Ralik beno tuh... nge anak2 usung skali



Dok siap untuk persiapan jamuan makan peserta


Petugas unit amal yang berkemah berhampiran tapak ijtima'

Pengisian 4: Kuliah subuh oleh ust Asmungi al-Jambi

Pengisian 5 : Kuliah Dhuha Jumaat oleh Dr basri Ibrahim (Pensyarah UDM)


Sibuk niaga tu... (antara 60 gerai yang turut menjayakan ijtima')

nanti update lagi























Read More !

SELAMAT DATANG KE IJTIMA' PONDOK

| | 0 comments

SEMUA DIJEMPUT HADIR KE IJTIMA' PONDOK-PONDOK & PUSAT PENGAJIAN ISLAM SE-TERENGGANU YANG DIADAKAN DI MADRASAH DARUL BAYAN

PROGRAM-PROGRAM BERSAMA ULAMA DAN TOKOH ISLAM TANAHAIR SELAMA 3HARI 3MALAM.


4-6HB MAC 2010. (KHAMIS-SABTU)
BERMULA JAM 2.30 PTG HARI KHAMIS



Semua pelajar pondok dan penuntut serta para ustaz & penggiat termasuk Mudir-mudir bersama pihak penggurus pusat-pusat pengajian Islam seluruh Terengganu amat dialu-alukan kehadiran. Bagi sahabat dan peserta ijtima' luar kawasan, pihak kami menyediakan penempatan, Insyaallah. 3 ekor lembu disediakan bagi juadah tengahhari. Jom. Kita bertemu di Pondok Pinang Merah, Madrasah Darul Bayan. Paka, Dungun, Terengganu.

Untuk pertanyaan sila hubungi pihak Urusetia.

Ust Syed Azwan - 0148040975. Ust Mat - 0199830818


Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...