Hospital Baharu Dungun Terengganu Dijangka Siap Ogos Ini

| | 0 comments


DUNGUN, 26 Mac - Penduduk Dungun kini mampu menarik nafas lega apabila projek pembinaan bangunan baharu Hospital Dungun bernilai RM118 juta dijangka siap Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, pembinaan hospital berkenaan kini berada pada tahap 70 peratus.


“Kontraktor daripada Nukima Sdn Bhd telah menyiapkan sekitar 70 peratus daripada pembangunan hospital ini dan selepas Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa (EOT) selama enam bulan, ianya dijangka siap Ogos ini.

"Sekiranya terdapat hal-hal lain termasuk masalah teknikal dan sebagainya ia mungkin dilanjutkan sehingga Februari tahun hadapan untuk mulakan operasi sepenuhnya.

“Pembinaan hospital ini mengalami sedikit kelewatan disebabkan beberapa masalah termasuk pertindihan di peringkat awal melibatkan urusan tambun tanah, berkaitan dengan peruntukan ketika berlaku perubahan Kerajaan Pusat dan disebabkan kekangan tenaga kerja.

“Walau bagaimanapun, masalah-masalah ini telah diselesaikan dan saya yakin selepas EOT projek ini dapat disiapkan mengikut jadual,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Muara Sungai Dungun dan Pembinaan Hospital Dungun, di sini, semalam.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Dr Mamad berkata, Hospital Dungun yang baharu itu dibina di atas tanah seluas 6.13 hektar dengan kapasiti 110 buah katil yang dilengkapi kemudahan termasuk wad pesakit, wad bersalin, dewan bedah serta perkhidmatan doktor pakar.


“Apabila hospital ini siap, ianya dapat mengatasi kesesakan dan masalah banjir yang sering berlaku di hospital lama.

"Bagaimanapun, hospital lama Dungun masih akan terus beroperasi memandangkan dengan kapasitinya yang mempunyai lebih kurang 100 buah katil dan tidak ada banyak perbezaan dengan hospital baharu.

"Adalah lebih baik ianya terus digunakan untuk menampung keperluan penduduk dan tidak mendatangkan masalah walaupun ada dua hospital di daerah ini,” ujarnya.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/03/hospital-baharu-dungun-terengganu.html?fbclid=IwAR25BrJRVyC1M-jpIr6Qan3Cx-9aywLgfy5jcGaGsI37NKdFlrshNZ2kskY

Read More !

Kerajaan Pusat Digesa Segerakan Peruntukan Dalamkan Muara Sungai Dungun

| | 0 comments


DUNGUN, 26 Mac - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berharap kerajaan pusat menyegerakan kelulusan peruntukan yang dimohon oleh kerajaan negeri bagi pembinaan benteng pemecah ombak serta kerja mendalamkan muara sungai di Kuala Dungun.

Katanya, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) memerlukan sebanyak RM250 juta untuk melaksanakan kerja-kerja terbabit dan permohonan peruntukan sudah dibuat kepada Kerajaan Persekutuan.

Dr. Mamad berkata, masalah muara sungai Dungun cetek sudah sekian lama membelenggu penduduk di daerah ini yang mana menyulitkan pergerakan bot-bot nelayan dan pelancong untuk keluar masuk.

“Kita sedia maklum, isu muara sungai cetek memerlukan kos yang tinggi untuk diselesaikan. Permohonan sudah lama dibuat dan berkali-kali tetapi peruntukannya masih belum diperoleh.

“Justeru, Kerajaan Pusat diharap dapat memberi perhatian dan mempertimbangkan permohonan ini supaya masalah penduduk di sini dapat diselesaikan,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Muara Sungai Dungun dan Projek Pembinaan Hospital Dungun, di sini semalam.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Tambah beliau, masalah muara sungai cetek itu juga perlu diatasi segera bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini seperti kes kemalangan bot yang berlaku dua tahun lalu terus berulang.

“Dalam kejadian itu, empat orang nelayan mati lemas setelah bot kecil yang dinaiki mereka untuk pergi persisir pantai dipukul ombak besar di Pantai Kuala Dungun selepas bot besar mereka naiki sebelum itu terperangkap akibat muara sungai yang cetek,” ujarnya.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/03/kerajaan-pusat-digesa-segerakan.html?fbclid=IwAR2JQEhltubPnPq0eSFLk4qV-32W0P1hYVmnKPIp-N2tSwm_HPTx4L-ZmcU

Read More !

Keputusan Permohonan Lesen Motosikal Percuma April Ini

| | 0 comments

Wan Sukairi beri komitmen umum keputusan LMTS.
KUALA LUMPUR, 26 Mac - Pemohon skim Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera (LMTS) Februari lalu dijangka menerima keputusan tersebut bermula 1 April ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, proses menilai kelayakan pemohon yang dilaksanakan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) akan selesai hujung bulan ini.

"Untuk makluman, lebih kurang 49,500 permohonan diterima dari seluruh daerah.

"Tetapi, kita memohon maaf kerana dengan peruntukan sebanyak RM7 juta, kita hanya dapat menerima 25,000 pemohon bagi tahun ini," katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI).


Beliau berkata demikian selepas sesi dialog sempena Program Jelajah Anak Terengganu Pasca Pembentangan Bajet Negeri 2019 peringkat zon selatan di The Katerina Hotel, Batu Pahat, Sabtu lalu.

Dalam majlis meraikan anak-anak Terengganu di perantauan itu, Wan Sukairi turut menyatakan kegembiraannya atas sambutan yang diterima daripada skim LMTS.

"Kita gembira apabila pelaksanaan manifesto ini mendapat sambutan hebat daripada para belia.

Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) rata-rata menyokong usaha kerajaan negeri laksana LMTS.
"Kepada pemohon yang tidak berjaya, boleh cuba lagi pada tahun hadapan dan jika keadaan mengizinkan, kita mungkin boleh mendapatkan lebih peruntukan untuk manifesto ini," katanya.

Untuk rekod, LMTS merupakan salah satu daripada 20 manifesto kerajaan PAS yang dijanjikan untuk  rakyat negeri Terengganu.

Sebanyak 12 janji manifesto tersebut telah dilaksanakan dan sedang berjalan secara berperingkat hanya dalam tempoh hampir setahun pemerintahan PAS di Terengganu.

Read More !

Dewan Serbaguna Untuk Warga Paka

| | 0 comments



Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 15 Mac - Warga Paka bakal menerima kemudahan untuk beriadah dan melakukan pelbagai kegiatan bermanfaat apabila dewan serbaguna akan dibangunkan di kawasan itu tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, disebabkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka tidak mempunyai lokasi strategik untuk masyarakat beriadah, maka kerajaan negeri merancang membina pusat aktiviti masyarakat berkenaan sekali gus akan memastikan perancangan itu direalisasikan segera. 

"Kita telah bersetuju untuk membina sebuah dewan serbaguna untuk kegunaan masyarakat mengadakan program-program," katanya.


Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada program `Chit Chat Bersama YB Ustaz Satiful Bahri' di Pasti an-Nasihah Taman Murni Perdana, Paka, di sini, kelmarin.

Satipul berkata, pihaknya juga akan membangunkan sebuah mini stadium untuk kegunaan penduduk setempat dengan persetujuan bersama Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah. 

"Kita juga telah berbincang dengan Exco Belia dan Sukan (Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri) untuk membina mini stadium di DUN Paka ini.

"Kawasan (tapak) sudah siap semua, hanya tinggal untuk buat sahaja," kata beliau lagi. 

Tambahnya, penduduk di sekitar Dungun juga akan menikmati manfaat daripada pembangunan Bandar Baru Lestari Dungun di kawasan seluas 760 hektar yang terletak di persimpangan susur keluar lebuh raya Dungun.

Katanya, prasarana itu mencakupi semua keperluan rakyat termasuk sekolah rendah, sekolah menengah, pasar, perkedaian dan perumahan yang berpusat di satu lokasi strategik.

Menurut beliau, hanya dua daerah, termasuk Besut yang mempunyai Bandar Baru Lestari di Terengganu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu memberitahu, seperti dijanjikan sebelum ini, pusat rekreasi di hadapan Sekolah Kebangsaan Paka dan kolam di Taman Huda juga dalam proses pembinaan.

"Orang kita ni tidak ada tempat untuk berjoging, tempat mainan kanak-kanak, wakaf dan tempat aktiviti bersama berkeluarga, jadi kita wujudkan pusat rekreasi ini," katanya lagi.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/03/dewan-serbaguna-untuk-warga-paka.html

Read More !

PAS Memerintah, SUKPA Lebih Meriah

| | 0 comments


Oleh : Adli Mohamad.
DUNGUN – Sukan Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dapat diadakan dalam suasana yang hebat dan meriah apabila PAS dapat memerintah Negeri Terenggan setelah memenangi pilihan raya umum ke-14 lalau.
Timbalan Yang DiPertua (TYDP) PAS Kawasan Dungun, Wan Hapandi Wan Nik berkata, ia kerana faktor kemudahan asas seperti padang, dewan dan sebagainya dapat digunakan sepenuhnya tanpa ada sebarang halangan.
“Saya melihat hari ini suatu kejayaan khususnya kepada pihak PASTI Kawasan yang berjaya menganjurkan sukan di peringkat Kawasan Dungun yang melibatkan 34 buah PASTI kawasan Dungun secara keseluruhannya.
“Ini suatu pendekatan yang baik bukan sahaja kepada anak-anak PASTI malahan kepada ibu bapa yang turut hadirsama dengan anak-anak dalam menjayakan Sukan PASTI (SUKPA),” ucapnya.
Beliau berucap demikian, ditemui pemberita semasa hadir merasmikan, Hari Sukan PASTI Kawasan Dungun, yang diadakn di Medan Arena Square, Dungun, pada Sabtu 2 Februari.
Beliau menyifatkan kejayaan itu yang julung-julung kali diadakan pasca kemenangan PAS Terengganu merupakan suatu insiatif yang telah diambil oleh pihak yang menjayakannya, dalam memastikan ianya membentuk kejayaan yang besar kepada PASTI itu sendiri.
Sehubungan itu, Pengarah SUKPA, Abdul Hafiz Alis berkata, dari sudut pengajuran SUKPA itu ianya merupakan satu perkara baru dari segi sudut penganjurannya.
“sebelum ini dibuat hanya melibatkan empat pasukan dari setiap DUN yang mana ianya dibuat dahulu di peringkat DUN masing-masing sebelum dibawa ke kawasan.
“(oleh) kerana kejayaan PAS memerintah Terengganu maka membolehkan acara ini menjadi suatu acara yang cukup besar,” ujarnya.
SUKPA menurutnya hanya mempertaruhakan dua sukan iaitu sukan bola jaring dan juga boleh sepak, yang mendapat sambutan yang cukup memberansangkan dari 34 buah PASTI di Kawasan Dungun.
“Dimana kontinjen daripada 27 buah PASTI telah menghantar pasukan yang bertanding untuk bola jaring, dan 28 buah PASTI untuk pertandingan bola sepak.
“Yang dikira sebagai sukan asas dan mempunyai ramai tenaga untuk melatih dan juga untuk mengendalikan sukan ini,” ujar beliau.
Sebagai menghargai segala jasa baik pada pihak yang terlibat, beliau merakamkan ucapan terima kasih kepasa seluruh AJK Jabatan PASTI kawasan, PAS Kawasan, setiap MTD di keempat-empat DUN Dungun, Dewan Pemuda PAS Kawasan Dungun (DPPKD), Ameerah, Jabatan Amal Dungun serta seluruh pihak yang terlibat.
“Terima kasih juga kepada penyumbang, walaupun tidak mendapat sepenuhnya peruntukkan sebagaimana yang diharapkan sebanyak RM30, 000 namun separub darinya telah kita dapat,” ujarnya.
Sumber : https://buletinonline.net/v7/index.php/pas-memerintah-sukpa-lebih-meriah/?fbclid=IwAR3eHzqPCg9g_HCimcGblIfWxdEm0D7i1fFYIl5nWPaIgrimgnmGE6xirpQ

Read More !

SMAASZA Juara Keseluruhan Kejohanan Sukan MASMAT 2019

| | 0 comments


HULU TERENGGANU, 9 Mac - Sekolah Menengah Agama Atas Sultan Zainal Abidin (SMAASZA)  berjaya menggondol johan keseluruhan dan johan keseluruhan perempuan dalam Kejohanan Sukan Majlis Sukan Sekolah-sekolah Menengah Agama (MASMAT) pada kali ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, generasi muda pada hari ini digesa bersaing secara sihat di semua peringkat termasuk antarabangsa bagi melahirkan anak-anak muda yang cemerlang dalam pelbagai bidang.

"Ruang dan peluang sentiasa terbuka luas kepada mereka yang mahu mencubanya.

"Dunia tanpa sempadan pada hari ini dan jika kita tidak meneroka dunia, maka orang lain akan terlebih dahulu meneroka dunia.

"Oleh itu, kita perlu meningkatkan jati diri dan kemampuan untuk jadi yang terbaik sekali gus membentuk bakal pemimpin akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup MASMAT Kali Ke-49 di Dewan Tok Fakeh, Sekolah Menengah Agama Mahmudiah, Kuala Berang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Azmi Mat Arsyad dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Berang, Dr. Mamad Puteh.


Seramai 13 kontinjen terdiri daripada sekolah agama dan madrasah yang terdapat di Terengganu menyertai sukan yang berlangsung di SMA Mahmudiah.

Tambah Satiful lagi, kerajaan negeri sentiasa memberi ruang dan peluang kepada anak Terengganu bagi meraih kejayaan khususnya dalam bidang pendidikan.


Sementara itu, Azmi berkata, MASMAT adalah medan mencari peserta yang layak ke Kejohanan Sukan Sekolah-sekolah Agama Malaysia (KESUMA) pada 14 hingga 22 Julai ini di UITM Shah Alam, Selangor.

Beliau berharap, pasukan Terengganu dapat mengekalkan kejohanan dan membawa pulang piala apabila mengondol johan keseluruhan KESUMA pada tahun lepas.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/03/smaasza-gondol-juara-kesluruhan-masmat.html?fbclid=IwAR1c95N5WG99lNC3x4_0wCSz3HY4nx88pZ0R_3Oiv8y-z4E-5Ywshu2PEBU

Read More !

MPKK Digesa Proaktif Tangani Denggi

| | 0 comments



 Oleh: Mohd Asraf

DUNGUN, 9 Mac - Kerajaan negeri  menyarankan kerjasama yang lebih proaktif daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam usaha mengawal dan mencegah pembiakan nyamuk aedes.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik berkata, sebagai langkah permulaan setiap MPKK perlu mengadakan kerjasama dengan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengadakan program gotong royong secara berkala.

“Saya melihat kerjasama antara MPKK dan agensi agensi kerajaan untuk menangani masalah wabak denggi sangat berkesan.

“Yang penting penglibatan seluruh tenaga dari MPKK dan warga kampung untuk menjayakan program cegah nyamuk aedes sangat diperlukan,” kata beliau ketika ditemui pemberita selepas Program Gotong Royong Mega Siri 1/2019 Peringkat Negeri Terengganu, disini hari ini.


Majlis perasmian yang disempurnakan oleh Pengarah Kesihatan negeri, Dr. Mohd Jusoh bertempat di Kampung Alur Tembesu turut dihadiri oleh Pegawai Daerah Dungun, Rosdi Awang; Yang Dipertua (YDP) Dungun, Lizan Che Mat; Pegawai Kesihatan Daerah Dungun, Dr Aminuddin Ma’pol serta hampir 600 orang warga Dungun bagi menjayakan program berkenaan.

Wan Hapandi  juga menasihati orang ramai khususnya MPKK untuk mengenal pasti lokasi yang berisiko tinggi yang memerlukan operasi kebersihan secara gotong royong.

“Dengan cara ini, kita dapat menjaga persekitaran kampung sekaligus dapat mewujudkan kawasan zon bersih”, katanya.

Tambah beliau, MPKK juga boleh bekerjasama melalui Jawatankuasa Perubahan Tingkah Laku (COMBI) untuk mengadakan program program atau ceramah tentang kesedaran bahaya denggi.

Untuk rekod, sehingga 2 Mac 2019, kejadian kes denggi di Terengganu menunjukkan peningkatan sebanyak 176 kes iaitu 204 kes denggi berbanding 28 kes pada tahun 2018 dalam tempoh yang sama tanpa kes kematian dilaporkan.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/03/mpkk-digesa-proaktif-tangani-denggi.html?m=1&fbclid=IwAR1IecCQAq4YDBOhstZDu7CeF9s0UV60hCy4FFCNBNs2xrK6w9SPcfV58bI

Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...