Anak Bulan merajuk di Malaysia?

| |
Malaysia merupakan negara semenanjung. Banyak dikelilingi laut dan pantai. Berkedudukan dijaluran tengah khatulistiwa tetapi kenapa kini anak bulan tidak pernah kelihatan. Merajukkah ia?
Hari ini makin banyak tempat melihat anak bulan. Bukan hanya tempat tradisi tetapi ditambah dengan menara-menara tinggi seperti menara KL. Bukan hanya sekadar melihat dengan mata semata tetapi menggunakan peralatan moden berbanding mereka yang terdahulu seperti teleskop tetapi masih tidak kelihatan.
Akhirnya apa yang berlaku negara kita sentiasa mencukupkan puasa sebanyak 30 hari kerana anak bulan tidak kelihatan disebabkan faktor cuaca sedangkan sedia maklum bulan-bulan Islam itu sentiasa berselang seli antara 29 atau 30 hari. Bahkan di zaman Rasulullah s.a.w, dalam jangka masa 10 tahun hanya sekali sahaja baginda berpuasa selama 30 hari.

فَمَنْ شَهِدَ مِنْكُمُ الشَّهْرَ فَلْيَصُمْهُ
"barangsiapa menyaksikan di antara kamu bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu" al-Baqarah : 185

"Anak bulan" adalah bulan sabit pertama yang kelihatan, iaitu selepas persilangan dengan matahari. Ini lazimnya mengambil tempat di ufuk barat dalam waktu yang sekejap antara waktu terbenamnya matahari dan terbenamnya bulan. Anak bulan secara astronomi, atau bulan gelap , berlaku ketika persilangan dalam longitud gerhana dengan Matahari, iaitu apabila Bulan tidak kelihatan dari Bumi. Waktu itu adalah unik dan tidak bergantung kepada kedudukan dan dalam keadaan tertentu, akan kebetulan dengan gerhana matahari. Anak bulan dalam makna asal ialah bulan sabit muda yang menandakan bermulanya bulan dalam kalendar lunar seperti takwim hijrah.

Islam telah sampai ke Terengganu melebihi 700 tahun yang lampau dan mereka berpuasa berdasarkan rukyah iaitu melihat anak bulan. Dan begitulah amalan mereka terdahulu. Dan disebut oleh orang tua-tua dahulu bahawa anak bulan biasa kelihatan oleh para nelayan dikawasan pantai Terengganu. Ulama-ulama dahulu kala juga begitu arif dengan ilmu falak dalam menghitung hari dan kalendar hijrah.
Apabila Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam ditubuhkan, bermula tahun 1972 penentuan kedua-dua tarikh ini dilakukan secara rukyah dan hisab. Kaedah ini menyatakan sekiranya anak bulan tidak kelihatan ketika merukyah, tetapi mengikut hisab falak (kiraan untuk menentukan kedudukan anak bulan) anak bulan itu wujud dan umurnya mencapai 8 jam ketika matahari terbenam, maka hisab falak digunakan.
Pada tahun 1977, Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam menyatakan pula tarikh puasa dan hari raya hanya ditentukan dengan cara rukyah sahaja. Maknanya ketika merukyah anak bulan pada petang 29 Syaaban atau Ramadhan jika mendapati anak bulan tidak kelihatan, keesokan harinya dicukupkan menjadi 30 Syaaban atau Ramadhan. Penetapan ini tidak mengambil kira hisab tetapi ianya hanya berfungsi sekadar membantu dalam kerja-kerja merukyah sahaja
Pada tahun 1984, negara kita sekali lagi telah melakukan perubahan penetapan tarikh puasa dan hari raya dengan menggabungkan kedua-dua kaedah rukyah dan hisab. Majlis Kebangsaan Hal Ehwal Islam telah menetapkan penentuan awal Ramadhan dan Syawal berdasarkan kriteria kebolehnampakan (imkanur rukyah). Ini berlaku setelah berlakunya perbezaan tarikh puasa dan hariraya berbanding Singapura, Thailand dan beberapa Negara Asia Tenggara yang lain akibat tidak kelihatannya anak bulan di Negara kita. Penyelasan ini berlaku pada tahun 1992 berbanding sebelum itu Brunei hanya menggunakan kaedah rukyah sahaja, Singapura menggunakan hisab sahaja dan Malaysia serta Indonesia menggunakan kaedah rukyah dan hisab.

Kini Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja hanya mengumumkan pemulaan puasa dan hariraya bagi mengikut perintah Yang di-Pertuan Agong setelah diperkenan oleh Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja. Beliau membuat pengumuman tersebut berdasarkan Majlis Raja-Raja juga telah mempersetujui bahawa cara menetapkan tarikh permulaan puasa adalah berdasarkan Rukyah serta Hisab. Ianya Nampak selaras antara Negara jiran kita meskipun anak bulan masih tidak pernah kelihatan.
Kelmaren pada 10 Ogos 2010, negara Malaysia, Indonesia, Brunei dan Singapura sepakat hari pertama puasa ialah pada hari ini iaitu Rabu, 11 Ogos 2010. Anak bulan masih tidak kelihatan dinegara kita meskipun ia terlihat di Probolinggo dan Gresik, Jawa Timur serta Cilincing, Jakarta.

Buat pertama kali penulis melihat sendiri anak bulan bukannya di negara sendiri tetapi di Semenanjung Cape di Afrika Selatan. Menjadi kebiasaan orang ramai berhimpun dan bersembahyang maghrib di tepi pantai di Cape Town. Selepas solat maghrib berjamaah dan ketika selesai solat dilihat jelas hilal iaitu anak bulan disebelah kanan kami. Meskipun hari itu hujan renyai-renyai dan ada awan sedikit hitam kelihatan dilangit. Tak guna teropong pun. Tak guna teleskop. Begitu juga hari raya. Sebab itu kami berpuasa hanya 29 hari sahaja. Dan memang begitulah kebiasaannya menurut maklumat penduduka Islam disitu. Kekadang, hanya sekali sekala sahaja mereka berpuasa 30 hari. Begitu juga ketika penulis belajar di Mesir.
Berbeza dari kita di malaysia ini. Boleh dikatakan kini berpuasa sentiasa 30 hari dan tak pernah (kot) 29 hari. Kenapa itu berlaku. Bagi ahli falak mungkin tempat matla’ anak bulan itu tidak mewajarkan ia dapat dilihat apatah lagi kesan cuaca yang tidak mengizinkan. Tetapi dalam keadaan cuaca terang, alat canggih dan pekerja-pekerja di pelantar minyak melihat di tengah laut pun masih lagi tidak kelihatan.

Nasib sungguh bumi Malaysia yang anak bulan tidak kemunculan. Adakah kerana maksiat penduduk dibumi kita sudah rapat kelangit yang menyebabkan anak bulan tidak kelihatan. Mungkin juga kerana rakyatnya masih tidak menerima lambang anak bulan dan ibu bulan... maka anak bulan masih lagi merajuk. Entahlah... puasalah kita 30hari. Cuba-cubalah dalam PRU-13 ini rakyat Malaysia mengundi lambang ini. Kot-kot anak bulan mula kelihatan. Kalau tak pun tentu sudah terkibar gagah lambang anak bulan dan bulan purnama ini.
Apapun Selamat Menyambut Ramadhan Kareem dan semoga kita semua dirahmati dan istiqamah dalam perjuangan

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...