UPSR , Terengganu Cemerlang tetapi bocor lagi!

| |
Tahun ini Terengganu cemerlang lagi UPSR. Apakah rahsianya? Bermulanya kecemerlangan UPSR di Terengganu pada tahun 2001. Ketika Pas berjaya mengambil alih pemerintahan dari pimpinan UMNO di Terengganu. Hari ini Terengganu menjadi negeri terbaik UPSR 10 tahun berturut-turut. Nak ucap tahniah ke tak? Silih berganti! Tahniah pun ya. Tak pun ya!


Terengganu Negeri Terbaik UPSR 10 Tahun Berturut-Turut


Terengganu. 11 Okt. TAHNIAH...Terengganu terus mengungguli keputusan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) untuk tahun ke-10 berturut-turut apabila muncul negeri terbaik dalam peperiksaan itu tahun ini apabila seramai 3,560 atau 15.4 peratus daripada 23,147 murid mendapat 5A dan 7A.

Kejayaan mengekalkan keputusan terbaik itu diumumkan Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu (JPNT), Encik Razali Daud (gambar kiri), di Bilik Mesyuarat Alamanda, JPNT, Bukit Kecil, Kuala Terengganu, semalam.

Beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said dan kerajaan Terengganu dengan bantuan kewangan dan sokongan moral dalam menjayakan kecemerlangan UPSR 2010.

Melihat kepada pengorbanan guru-guru yang ikhlas, kesungguhan ibu-bapa, pegawai pendidikan di PPD dan JPN selayaknya diucapkan tahniah. Di awal-awal kejayaan dahulu ianya adalah kejayaan dan mencapai keputusan cemerlang secara normal. Bagi setengah ahli politik kejayaan UPSR inipun dianggap sebagai kejayaan dan kecemerlangan pemerintahan. Bermula dizaman Tok Guru Hj Hadi, kejayaan sebagai negeri terbaik UPSR diperolehi sebagai bermulanya kecemerlangan. Tetapi tidak mutakhir ini. Kenapa?

Melihat ada sesuatu perlu diperbaiki demi kejayaan dan kecemerlangan dunia yang perlu dilangsungkan untuk kecemerlangan diakhirat. Pendidikan Islam perlu diarus-perdanakan. Kerajaan Pas Terengganu ketika itu melalui Exco pendidikannya, Dato Harun Taib selaku Ketua Dewan Ulama Pas telah melancarkan penubuhan SRAB (Sekolah Rendah Agama Bersepadu Terengganu) disetiap daerah. Juga turut menubuhkan KIST (Kolej Islam Sains Terengganu) serta KOSTAQ (Kolej Sains & al-Quran Terengganu) menggantikan MRSM yang ditutup oleh Kementrian di Dungun dan Besut. Hari ini semua itu ditutup kecuali KOSTAQ ditukar nama menjadi IMTIYAZ yang dicanang untuk melahirkan generasi ulul al-bab.

Bermula tahun ini, tahun 2010, secara rasminya juga SRAB yang pernah diwujudkan semasa kerajaan PAS pada tahun 2001 ‘berkubur’ setelah berakhir penggal persekolahan tahun 2009 lalu. Kerajaan BN Terengganu yang pernah diketuai oleh Dato’ Idris Jusoh menghentikan pengambilan pelajarnya bermula tahun 2005 menjadikan pelajar ‘bongsu’ SRAB adalah yang berdaftar pada 2004 serta akan menamatkan pembelajaran di sekolah rendah pada tahun 2009.
Bahkan, Dato’ Ahmad Said yang menerajui kerajaan negeri selepas PRU ke-12 tahun 2008 lalu turut meneruskan usaha tidak mengambil pelajar Tahun Satu SRAB bagi sesi persekolahan tahun 2010 ini yang akan menyaksikan sekolah tersebut luput dari bumi Terengganu.

SRAB diperkenalkan semasa Kerajaan PAS Terengganu bertujuan memberi pendidikan asas kurikulum Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan akademik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) kepada semua kanak-kanak Islam di negeri ini.

Hasrat kewujudan sekolah berkenaan untuk melahirkan pelajar yang berilmu dan berakhlak mulia, kukuh dalam nilai-nilai Islam bagi mencapai muslim yang bertaqwa dan mendapat keredhaan Allah. SRAB juga berhasrat menyediakan sistem persekolahan agama negeri yang lebih teratur bermula daripada peringkat rendah bagi membolehkan pelajar-pelajarnya meneruskan pembelajaran di peringkat menengah dan seterusnya ke pusat pengajian tinggi dalam dan luar negeri.

Sebanyak enam buah SRAB berjaya diwujudkan iaitu Khairiah, Kuala Terengganu; SRAB Al-Falah, Kemaman; SRAB Sultan Ismail, Dungun; SRAB Mahmudiah, Kuala Berang; SRAB Maarif, Besut dan SRAB Ittifakiah, Jertih. Pelajar bermula umur tujuh tahun manakala tempoh pengajian selama enam tahun dan masa belajar bermula jam 8 pagi hingga 4 petang.

Mata pelajaran KBSR yang diajar ialah Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Pendidikan seni dan Pendidikan Jasmani. Manakala Kurikulum Bersepadu Sekolah Agama (Arab dan Agama) pula terdiri daripada al-Quran, Tauhid, Ibadah, Akhlak, Tulisan Jawi, Sirah dan Tajwid. Pelajar ini cemerlang dalam dua peperiksaan. UPSRI dan UPSR. Inilah kejayaan dan matlamat usaha penubuhan SRAB. Tetapi politik bakar kelambu UMNO menyebabkan institusi ini dihapuskan. Inilah satu jenayah pendidikan UMNO-BN di Terengganu. kenapa UMNO tega mengkhianati pendidikan Islam seperti ini?

Setelah penutupan SRAB, kini kerajaan Terengganu hanya bergantung kepada keputusan UPSR semata. Mereka cukup bimbang kalau keputusan ujian penilaian ini jatuh meskipun PMR maupun kelulusan sebenar yang bersijil iaitu Sijil SPM gagal dimartabatkan oleh negeri Terengganu berbanding negeri Kelantan.

Yang paling malang apabila pihak tertentu sanggup membocorkan soalan demi memastikan kejayaan UPSR berterusan di Terengganu sebagai hadiah kepada MB Mat Said. Seorang guru memberitahu penulis, bahawa beliau rasa bersalah kerana arahan, beliau terpaksa memanggil pelajar ditengah malam ke sekolah sebelum besoknya peperiksaan UPSR bagi memberitahu soalan yang bakal keluar??? Ianya sudah menjadi rahsia umum yang diketahui ramai. Apakah keuntungan sebenar yang diperolehi daripada tindakan tersebut.

Kerana itulah pihak jamaah bersusah payah meneruskan kesinambungan pendidikan Islam bagi masyarakat kita. Di Dungun masih ada lagi 2 buah sekolah yang memartabatkan pendidikan bersepadu ini. Meskipun tidak mendapat sokongan pihak kerajaan tetapi buat SRABZA (Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin) yang ditubuhkan setelah penutupan SRAB juga SRI Darul Bayan di Paka masih lagi meneruskan kesinambungan ini. Para pelajar mengambil UPSRI dan mereka mampu memperolehi kecemerlangan semua mata pelajaran iaitu 12 A dan juga UPSR dan mereka mampu mendapat 5 A.

Tahniah buat SRI Darul Bayan, (Sekolah swasta yang tak panggil pelajar tengah malam dan tak siapa nak bagi soalan bocor) sekolah kelolaan penulis yang mencapai kecemerlangan 12 A UPSRI dan kejayaan 100% UPSR dan 5 pelajarnya memperolehi 5A. Kepada Guru-guru, ibu-bapa, para pelajar dan penggerak pendidikan Islam seperti ini, anda layak mendapat sekalung tahniah. Termasuk juga anak penulis, Syaima’ Munirah yang memeperolehi 10A UPSRI dan 5A UPSR. Teruskan perjuangan, InsyaAllah pendidikan bersepadu ini akan dimartabatkan kembali dengan kemenangan Islam dalam politik Terengganu dimasa akan datang. Dan sekular pasti berkubur jua.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...