Penutupan MRSM Imtiaz YT Ketengah Keputusan Bersama

| |
Satiful Bahari Mamat.
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober – Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Imtiaz Yayasan Terengganu (YT) Ketengah dihentikan operasi untuk sementara berkuatkuasa 31 Disember ini selepas keputusan bersama antara pihak Mara dan YT dicapai.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat menegaskan, penutupan itu dibuat selepas mengambil kira setiap aspek terutamanya melibatkan para pelajar dan guru serta tidak membebankan mana-mana pihak.

Jelasnya, perbincangan bersama yang berlangsung dengan wakil Mara, Dato' Mohamed Rosli Dol turut memperincikan beberapa elemen seperti matlamat asal penubuhan institusi tersebut untuk dikaji dan diberi penekanan pada masa hadapan.

“Berdasarkan perjanjian asal, kerajaan negeri waktu itu hanya bertanggungjawab menyediakan tapak dan fizikal bangunan serta menyelenggarakan dan membaiki kerosakan struktur utama bangunan sahaja.

“Mara pula bertanggungjawab ke atas kos operasi termasuk pengambilan guru-guru dan kakitangan pentadbiran serta mengurus pengambilan pelajar dengan peruntukan 60 peratus dalam kalangan anak Terengganu.

“Namun, sejak beroperasi pada 1 Januari 2016 hanya tujuh peratus atau 14 orang sahaja anak Terengganu yang belajar di MRSM berkenaan sedangkan dalam perjanjian memperuntukkan kuota anak Terengganu sebanyak 60 peratus,” katanya bagi menjawab dakwaan yang tular di media sosial bahawa penutupan MRSM Imtiaz YT Ketengah itu merupakan arahan daripada kerajaan negeri.

Mengulas lanjut, Satiful menjelaskan program hafazan yang tidak dapat dilaksanakan oleh Mara menyebabkan kurang sambutan ibu bapa sekitar Terengganu terhadap pusat pendidikan itu.

“Mara tidak dapat menjalankan program hafazan kerana MRSM Ulul Albab Besut telah menjalankan program tersebut dan ia bercanggah dengan dasar Mara yang memfokuskan MRSM Imtiaz YT Ketengah kepada Program Keusahawanan dan Perniagaan.

“Ia menjadi salah satu faktor kurangnya sambutan terutama dalam kalangan anak Terengganu terhadap program yang ditawarkan di situ,” katanya.

Ujarnya lagi, pelajar-pelajar di MRSM Imtiaz YT Ketengah sudah diambil tanggungjawab oleh Mara untuk menempatkan mereka di institusi yang sesuai sementara bangunan baharu milik Mara siap dibina.

“Isu itu (hentikan pelajar) tidak timbul kerana ia adalah keputusan bersama Mara. Tidak timbul isu pemberhentian pelajar kerana mereka ini akan diserapkan ke MRSM sedia ada.

“Mara juga telah luluskan pembinaan MRSM baharu di Dungun yang kini dalam proses pembinaan, pelajar-pelajar ini akan kembali ke MRSM baharu apabila ia siap dan beroperasi nanti,” katanya.

Kekosongan bangunan MRSM itu akan diganti dengan Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) yang akan beroperasi pada 1 Januari 2020.

Sumber  : https://www.teganukita.net/2019/10/penutupan-mrsm-imtiaz-yt-ketengah.html?fbclid=IwAR2kU_BLcXyCxEBna40T5MmOTPtulIpICSAIlT2SdUqvNf0yfXh2kxxRJE8

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...