Ahmad Amzad (kiri) bersama beberapa orang Ahli Parlimen di Dewan Rakyat baru-baru ini. |
KUALA LUMPUR, 30 Oktober – Keputusan yang dibuat oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dr Maszlee Malik berkait dengan penggabungan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) disifatkan sebagai membuat keputusan belakang tabir.
Ini kerana sebahagian besar keanggotaan ahli senat UMT, sebulat suara menolak penggabungan tersebut.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, Menteri Pendidikan itu amat jelas seperti sudah menetapkan dahulu hala tuju (keputusan menggabung dua universiti).
Ahmad Amzad ketika menuju ke Parlimen. |
“Kronologinya pun ia bermula dari keputusan Kabinet yang diumumkan Menteri pada 4 September lalu.
“Hujan tak ada, ribut tak ada, tiba-tiba hanya pada 23 September lalu baru Lembaga Pengarah UMT bincang. Pada 16 September pula, Majlis Professor UMT (Sebahagian besar keanggotaan ahli senat UMT), sebulat suara menolak penggabungan itu,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Ahmad Amzad menjelaskan bahawa jawapan Dr Maszlee tentang sesi libat urus dengan semua yang terlibat termasuk pelajar dan kakitangan universiti sarat dengan dakwaan bahawa selepas sesi libat urus, keputusan penggabungan sudah diterima.
“Ini adalah pembohongan paling besar. Ia masih ditolak pelajar dan kakitangan universiti. CUEPACS pun sudah nyatakan bantahan.
“Malah bantahan semakin meluap luap dengan sikap tidak bertanggungjawab Menteri yang enggan mendengar pandangan wakil-wakil rakyat yang menjadi harapan mahasiswa dan kakitangan universiti untuk menyampaikan keprihatinan mereka kepada Menteri,” jelas beliau.
Soalnya kata beliau apakah Menteri mahu melihat dahulu gelombang himpunan mahasiswa dan rakyat sebelum mahu buka mata dan telinga.
“Setahu saya, ada satu Jawatankuasa khas untuk kaji keputusan ini telah ditubuhkan oleh kementerian yang tugasnya antara lain perlu enam bulan untuk buat kajian dan laporan kepada Kementerian.
“Ini belum lagi dua bulan, kajian belum siap, laporan belum ada, Menteri sudah buat kesimpulan teruskan penggabungan,” ujarnya.
Ahmad Amzad persoal sama ada sesi libat urus yang berulang kali disebut oleh Menteri itu telus dan didengar oleh Menteri atau libat urus itu sekadar ambil syarat kononnya untuk formaliti dan Menteri didakwa sudah mendengar pandangan semua pihak.
“Ini adalah pencabulan terhadap maruah universiti, kakitangan dan mahasiswanya bila Menteri main buat keputusan belakang tabir sebegini,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment