Lima Garis Panduan Asas Senamrobik Diperhalusi

| |
Wan Sukairi dan Hishamuddin berbincang bersama pihak terlibat dalam membentuk panduan asas senamrobik.


KUALA TERENGGANU, 31 Oktober- Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) negeri, Hishamuddin Abdul Karim mengemukakan lima panduan asas yang akan diperhalusi pihak-pihak terlibat dalam menganjurkan senamrobik di kawasan umum dalam negeri Terengganu.

Lima panduan tersebut ialah penggunaan jurulatih senaman lelaki, susun atur (lelaki hendaklah berada di barisan hadapan dan wanita di belakang) serta berpakaian longgar bagi kaum wanita.

Selain itu, hanya aktiviti senamrobik, senaman regangan biasa dan tai chi sahaja dibenarkan di tempat awam dan tidak dibenarkan aktiviti Zumba di tempat awam dengan penggunaan muzik yang sesuai dan aksi tidak keterlaluan.

Dalam satu perkongsian di laman Facebooknya, beliau menyatakan proses pembentukan ke arah pelaksanaan yang lebih patuh syariah akan sentiasa di tambah baik dari masa ke semasa.

“Ini berikutan penerimaan awam dan pengesahan pakar kesihatan tentang aktiviti ini sebagai antara senaman kesihatan dan memberikan manfaat buat ahli masyarakat. Jadi, garis panduan ini akan diperturunkan kepada semua jabatan di bawah kerajaan negeri agar berlaku perubahan secara menyeluruh.
Penganjur program senamrobik turut hadir dalam perbincangan tersebut.

“Pendekatan ini dilihat sebagai konsep dakwah dan bukan menghukum dengan menyekat terus aktiviti ini dari dilangsungkan. Kami bersetuju memberikan ruang kepada pihak penganjur menambah baik secara bersama dengan pihak kerajaan agar matlamat pembudayaan gaya hidup sihat dan menjalani cara hidup bersyariah dapat dijadikan keutamaan yang seiring,” tulisnya.

Perkongsian berkenaan dipaparkan kepada umum bagi menjernihkan keadaan susulan teguran daripada pendakwah terkenal negeri Terengganu dan juga beberapa asatizah terhadap penganjuran aktiviti Senam Robik yang dianjurkan di sekitar Terengganu, kerana dilihat tidak bertepatan dengan dasar patuh syariah yang diperkenalkan kerajaan negeri.

Hishamuddin juga menegaskan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah telah memaklumkan, bahawa semua aktiviti sukan di negeri ini akan berjalan seperti biasa dan proses perubahan itu akan dilangsungkan secara berperingkat melalui kaedah bimbingan dan bukan melalui penguatkuasaan semata-mata.

“Selasa lalu, Exco ditemani saya sendiri terlibat dalam satu pertemuan bersama penganjur dan jurulatih senamrobik di Terengganu dan kami mengakui aktiviti ini masih belum memenuhi piawai syariah yang sebenar.

“Dalam masa yang sama, pihak Urusetia Belia, Sukan dan NGO Terengganu (UBSNT) di bawah kepimpinan Ustaz Nasir Razak akan mengemukakan permohonan khas kepada Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu untuk memperhalusi aktiviti senaman ini dari masa ke semasa,” katanya.

Ahlid Dewang Undangan Negeri (ADUN) Tepoh itu turut menyatakan pemakluman tersebut sebagai proses mengambil maklum balas atas teguran tokoh agama dan warga prihatin dalam usaha mencari jalan untuk memperbaiki keadaan kepada lebih baik.

“Sekali lagi, kami mengalu-alukan semua tokoh masyarakat dan semua lapisan masyarakat untuk mengemukakan teguran, kritikan serta cadangan alternatif demi kebaikan rakyat Terengganu secara langsung.

“Setinggi penghargaan buat semua pendakwah yang sentiasa peka terhadap perkembangan masyarakat dan bersedia untuk menegur kepimpinan kerajaan negeri agar berusaha gigih memandu rakyat ke arah mendapat keredhaan Allah SWT. Semoga sinergi ini akan lebih menguatkan kekuatan ummah dan rakyat Terengganu,” katanya.


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...