Terengganu Hantar Semula Pelajar Perubatan Ke Rusia

| |
Ustaz Satiful Bahri (tiga dari kanan) bermesra dengan graduan perubatan Terengganu di UMT hari ini .
KUALA NERUS , 20 April - Kerajaan Negeri akan menghantar semula pelajar dalam bidang perubatan ke Rusia tahun ini.

Serentak itu Yayasan Terengganu (YT) diarah mengambil perjalanan untuk mempastikan pelajar-pelajar cemerlang dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu berjaya dihantar ke universiti terpilih di negara tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata kerajaan negeri akan menghantar semula pelajar cemerlang untuk mengikuti kursus perubatan di Rusia tahun ini.

Katanya, YT akan mengambil perjalanan menghantar pelajar berkenaan ke Universiti Perubatan Negeri Volgograd dan kemungkinan juga ke Universiti Perubatan Negeri Kursk, kedua-duanya di Rusia .


Ustaz Satiful Bahri


"Saya dimaklumkan ada sebuah universiti perubatan di Kursk Rusia yang boleh dijadikan destinasi baru untuk pelajar perubatan ini kerana kos pembiayaan pelajaran dan kos sara hidup agak berpatutan serta suasana persekitaran universiti itu agak baik dan aman.

"Bagaimanapun kerajaan negeri hanya menghantar mereka ke universiti berkenaan sekiranya ada permintaan dari pelajar Terengganu," jelas beliau.

Ustaz Satiful Bahri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Appresiasi Graduan Perubatan Universiti Perubatan Negeri Volgograd Rusia (Tajaan YT) di Auditorium Mahyuddin Universiti Malaysia Terengganu (UMT) di sini hari ini.

Turut hadir dan berucap, Timbalan Pengarah YT, Haji Mohd Razali Mahmud dan Pengarah Pusat Sains dan Kebudayaan, Kaunselor (Kebudayaan dan Pendidikan) Kedutaan Rusia, Dr Ayrat Akhmetov.


Ustaz Satiful Bahri (kiri) menyampaikan sijil kepada seorang graduan wanita dari Universiti Perubatan Negeri Volgograd  Rusia, di Auditorium Mahyuddin UMT hari ini.
Seterusnya Ustaz Satiful Bahri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, kerajaan negeri berhasrat untuk meneruskan kesinambungan penghantaran pelajar ke negara tersebut dan mengharapkan pelajar senior Terengganu di negara itu dapat memberi panduan kepada pelajar baru yang akan dihantar belajar di sana nanti.

"Pelajar senior perlu memberi panduan kepada pelajar baru sekaligus kesinambungan penghantaran pelajar dalam bidang tersebut ke Rusia tidak terputus," ujarnya.

Difahamkan penghantaran pelajar Terengganu ke negara tersebut dihentikan sejak tahun 2015 lagi.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/terengganu-hantar-semula-pelajar.html?fbclid=IwAR2cGQ_qKsYi1SynVTCKj9JgGvWNw2C4eawfQ-su0IbyhGoS1glLXp3K8hc

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...