Terengganu Go Clean Catat Malaysia Book Of Record

| |


KUALA NERUS, 20 April - Terengganu Go Clean anjuran kerajaan negeri  bersama-sama dengan Persekutuan Pengakap Malaysia Negeri Terengganu berjaya dicatatkan di Malaysia Book Of Record(MBOR) sebagai Program Gotong-Royong dengan jumlah penyertaan teramai 2019.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia menyasarkan penyertaan teramai, melibatkan pelbagai agensi kerajaan, swasta, badan bukan kerajaan (NGO), persatuan penduduk, serta masyarakat setempat.

"Hari ini sejarah ditempa sekali lagi dan rekod tercipta di MBOR untuk program Terengganu Go Clean yang berjalan serentak pada hari ini di seluruh negeri bermula jam 8.30 pagi.

"Seramai 16,390 ribu peserta terlibat di 30 lokasi  bermula di Kemaman sehingga ke Besut bagi menjayakan Program Go Clean peringkat negeri bagi memastikan persekitaran sekeliling dan keindahan tempat tempat pelancongan serta tumpuan awam berada dalam keadaan bersih dan bebas daripada sisa plastik dan sampah sarap,"katanya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Go Clean Peringkat Negeri Terengganu di Pantai Teluk Ketapang, di sini hari ini.

Sultan Terengganu, Duli Yang Maha Mulia Al Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin Ibni Al Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah turut mencemar duli berangkat merasmikan program berkenaan.

Keberangkatan baginda diiringi  Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.


Turut hadir, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali; Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK),  Datuk A. Rahman Yahya; Pegawai Kewangan Negeri, Mohd Zahari Mohd Azahar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Dr. Alias Razak dan Ketua Pengakap Negara, Dato" Seri Paduka Dr. Shafie Mohd Salleh.

Sijil MBOR dengan jumlah penyertaan teramai 2019  disampaikan oleh Pegawai Penganalisisnya, Nurul Fatihah Mahmood kepada Datuk A. Rahman Yahya dengan disaksikan Dr. Ahmad Mokhtar.

Sumber ; https://www.teganukita.net/2019/04/terengganu-go-clean-catat-malaysia-book.html?fbclid=IwAR0Cg_CT0Cdr2mLtwPZewpH0Ypkhdmki-bVD9pFkrBGm-BkEWCB4V0M1ZBc

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...