REALISASI PRINSIP PITAS 2030 MELALUI SRIDI

| |

Oleh: Mohd Haniff Abas
KUALA TERENGGANU, 7 November - Penubuhan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) merupakan salah satu agenda penting dalam merealisasikan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ridzuan Hashim berkata, prinsip kedua PITAS iaitu ‘insan berkualiti aset penting negeri’ hanya boleh direalisasikan melalui perubahan pada sistem pendidikan iaitu berlandaskan al- Quran dan as- Sunnah.
“Justeru, pelaksanaan ini amat penting dalam mewujudkan modal insan berkualiti di semua peringkat bermula pra sekolah, sekolah rendah, sekolah menengah dan seterusnya pengajian tinggi.
“Mewujudkan sekolah agama di setiap dun merupakan antara manifesto kerajaan negeri yang sedang dilaksanakan dan kita mengimpikan untuk mewujudkan institusi agama di peringkat negeri sebagaimana Kolej Ugama Sultan Zainal Abidin (KUSZA) dahulu.

Ridzuan bergambar bersama wakil i-MiTS, wakil JHEAT dan kakitangan pusat khidmat DUN.
“InsyaAllah, usaha ini akan menjadi aset dan seterusnya memacu Negeri Terengganu dalam mencapai redha Allah”, katanya ketika berucap dalam Taklimat Penubuhan SRIDI oleh Bahagian Pendidikan, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buluh Gading, Kampung Petai Bubus, semalam.
Majlis tersebut dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dan Pusat Khidmat ADUN Buluh Gading itu turut dihadiri penolong Pesuruhjaya Pengurusan Akademik, Jabatan Hal Ehwal Negeri Terengganu, Mohd Hafiz Karim.
Ridzuan yang juga ADUN Buluh Gading melahirkan kegembiraan kerana DUN Buluh Gading antara lima DUN yang terpilih sebagai perintis dalam perlaksanaan SRIDI.
Sekolah itu dijangka akan memanfaatkan bangunan Kompleks Usahawan Terengganu (KUT) yang bernilai RM24 juta berikutan ia tidak digunakan sepenuhnya sejak siap dibina pada tahun 2013.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...