MADRASAH DARUL BAYAN TERENGGANU TERBAIK UPSRI

| |


DUNGUN, 18 November - Madrasah Darul Bayan (Sekolah Rendah Islam Darul Bayan) di Paka muncul sekolah terbaik dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI) 2018 yang diumumkan hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Modal Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Mohd Nor Hamzah berkata, peperiksaan UPSRI adalah diwajibkan kepada pelajar Tahun 5 bagi Sekolah Rendah Islam (Dar) di bawah seliaan Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu.

Menurut beliau, seramai 576 calon mengambil UPSRI pada tahun ini di tujuh buah madrasah di Terengganu dan tiga di Melaka.

“Peperiksaan ini dilaksanakan untuk pelajar Tahun 5 sebagai penilaian awal khususnya mengenai pengajian Islam sebelum mereka ini berhadapan dengan peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) ketika meningkat ke Tahun 6.

“Keseluruhan Madrasah Dar yang ada di Terengganu sebanyak 11 buah tetapi pelajarnya yang mengambil peperiksaan UPSRI hanya tujuh buah kerana baki empat buah lagi pelajarnya belum menjangkau ke Tahun 5, ada yang baru buka dan sebagainya.

“Madrasah Dar di Melaka juga turut sama menerima kurikulum yang kita susun dan terdapat calon yang menduduki UPSRI,” ujarnya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pengisytiharan Keputusan UPSRI 2018 di Madrasah Darul Bayan, Paka, hari ini.

Menurut beliau, secara keseluruhan seramai 27 pelajar berjaya memperoleh keputusan terbaik dengan mendapat 10A hingga 13A.

Katanya, daripada jumlah itu, seramai tujuh orang mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh 13A iaitu masing-masing dua pelajar dari Madrasah Darul Bayan, Sekolah Rendah Agama Bersepadu Zainal Abidin, Madrasah Darul Iman Bukit Payong dan seorang lagi dari Madrasah Darul Taqwa Batu Enam, Kuala Terengganu.

“Selain itu, pelajar yang mendapat 12A terdiri daripada tiga pelajar Madrasah Darul Bayan, Madrasah Darul Iman Bukit Payong (2) dan seorang pelajar Darul Ehsan, Kubang Lembek Kuala Terengganu.

“Pelajar yang mendapat 11A pula seramai tujuh orang iaitu seorang dari Madrasah Darul Taqwa Batu Enam Kuala Terengganu, Madrasah Darul Taqwa Kemaman (2) dan Madrasah Darul Iman Bukit Payong (4).

“Dan yang mendapat 10A seorang daripada Madrasah Darussalam Losong Kuala Terengganu, Madrasah Darul Taqwa Batu Enam Kuala Terengganu (2) dan Madrasah Darul Iman Bukit Payong (4),” ujarnya.

Sementara itu, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong turut mengucapkan tahniah kepada pengurusan Madrasah Darul Bayan atas kecemerlangan dan pencapaian yang diperoleh.

“Semoga keputusan UPSRI pada tahun ini menjadi pencetus semangat dan menjadi kayu ukur untuk pelajar-pelajar lebih berusaha pada masa akan datang, tahniah kepada semua calon yang terlibat.

“Tidak lupa juga ucapan setinggi-tinggi tahniah dan penghargaan saya kepada guru-guru dan juga warga kerja yang terlibat dalam menjayakan UPSRI pada tahun ini,” katanya.

Nur Ainun Sofia Muhammad Ainuddin yang memperoleh 13A dari Madrasah Darul Bayan dinobatkan sebagai pelajar terbaik UPSRI.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/madrasah-darul-bayan-terbaik-upsri.html?m=1

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...