Perbahasan di Muktamar Pas kali ke-56 di PUTIK, Kelantan

| |
Sekembali dari muktamar, baru berkesempatan penulis membuka blog. Hajat terasa ingin berkongsi apa yang ingin disuarakan sempena muktamar yang baru melabuhkan tirainya. Penulis yang mewakili Terengganu ditugaskan untuk menyokong ucapan terimakasih perwakilan dari negeri tuan rumah, Kelantan dalam menyokong ucapan dasar Presiden Pas, Dato’ seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang ketika merasmikan muktamar Pas kali ke-56 yang bertemakan “ Islam Adil untuk Semua”.

Dengan waktu dan masa yang amat terhad sekadar 12 minit amat sukar untuk membentang dan menyuarakan hasrat perwakilan dari negeri Terengganu yang mewakili 8 kawasan bermula dari Besut sehingga ke Kemaman. Pun begitu setakat kudrat dan kemampuan yang ada diatas kepercayaan yang diletakkan keatas bahu, penulis cuba sebaik mungkin. Apapun penilaian terserah kepada semua perwakilan dan kepimpinan yang hadir.

Dibawah ini adalah butiran yang ingin diucapkan oleh penulis. Nota-nota rengkasan yang disediakan kekadang bersimpang siur. Walaupun sudah biasa dengan ucapan didepan khalayak, dan ini bukanlah kali pertama penulis mewakili Terengganu dalam ucapan muktamar, tetapi wajah2 pejuang Islam yang berada dalam dewan PUTIK yang memandang serius serta soff pimpinan yang membanting usaha dalam menegakkan perjuangan Islam yang murni ini, menjadikan penulis terasa kerdil untuk mengucapkan pandangan maupun kritikan.

Menyentuh tema Pas “ Islam Adil untuk Semua”, mendorong penulis untuk mengucapkan syabas dan tahniah diatas sikap istiqamah PAS dalam terus menerus menjuarai perjuangan dan wadah islam di persada umat Malaysia yang dikatakan sebuah masyarakat majmu’ pelbagai bahasa, bangsa, warna-kulit dan agama. Dasar Islam yang merupakan prinsip perjuangan Pas tidak lekang sejak zaman berzaman.

Penulis menyorot kembali ucapan melalui corong Radio Malaya dalam satu program khas pada tahun 1959, di mana setiap parti politik besar yang akan bertanding dalam pilihanraya diberikan peruntukan masa untuk menerangkan dasar-dasar perjuangan parti masing-masing. PAS melalui Prof Zulkifli Muhammad dalam ucapannya di radio, antara lain mengatakan:
Bahawa sekiranya berkuasa kelak, PAS akan mensederhanakan perbelanjaan negara, dan PAS akan mengambil Islam sebagai bentuk masyarakat negeri ini, kerana dalam Islam terdapat jawapan dan huraian kepada masalah yang dihadapi oleh negeri ini. Bahawa kelamahan ekonomi rakyat negeri hanya dapat diubah dengan memberikan peraturan ekonomi Islam dan pengundi tidak kira bangsa mestilah memberi sokongan kepada PAS.”


Sehingga kini Pas masih lagi atas dasar dan teras tersebut. Tidak ada istilah Pas menggadaikan perjuangan Islamnya sebagaimana dakwaan UMNO-BN. Tetapi UMNO sendiri kekal dengan agenda sekularismenya semenjak awal penubuhan sehingga kini. Ucapan Tunku Abdul Rahman menjadi bukti apabila pemimpin nombor satu UMNO yang juga menjadi Perdana Menteri Persekutuan Tanah Melayu waktu itu, juga turut menyerang PAS, “Jangan campur undang-undang Tuhan dengan negara” menurut Berita Harian Januari 1961, di samping juga mengingatkan rakyat negeri ini. “Kalau kita menggunakan undang-undang Tuhan dalam negara kita yang baru hendak maju ini, tidak dapat tidak negara kita akan kacau bilau, dan permusuhan antara rakyat negeri ini akan berlaku.’ katanya lagi.

Hasilnya PAS berjaya menguasai dua buah negeri, iaitu Kelantan dan Terengganu. Juga memenangi 13 dari 104 kerusi Parlimen, 9 di Kelantan dan 4 di Terengganu. Bagi kerusi DUN Terengganu, pemerintahan PAS hanya oleh bertahan selama 2 tahun sahaja, setelah kalah dalam suatu usul undi tidak percaya kepada kerajaan PAS Terengganu. Ini terjadi apabila ada ADUN yang memenangi 13 dari 24 kerusi itu, ‘melompat’ atau disifatkan sebagai ‘dibeli’, atau ‘culik’ oleh UMNO. seorang lagi ADUN PAS yang menjadi undi penentu kepada usul tidak percaya itu, iaitu Ustaz Ahmad Azam, menyokong usul itu, Ahmad Azam telah berjaya menjatuhkan kerajaan PAS Terengganu. Berlainan dengan PAS di Kelantan, menang dengan majorit 28 dari 30 kerusi yang dipertandingkan. Ini memberi kekuatan kepada PAS untuk bertahan lama.

PAS adalah Parti Islam pertama yang berjaya membentuk kerajaan di Asia Tenggara ini. Juga merupakan parti Islam pertama selepas kemenangan Ikhwanul Muslimin di Yaman dalam tahun-tahun 40an, yang mampu membentuk kerajaan didunia ini.
Dari situ bermulalah agenda kezaliman UMNO-BN terhadap PAS. Menurut akhbar Utusan Melayu 5 November 1960, Tan Sri Syed Jaafar Albar (ayah Syed Hamid Albar) Menteri Muda Penerangan dan Siaran Radio di Dewan Kelab Kuantong Kuala Terengganu, dalam suatu ucapan sewaktu membuka Persidangan Perwakilan Pemuda UMNO pada 4 November, memerintahkan seluruh pemuda UMNO Kelantan dan Terengganu supaya memberitahu rakyat kedua buah negeri itu, bahawa kerajaan Persekutuan tidak akan menghantar bantuan walau satu sen pun kepada rancangan luar bandar kedua negeri tersebut.

Sikap nifaq ini telah disebut oleh Allah 14 abad yang lalu dan secara tradisinya diteruskan oleh UMNO-BN

سَوَاءٌ عَلَيْهِمْ أَسْتَغْفَرْتَ لَهُمْ أَمْ لَمْ تَسْتَغْفِرْ لَهُمْ لَنْ يَغْفِرَ اللَّهُ لَهُمْ إِنَّ اللَّهَ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ . هُمُ الَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنْفِقُوا عَلَى مَنْ عِنْدَ رَسُولِ اللَّهِ حَتَّى يَنْفَضُّوا وَلِلَّهِ خَزَائِنُ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنَّ الْمُنَافِقِينَ لَا يَفْقَهُونَ .
Sama saja bagi mereka, kamu mintakan ampunan atau tidak kamu mintakan ampunan bagi mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik. Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Anshar): "Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada disisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah)." padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami. (Surah al-Munafiquun: 6-7)


Sikap inilah yang pasti kita lihat hingga kehari ini kezaliman dan diskriminasi UMNO terhadap rakyat yang menyokong Pas meskipun sebangsa dengan mereka sendiri. Kerana itulah mereka tega untuk merampas royalty dinegeri Terengganu dan kini terhadap Kelantan pula.

Isu kedua adalah isu Tarbiyyah.

Kalaulah Adun Rawang, Gan Pei Nei mencadangkan agar PKR menggunakan sistem tarbiyah untuk mendidik ahlinya dalam Konvensyen PKR juga di Kota Bharu bru2 ini, maka apatah lagi Pas yang denyut nadinya serta kekuatannya adalah terletak pada tarbiyyah. Pejuangan yang bukannya hanya berpaksikan siasah dan dakwah tetapi parti yang perlu mengukuhkan tarbiyyah yang diperkukuhkan dalam ucapan Presiden kali ini.
Sudah pasti isu Tarbiyyah ini merupakan perjuangan yang panjang. Ketika-mana Rasulullah saw ditanya oleh a’isyah isteri baginda tentang saat paling sukar dalam kehidupan baginda selepas peristiwa Uhud, baginda menyebut tentang peristiwa baginda berhijrah ke Taif yang dikhianati serta dilempar dengan batu sehingga datang malaikat ingin mengangkat bukit untuk dihempas ke kepala penduduk Taif tetapi sabda baginda:

بَلْ أَرْجُو أَنْ يُخْرِجَ اللَّهُ مِنْ أَصْلَابِهِمْ مَنْ يَعْبُدُ اللَّهَ وَحْدَهُ لَا يُشْرِكُ بِهِ شَيْئًا
Bahkan akan berharap akan dikeluarkan Allah daripada sulbi mereka orang yang akan mengabdikan diri kepada Allah satu-satunya dan tidak mensyirikkannya dengan sesuatu”- hadis Bukhari.


Diharapkan tarbiyyah ini diberi penekanan bukan hanya terhadap ahli tetapi juga pimpinan. Jika pimpinan tanpa tarbiyyah, timbulnya isu-isu lompat parti yang berlaku kini demi mengejar habuan dunia yang sedikit.

Merapatkan soff dalam mempersiapkan jamaah bagi melangkah ke Putrajaya adalah penting. Berkata pimpinan harakah:

لا غلبة إلا بالقوة, ولا قوة إلا بالجماعة, ولا جماعة إلا بالقيادة, ولا قيادة إلا بالطاعة, ولا طاعة إلا بالأخلاق
Tiada kemenangan tanpa kekuatan, Tiada kekuatan tanpa jamaah. Tiadanya jamaah tanpa pimpinan. Tiadanya kepimpinan jika tiada ketaatan. Ketaatan takkan wujud tanpa akhlak

وَأَطِيعُوا اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَلَا تَنَازَعُوا فَتَفْشَلُوا وَتَذْهَبَ رِيحُكُمْ وَاصْبِرُوا إِنَّ اللَّهَ مَعَ الصَّابِرِينَ
Dan taatlah kepada Allah dan rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gentar dan hilang kekuatanmu dan bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (Surah al-anfal: 46)

Keutuhan jamaah hendaklah menjadi keutamaan berbanding kepentingan peribadi. Kepimpinan disemua peringkat perlu mentarbiyyahkan diri sendiri agar kita tidak menjadi penghalang yang membantutkan pertolongan dari Allah itu turun. Segala kecacatan khususnya maksiat hendaklah dijauhi.

Saidina Umar al Khattab Rha pernah mengutuskan surat wasiat kepada Komander Tentera Islam di Iraq iaitu Saad bin Abi Waqqas r.a :

فإني آمرك ومن معك من الأجناد، بتقوى الله على كل حال، فإن تقوى الله أفضل العدة مع العدو، وأقوى المكيدة في الحرب، وآمرك ومن معك أن تكونوا أشد احتراساً من المعاصي منكم من عدوكم، فإن ذنوب الجيش أخوف عليهم من عدوهم، وإنما ينصر المسلمون بمعصية عدوهم لله، ولولا ذلك لم تكن لنا بهم قوة، لأن عددنا ليس كعددهم، ولا عدتنا كعدتهم فإن استوينا في المعصية كان لهم الفضل
علينا في القوة
Sesungguhnya aku memerintahkan engkau dan seluruh tentera yang bersamamu agar bertaqwa kepada Allah swt dalam apa jua keadaan . Sesungguhnya Taqwa adalah sebaik - baik persediaan dan strategi yang paling kuat di dalam peperangan . Aku perintahkan engkau dan siapa jua yang bersamamu bahawa kamu mestilah benar - benar berwaspada daripada maksiat dikalangan kamu jua dari musuh - musuh kamu . Sesungguhnya dosa yang dilakukan oleh tentera lebih ditakuti ke atas mereka berbanding musuh - musuh mereka .Sesungguhnya orang - orang Islam diberi kemenangan dengan maksiat yang dilakukan oleh musuh mereka kepada Allah swt . Jika tidak demikian , tidaklah kita memiliki kekuatan untuk mengatasi mereka . Kerana bilangan kita tidaklah sama berbanding jumlah bilangan mereka dan persediaan material kita jua tidak lah sama berbanding persediaan material yang mereka miliki . Andai kita juga turut melakukan maksiat sebagaimana mereka melakukan maksiat nescaya mereka lebih kuat dan hebat daripada kita .


Sayidina Umar juga pernah berpesan kepada Sa'ad:"Wahai Sa'ad! Jangan engkau berkata kami adalah orang-orang yang baik. Kami mesti menang. Sesungguhnya Allah mengalah dan menghancurkan Bani Israel walaupun mereka adalah umat yang baik di zaman itu. Apabila mereka mengerjakan maksiat mereka dikalahkan oleh bala tentera Bakhtanusar dan mereka diburu di lorong-lorong rumah dalam keadaan lari bertempiaran kerana mereka kalah di medan perang. Oleh itu aku berpesan kepada kamu sebagaimana aku berpesan kepada diriku sendiri supaya bertakwa kepada Allah, jangan mengerjakan maksiat."

Pas sebagai ‘government in waiting’

Pas dan pendokongnya perlu bersikap sebagai pemerintah dan bukan sebagai pembangkang semata-mata khususnya dinegeri-negeri yang diperintah oleh PR. Sudah sampai masanya Pas mempamerkan contoh dan agenda pemerintahan serta alternative kepada rakyat. Segala kritikan yang dilemparkan selama ini hendaklah tidak berlaku dinegeri pemerintahan Pas dan PR agar dilihat sebagai ‘cakap serupa bikin’.

Isu-isu kecekapan pentadbiran, ketelusan, rasuah, kebajikan dan sebagainya perlu dilaksanakan dan disebarkan makluman untuk seluruh rakyat. Isu seperti:-
Air percuma, diskaun cukai tanah bendang, cuti bersalin, dan sebagainya. Dalam masa yang sama rakyat juga ingin melihat apakah pas Berjaya menyelesaikan persoalan dan permasalahan masyarakat seperti isu tanah dan penempatan atau perumahan rakyat, isu moral serta permasalahan sosial seperti dadah, buang bayi, HIV dan lain-lain. Pas perlu kehadapan dalam menangkat martabat institusi masjid dan pegawainya. Imam dan bilal yang masih lagi berelaun RM20-30 sebulan sedangkan gaji minima untuk pegawai keselamatan telah diselaraskan RM1400 sebulan. Isu kemiskinan yang Kedah dan Kelantan masih lagi mempunyai kemiskinan tegar yang tinggi. Menwujudkan perkapita bagi SAR, Ma’had tahfiz maupun pusat pengajian pondok-pondok dinegeri-negeri PR. Mewujudkan mekanisma bagi pinjaman tanpa faedah buat kakitangan dan rakyat agar dibebaskan cengkaman riba. Perubahan yang menguntungkan rakyat ini akan menjadi cakap-cakap kepada rakyat untuk menarik sokongan kepada PR .

Persiapan PRU-13

Pas perlu mempersiapkan jentera disemua peringkat bagi menghadapi PRU khususnya negeri-negeri fokus dan pimpinan Pusat perlu memainkan peranan bagi membantunya. Manifesto hendaklah disiapkan lebih awal agar rakyat dapat menilai tawaran yang diberikan oleh PR jika memerintah. Semua tenaga pilihanraya hendaklah diberi kemahiran yang sewajarnya. Pas perlu memenangi banyak kerusi khususnya dikalangan pengundi melayu dalam ertikata sebagai alternatif kepada UMNO-BN.

Kita melihat DAP sanggup keluar dari B.A pilihanraya 2004 demi survival pengundi terasnya untuk mengelakkan diri terpalit dengan Pas dan kini mereka bersedia bergabung dengan PR setelah kesediaan perubahan politik orang cina tetapi bagaimana pula tindakan Pas untuk menarik pengundi melayu? Dalam keadaan non muslim sudah berubah mendekati Pas dibimbangi pengundi melayu pula menjauhi Pas.
UMNO pula bak harimau luka selepas PRU-12 dan dua tongkat mereka iaitu cina dan India sudah mula retak. Media, Money & Missionary akan digunaka semaksima mungkin untuk menarik pengundi kepada UMNO-BN khususnya memulih imej Najib sendiri. Dalam masa yang sama, mereka akan pasti membuat apa sahaja untuk terus memburuk-burukkan Pakatan Rakyat dengan pelbagai taktik kotor, sabotaj dan politik adu-domba dan perkauman sempit. Pergolakan parti-parti dalam Pakatan juga akan diperbesar-besarkan seolah-olah Pakatan akan runtuh sedikit masa lagi. Mereka juga akan menggunakan semua pendekatan tanpa mengira halal atau haram demi mempertahankan talian hayat politik mereka. Semua ini diharapkan Pas bersama rakan PR bersedia dengan politik kotor UMNO-BN dengan pertolongan pelbagai pihak khususnya polis dan SPR. Pas Terengganu pernah merasai itu semua dan semoga sahabat-sahabat dinegeri lain jangan terjatuh dilubang yang sama.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...