Terengganu tak haram PUBG

| |

KUALA TERENGGANU: Kerajaan negeri tidak berhasrat mengharamkan permainan dalam talian, Player Unknown’s Battle Grounds (PUBG) seperti dilakukan kerajaan Aceh, Indonesia, yang didakwa banyak memberi kesan negatif kepada masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, berkata setiap teknologi, walaupun boleh membawa keburukan tidak boleh diharamkan dengan mudah, sebaliknya melihat kepada penggunaan.
“Di Terengganu, undang-undang adalah pendekatan terakhir kerana tidak boleh setiap perkara menggunakan saluran undang-undang dan mahkamah, sebaliknya pendekatan pertama melalui pendidikan bagi meningkatkan kesedaran masyarakat.
“Ini bukan bermakna kita menolak teknologi kerana yang penting untuk melindungi masyarakat supaya mempunyai jati diri dan kesedaran tidak menggunakan ruang yang ada untuk melakukan perkara bercanggah undang-undang,” katanya selepas merasmikan Seminar Kebangsaan: Jenayah Syariah Di Alam Siber, di sini, semalam.
Yang turut hadir, Ketua Hakim Syarie Terengganu, Wan Mohd Zakri Wan Mohd dan Pengarah Jabatan Pendakwaan Syariah negeri Mustafar Hamzah.
Baru-baru ini, Majlis Permusyawaratan Ulama (MPU) Aceh mengeluarkan fatwa mengharamkan permainan PUBG dan permainan sejenisnya kerana permainan dalam talian itu boleh mengubah perilaku serta kesihatan seseorang.
Satiful Bahri berkata, kerajaan negeri sudah berbincang dan melantik jawatankuasa ke arah meningkatkan kesedaran masyarakat dalam isu itu.
“Memupuk pendidikan kepada rakyat bukan tanggungjawab perlu diletakkan di bahu kerajaan mahupun pengamal undang-undang dan pihak berkuasa saja, sebaliknya ia tanggungjawab bersama.
“Masyarakat juga perlu faham tugas melaksanakan syariah Islam adalah tanggungjawab bersama. Jadi, kesedaran perlu dipupuk supaya peringkat penguatkuasaan undang-undang hanya dijadikan jalan terakhir,” katanya.
Sumber : https://www.bharian.com.my/berita/wilayah/2019/06/579001/terengganu-tak-haram-pubg?fbclid=IwAR3akD9MoQ-bW-zsUy0x_QqgtqTVk8dvF1Rgu18-kWfpx4xgWg0ROhhGU44

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...