
Raja Ular Malaysia, Ali Khan Samsuddin, 48, juga maut akibat terkena patukan ular tedung selar ketika membuat persembahan pada tahun 2006. Kematian Ali Khan memang tragik dan mengejutkan. Tragik kerana nyawanya diragut oleh haiwan yang selama ini disayangi dan menjadi sebahagian daripada hidupnya.
Ali Khan menjadi penjinak ular selama 41 tahun. Pernah pada tahun 1998 beliau mengukir nama dalam Guinness World Records selepas tinggal bersama 6,000 ekor kala jengking selama 21 hari. Hari ini beliau mewariskan kepada anaknya Amjad. Hari ini terbukti Amjad sudah menggantikan tempat bapanya. Katanya, walaupun tragedi hitam itu berlaku tiga tahun lalu namun beliau tidak pernah trauma sebaliknya bangga mewarisi seni menjinakkan ular sawa, ular tedung selar, senduk, boiger dendropila (ular punti) dan ular merah itu.

Lihatlah. Seorang bapa yang bermain binatang berbisa sanggup mentarbiyyah anaknya agar meneruskan minatnya meskipun membahayakan nyawa anak yang disayanginya bahkan telah meragut nyawanya sendiri. Cabaran itu dipikul dan digalas oleh anaknya kini.
Kalau semua pendakwah, para murabbi dalam Islam dan gerakan Islam mewariskan kerja mulia mereka sebagaimana Ali Khan mewariskan buat anaknya. Amat malang sekarang ini kekadang anak-anak mereka bersimpang siur bahkan memilih gerak-kerja yang menentang amalan ibu-bapa mereka sendiri. Bagaimana terjadi ulama mewariskan anaknya dibidang artis yang tidak menjaga segala syariatnya. Sebagai penzalim dengan kuasanya. Sebagai perasuah dengan harta rakyatnya maupun sebagai penentang kepada gerakan Islam yang sepatut didokongnya.
Kerja Islam yang sudah tentu lebih mulia bahkan yang menjadikan amalan yang dikasihi Allah dan nabiNya sepatutnya lebih dikasihi dan dicintai daripada segala kerja didunia yang fana’ ini.
وَمَنْ أَحْسَنُ قَوْلًا مِمَّنْ دَعَا إِلَى اللَّهِ وَعَمِلَ صَالِحًا وَقَالَ إِنَّنِي مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: "Sesungguhnya Aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?" al-fussilat : 33
Kalaulah Ali Khan serta Amjad sanggup mati demi peliharaan dan hobinya dengan ular berbisa, tak munasabah para ulama, pendakwah dan pencinta Islam tidak sanggup mati demi menggalas amanah yang ditinggalkan Rasulullah Saw serta agama sucinya iaitu Islam. Tetapi sedih dikala manusia berkorban demi bangsa, demi negara, demi cita-cita maupun sebuah nama tetapi ulama sanggup berkorban hanya untuk perut dan dibawah perutnya. Demi pangkat dan hartanya bahkan diwariskan anaknya.
إِنَّ الَّذِينَ يَكْتُمُونَ مَا أَنْزَلَ اللَّهُ مِنَ الْكِتَابِ وَيَشْتَرُونَ بِهِ ثَمَنًا قَلِيلًا أُولَئِكَ مَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ إِلَّا النَّارَ
Sesungguhnya orang-orang yang menyembunyikan apa yang telah diturunkan Allah, yaitu Al Kitab dan menjualnya dengan harga yang sedikit (murah), mereka itu Sebenarnya tidak memakan ke dalam perutnya melainkan api neraka. Al-Baqarah: 174
Tetapi ingatlah rosaknya dunia dek tangan-tangan manusia yang mendiaminya sendiri. Begitu juga yang baik atau buruk. Gerakan Islam itu sendiri kekadang ditumbangkan oleh ahlinya sendiri begitu juga Parti-parti nasionalis akan tumbang dek kerana ahlinya sendiri. Sebagaimana Umar pernah mengingatkan tenteranya agar berhati-hati dan sentiasa bertaqwa. Beliau tidak bimbang tenteranya dikalahkan oleh musuh tetapi beliau bimbang kalau tenteranya melakukan maksiat dan Allah Taala tidak menurunkan nasrunNya nescaya ketika itu tenteranya boleh dikalahkan oleh musuh.

No comments:
Post a Comment