Muhasabah Setahun Pentadbiran Kerajaan PAS Terengganu - MB

| |
Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan kerajaan negeri idam "Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera". Foto - Media MB
Perutusan Setahun Pentadbiran Kerajaan Terengganu

Alhamdulillah, setinggi-tinggi ucapan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, di atas limpah kurniaan-Nya kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran yang baharu telah mencapai usia setahun pemerintahannya.

Sudah pasti tahun yang pertama ini pelbagai pengalaman pahit dan manis telah kita kecapi dalam menguruskan negeri. Setidak-tidaknya kita sudah dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan serta ancaman dan peluang yang ada untuk diambil tindakan sewajarnya pada masa akan datang.

Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak bermula daripada pegawai, kakitangan, pimpinan masyarakat, korporat dan seluruh rakyat yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang setahun pentadbiran ini.

Tahun ini, kita meraikan setahun pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dalam bulan Ramadan. Sangat bertepatan untuk kita melakukan muhasabah terhadap prestasi diri dan juga prestasi Kerajaan Negeri.

Dalam tempoh ini, prestasi semua agensi mesti dinilai dan dilakukan penambahbaikan untuk memastikan negeri Terengganu terus bergerak menuju matlamatnya “Maju, Berkat dan Sejahtera”.

Marilah kita mengambil semangat daripada saranan Nabi Muhammad SAW untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, dan seterusnya kita terjemahkan dalam membangunkan negeri Terengganu ini.

Akhirnya, saya mengajak semua pihak untuk sama-sama kita berdoa dan bermunajat dalam bulan yang mulia ini agar kepimpinan negeri dan rakyat diberikan petunjuk oleh Allah SWT untuk menunaikan amanah kepimpinan ini.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu

sumber  : https://www.teganukita.net/2019/05/muhasabah-setahun-pentadbiran-kerajaan.html?fbclid=IwAR3w3LzhHyivx5VyBp2VXo7vIqRYBvABvj_b-xj-wezKBTe_NNB-KsrqyKk

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...