4X4 Bukan Sekadar Hobi

| |


Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 20 Januari - Kelab Peminat Pacuan 4 Roda Dungun (PADAT 4X4) mengambil kira agenda tarbiah yang melibatkan masyarakat, bukan hanya sekadar hobi semata-mata.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, walaupun ia sekadar hobi tetapi tujuan dan fungsinya adalah untuk mendekatkan diri dengan masyarakat sekali gus kepada Allah.

"Sebab itu kelab ini berada di bawah tarbiah walaupun ia sepatutnya di bawah  Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

“Kempen kita kerajaan negeri adalah menyerap segala aktiviti NGO seperti ini kepada syariah berbudaya supaya selari dengan syariah Islam," ujarnya ketika berucap di Majlis Makan Malam Tahunan PADAT di Sura Permai Homestay Sura Hujung Dungun, kelmarin.


Menurut beliau, kelab terbabit juga memberi kepentingan kepada kerja-kerja amal melibatkan masyarakat seperti bencana banjir yang sering berlaku di sekitar daerah ini.

"Kita mengambil contoh berlaku banjir di Kemaman, Kelantan, dan Paka sendiri, kelab inilah yang banyak membantu meringankan beban orang ramai.

“Ketika terputus hubungan komunikasi, 'walkie-talkie' bagi setiap ahli NGO inilah yang menghubungkan segala maklumat ke kawasan dalaman yang terputus talian ketika itu,” ujarnya.

Satiful berkata, Kelab 4X4 ini bukan hanya di hutan tetapi di bandar kerana banyak manfaat yang boleh menghubungkan antara satu sama lain.

"Dan pada baru-baru ini, semasa persiapan banjir juga telah kita 'standby' ahli-ahli kelab ini untuk bersedia memberi khidmat bantuan dan sebagainya,” ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, dengan adanya kelab tersebut sedikit sebanyak dapat menarik pelancong-pelancong luar ke negeri Terengganu yang mempunyai sumber alam semula jadi yang cantik.

"Terengganu ini mempunyai sungai, pantai, air terjun yang tinggi, tumbuh-tumbuhan dan kayu-kayu yang besar yang boleh menaikkan imej negeri dengan peranan kelab PADAT ini," ujarnya.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa bersedia membantu dengan memberikan sokongan fizikal dan mental ke arah mencapai matlamat yang dikongsikan bersama ini.

Rujukan : https://www.teganukita.net/2019/01/4x4-bukan-sekadar-hobi.html?m=1&fbclid=IwAR1s5uJorhX9dmPtG_KvaqJxuoduJ_6VQwq3OMsXXczrRDDm90SxV9hSIAQ

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...