Guna Peluang Lanjut Pengajian Untuk Jadi Yang Terbaik - Satiful Bahri

| | 0 comments

Para pelajar bergambar bersama YB Satiful Bahri selepas tamat Kem Bina Insan.



Oleh : Amiirullah Mansor

KEMAMAN, 10 April - Pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Mesir perlu berusaha menjadi individu yang terbaik dengan membuat persiapan secukupnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pelajar perlu memperkasakan pemikiran dan akidah demi memikul tanggungjawab yang besar semasa berada di sana.

“Ini kerana kita akan berhadapan dengan pelbagai ideologi yang boleh mempengaruhi diri.  

"Mereka umpama mata rantai yang akan meneruskan jalan pejuangan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW untuk disebarkan kepada masyarakat.

"Inilah bebanan dan tanggungjawab mengangkat martabat ilmu pengetahuan dan risalah yang ditinggalkan untuk kita," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Kem Bina Insan Kursus Persediaan Ke Mesir 2019, di Darul Iman Training Centre (DITC) Kemaman, di sini, baru-baru ini.
 
Satiful nasihat pelajar gunakan peluang dengan sebaiknya.
Seramai 78 pelajar berjaya melanjutkan pengajian bagi sesi pengambilan akan datang menyertai kem berkenaan.

Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Terengganu akan bertindak sebagai wakil menguruskan persediaan dan menghantar  pelajar berkenaan ke bumi anbia itu.

Kerajaan turut mengumumkan bantuan awal pengajian daripada Yayasan Terengganu (YT) bernilai RM1,000 dan bantuan awal pengajian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sebanyak RM2,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut berpesan, selain pendidikan formal, kemahiran kepimpinan juga perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar bagi mewujudkan kemahiran dalam mentadbir sesuatu organisasi.

"Bentuklah karisma dalam diri kita dengan sentiasa bersama jemaah untuk melatih kita menjadi seorang pemimpin yangg akan mewarisi masa hadapan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, hasrat kerajaan negeri untuk meletakkan Islam sebagai dasar utama dalam semua perkara.

"Saya berharap saudara sekalian dapat merealisasikan hasrat kerajaan kerana hanya kita sahaja (kumpulan pelajar dari Terengganu) yang lebih menumpukan ilmu berkaitan agama,” katanya.

Kumpulan pelajar berkenaan akan berangkat ke Mesir pada 19 dan 20 April ini.


sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/guna-peluang-lanjut-pengajian-untuk.html?fbclid=IwAR2Czueq_LstuKRmoSyEmlLNkR6jCqK4qXfGVSMlww9CsMZHb0rlTw11aDY

Read More !

'Saya Sedia Disiasat' - MB Terengganu

| | 0 comments

Dr Ahmad Samsuri.
SETIU,  13 April - "Saya sedia disiasat, " kata Menteri Besar,  Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Beliau berkata,  Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) boleh menyiasat beberapa akaun bank miliknya untuk mengetahui sendiri kedudukan kewangan dalam akaun tersebut bagi menafikan dakwaan kononnya beliau turut memiliki wang berjuta ringgit termasuk dalam RM3.5 juta dari 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang disumbangkan kepada PAS. 

“Hebatlah saya kalau macam itu. Saya ada beberapa akaun bank dan SPRM boleh siasat. Jangan kata RM3.5 juta, setengah juta pun saya tak ada,” katanya.
Serentak itu Dr Ahmad Samsuri yang juga Pengarah Pilihanraya PAS Pusat menafikan PAS  negeri Terengganu menerima wang sebanyak itu. 

Bagaimanapun beliau berkata, pihaknya sentiasa terbuka untuk disiasat SPRM jika benar wujud salah laku dan perlanggaran undang-undang.

“Jika ada kes, SPRM boleh ambil tindakan pada mana-mana pihak yang langgar undang-undang, tak kiralah mana-mana parti sekali pun. Kita sedia disiasat pada bila-bila masa,” katanya selepas pelepasan Kejohanan Kuda Lasak Piala Yang Dipertuan Muda Terengganu 2019 di Terengganu International Endurance Park (TIEP), Lembah Bidong, di sini, petang ini.

Ditanya dakwaan sesetengah pihak mengaitkan beliau menerima dana RM3.5 juta itu, Dr Ahmad Samsuri hanya ketawa dan menafikannya.

Beliau mengulas laporan terbaru memetik sumber SPRM mengenai pemberian RM3.5 juta kepada PAS Terengganu iaitu sebahagian daripada RM90 juta yang didakwa diterima PAS.

sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/saya-sedia-disiasat-mb-terengganu.html?fbclid=IwAR3C_Xwg7iZAFwcFWUnbWTUshh4FQVSutQitwL2U_AJlEZoYhabLCeRiobo

Read More !

Terengganu Negeri Yang Subur Dengan Ilmu

| | 0 comments

Satiful Bahari Mamat.
KUALA TERENGGANU, 14 April - Terengganu adalah sebuah negeri yang subur dengan ilmu dan institusi pendidikan  sehingga berjaya melahirkan ramai golongan teknokrat dan ilmuan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sejarah ketinggian ilmu sememangnya tidak asing di bumi Terengganu yang menyaksikan tokoh-tokoh hebat sentiasa mendapat perhatian dunia.

Jelasnya, justeru itu pihaknya sentiasa membuka ruang buat semua warga pendidik sama ada daripada dalam atau luar Terengganu untuk bekerjasama membina generasi rabbani.

“Dan insya-Allah, kita mengalu-alukan, Terengganu kita mengharapkan sebagai negeri yang subur dan sentiasa terbuka kepada dunia pendidikan khususnya yang berteraskan Islam.

“Untuk bersama-sama bekerjasama bagi mencapai matlamat, kita juga membuka peluang bukan hanya kepada anak Terengganu tetapi juga kepada mereka yang di luar Terengganu, untuk kita membina generasi pelapis,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Himpunan Pendidik Islam Malaysia (HPIM) 6.0 Peringkat Kebangsaan di Stadium Negeri, di sini semalam.

Tokoh murabbi ummah.
Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Dato' Hashim Jasin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Satiful menyampaikan anugerah kepada beberapa tokoh pendidik yang banyak berjasa dalam institusi keilmuan di negara ini.

Anak jati Terengganu dari Kampung Baru Seberang Takir, Ustaz Mohd Fauzi Mansor dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Kelainan Upaya atas sumbangan beliau dalam dunia pendidikan terutamanya kepada masyarakat kurang penglihatan.

Selain itu, turut menerima anugerah pendidikan dalam himpunan kali ini ialah Dato’ Hashim Jasin yang dianugerahkan Tokoh Murabbi Ummah manakala Dato’ Dr Johari Mat sebagai Tokoh Pendidik, dan Ustaz Azhar Idrus menerima anugerah Tokoh Pendidik Masyarakat Nusantara.

Tidak ketinggalan, Tokoh Pendidik Muslimat dianugerahkan kepada Dr Halimah Ali yang banyak berjasa dalam pendidikan perubatan dan agama.

                                                                                                                       Mohd Fauzi Mansor tokoh pendidik kelainan upaya.
HPIM 6.0 menghimpunkan semua pendidik daripada pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR), tahfiz, madrasah, pondok,
Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) serta sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/terengganu-negeri-yang-subur-dengan-ilmu.html?fbclid=IwAR1HKcmjGrT0WQuqutyitZjNS6CDL7z-i7_-2qSLoqBo5fujF9CvOwC82so

Read More !

Sekolah Agama Akan Dipertahankan - Dr. Khairuddin

| | 0 comments


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 15 April - Sekolah-sekolah agama seperti pondok, madrasah, dan lain-lain yang merupakan asas pendidikan utama di Malaysia, khususnya di Semenanjung  akan terus dipertahankan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, asasnya adalah sekolah-sekolah agama ini telah  diwujudkan sebelum zaman penjajahan lagi.

“Dan kita lihat sekolah agama ini wujud sampai ke hari ini dan tidak akan mati usaha dan keringat umat Islam untuk meneruskan usaha membina pusat pendidikan (agama).

"Sekolah-sekolah agama mengajar penulisan, membaca dan menjadi satu pusat ilmu yang rasmi bagi rakyat mendapatkan pendidikan rasmi mereka (pada ketika itu),"katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-undang Islam di Sidang Parlimen, baru-baru ini.

Beliau berkata melalui usaha terdahulu, ia telah melahirkan  orang-orang bijak pandai menerusi sekolah-sekolah ini.

"Sehinggalah zaman penjajahan, diwujudkan pula sekolah-sekolah oleh Inggeris yang memindahkan nilai pendidikan itu kepada sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh kerajaan dengan pelbagai sijil yang diberikan," ujarnya.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/sekolah-agama-akan-dipertahankan-dr.html?fbclid=IwAR2xCRzQzo70Gx9wKM8TWcoJaCcVa0lWzmeF37L2VlSk2c4eRqEZi8Vm9oU

Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...