Apabila Antik bertemu Klasik

| |



Di hujung minggu apabila seorang teman mengaturkan program ceramah ke Hulu Terengganu di Tanjung Putat, K.Brang sempena program Ops al-Falah. Memandangkan ke-esokan harinya program Seminar Akademi Latihan Kepimpinan Pas (ALIM) sessi pertama bermula di Kuala Terengganu, jadi terlebih baik bermalam sahaja di Kuala Brang. Walaupun penulis mempunyai keluarga juga di Kuala Brang tetapi apabila sahabat menawarkan untuk bermalam di Warisan pahlawan Resort menyebabkan penulis terus bersetuju.

Ini untuk kedua kalinya penulis menjejakkan kaki ke Resort ini. Ia merupakan resort yang paling istimewa buat penulis. Sedia maklum Kuala Brang adalah Bandar bersejarah buat Terengganu. Perkembangan Islam tersebar dan berpusat di Kuala Brang di Hulu Sungai Terengganu yang merupakan penempatan awal dan pusat perniagaan dan pentadbiran Negeri Terengganu. Penemuan Batu Bersurat di Kampung Buluh Kuala Brang telah mengangkat nama Kuala Brang sebagai pusat Islam 700 tahun yang lampau berdasarkan catitan pada Batu Bersurat Terengganu bertarikh 1303 M (702 H)


Berdasarkan keterangan itu ternyatalah Kuala Berang (Fo-lo-an) pernah menjadi pusat perniagaan yang utama di Asia Tenggara disamping Seri Wijaya dalam kurun masihi yang ke 12. Selain daripada itu, disinilah juga berlakunya Perlantikan Kesultanan Terengganu Pertama. Di samping itu, daerah Hulu Terengganu juga pernah menjadi tempat kunjungan dan tempat bermastautin tokoh-tokoh ulama seperti yang dibuktikan dengan penemuan makam-makam lama seperti Makam Tok Raja Ri dan Makam Tun Indera di Kampung Kuala Por, Makam Tok Pauh di Kampung Pauh, Makam Tok Gajah di Kampung Pasir Nering, Makam Tok Berlian Mahmud di Kampung Kemat dan Makam Sharif Mohammad al-Baghdadi di Kampung Jenagor.


Hulu Terengganu juga pernah menjadi tumpuan pahlawan-pahlawan Melayu seperti Tok Gajah, Dato` Bahaman, Tok Janggut, Mat Kilau dan lain-lain lagi di awal abad ke 19. Daerah ini dijadikan sebagai kubu dan tempat persembunyian mereka bagi mengatur strategi menentang penjajahan Inggeris pada ketika itu. Antara peristiwa yang masih menjadi ingatan sehingga ke hari ini ialah Peristiwa Padang Kacong di Kuala Telemong.

Nama Tok Pauh yang sebenarnya ialah Sheikh Abdullah bin Abdul Kahar berasal dari Negeri Arab. Beliau ialah bapa kepada Tok Pulau Manis (Sheikh Abdul Malek bin Abdullah). Beliau seorang ulama yang terkenal dan adalah dijangka meninggal dalam tahun 1960-an. Makam beliau terletak di Kampung Pauh 6 km dari Bandar Kuala Berang.


Di Kampung Pauh inilah Resort ini tersergam indah. Munasabahlah ia mengambil nama Warisan Pahlawan. Setiap buah Rumah yang terukir indah merupakan rumah antik. Ada yang sudah mencecah usia sehingga 150 tahun. Rumah antik ini dikumpul dan dibaik-pulih serta diselia dengan baik. Pembinaan rumah lama dengan reka-cipta para tukang Terengganu mengambarkan seni bina yang amat bernilai tinggi. Menghabiskan masa di Resort ini pastinya tidak jemu. Kita akan merasa bahawa kita hidup dizaman tradisi kegemilangan era kepahlawanan melayu silam. Kayu-kayu cenggal yang siap terukir menggambarkan kehebatan mereka terdahulu dalam menggarap seni ukir dan kerja tangan yang hebat. Tanpa paku dan berdinding kayu lebar beratapkan bata pasti membuatkan sesiapa saja terpegun dengan nilai antik yang diwarisinya. Salah sebuah antara rumah tersebut dikatakan pernah disinggahi oleh Tok Gajah dalam perjalanannya di Kampung Pauh. Rumah-rumah di Resort ini dinamakan sempena nama tokoh pahlawan dan ulama terkenal termasuk Mat Kilau dan Tok Pauh. Sedetik didalam rumah tersebut ataupun berdiri di berandanya terasa seolah bersemayam didalam istana.


22 negara yang pernah penulis mengembara dan berkelana. Rupanya ada kelebihan tersendiri dinegeri sendiri. Apatah kali ini penulis bertolak dari Dungun memandu Volvo klasik 122s keluaran 1967 menuju ke Kuala Brang dan singgah di Teratak Warisan Pahlawan. Terasa macam P.Ramlee memandu bersama Sabariah ke Pulau Pinang dalam filem Ibu Mertuaku. Apabila bertemu kereta klasik dan rumah antik seperti ini terasa seolah nostalgia dan mimpi-mimpi hitam dan putih dijalin begitu seni bak sebuah skrip filem. Tetapi adakah ia mempunyai erti bagi remaja kini yang mengkhayalkan Lamborgini dan sebuah penthouse di lembah Klang. Hanya jauhari sahaja yang kenal manikam. Yang mampu membezakan antara klasik, antik dan vintage.

Kepada sahabat-sahabat yang ingin berkunjung ke Resort warisan Pahlawan di kampong Pauh, K.Brang ini sila hubungi Pok Ton selaku empunya Resort. H/P: 013-9715068

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...