| | 0 comments

MAJLIS RAMAH MESRA BERSAMA KAUM TIONG HWA DI DEWAN MPD DUNGUN
Majlis dialog antara penduduk Tiong Hwa untuk bertemu dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Dungun ini mendapat sambutan yang agak memberangsangkan dari kaum Tiong Hwa.
Majlis anjuran Lajnah Perpaduan Nasional membuktikan bahawa kerajaan Negeri Terengganu walaupun dikuasai PAS sama sekali tidak meminggirkan kepentingan kaum yang lain.
Turut hadir ADUN Rantau Abang, Alias Harun. ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik, Pegawai Penyelaras Ustaz Haji Ghazali Sulaiman serta Ketua Dewan Himpunan Penyokong PAS, Dr Balachandran.

Read More !

SELAMAT HARI WANITA

| | 0 comments

SELAMAT HARI WANITA
"Wanita Terengganu, Wanita Berilmu"
Kuat seorang perempuan kerana lelaki, kuat seorang isteri kerana suami dan kuat seorang ibu kerana anak.
Berbanggalah kerana dilahirkan sebagai wanita. Islam begitu memuliakan wanita dengan mengangkat darjatmu melalui kalam Allah dan lisan RasulNya kerana dirimu begitu berharga.
Maka, hargailah dirimu dengan memelihara auratmu dan menghiasinya dengan akhlak yang baik. Benarlah tangan yang menghayun buaian boleh menggoncangkan dunia.

                                          

Read More !

Bahasa Arab Perlu Ditekankan Sejak Awal Persekolahan

| | 2 comments



Oleh : Amiirullah Mansor

DUNGUN, 29 Disember- Kepentingan modul Bahasa Arab perlu diterapkan kepada pelajar sejak sekolah rendah lagi bagi mengatasi masalah komunikasi dalam bahasa tersebut apabila melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi terutamnya di Timur Tengah.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan Dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, pemasalahan menguasai Bahasa Arab yang dihadapi oleh para pelajar khususnya penuntut Universiti di Timur Tengah dapat dibendung dari awal.

“Pelajar yang mengambil peperiksaan UPSRI akan belajar subjek Feqah, Sirah, Tauhid dan sebagainya dalam Bahasa Arab.

“Bahkan kita akan memberi pendedahan awal berkaitan bahasa itu untuk dikembangkan ke peringkat sekolah menengah seterusnya ke Universiti,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pendaftaran & Taklimat Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Dun Paka di Dewan SRIDI Paka.

Beliau yang merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka menjelaskan, pendidikan yang menggabungjalinkan antara modul konvesional dan modul pendidikan agama memberi impak positif terhadap pelajar.

“Di samping pelajar mempelajari mata pelajaran biasa, mereka juga diperkukuhkan dari segi ilmu keagamaan, adab, pemakaian dan amalan.

“Sekaligus dapat menghilangkan kerisauan ibu bapa terhadap anak-anak mereka terhadap perkara luar dari mata pelajaran,” jelasnya.

Sumber : 
https://www.teganukita.net/2019/12/bahasa-arab-perlu-ditekankan-sejak-awal.html?fbclid=IwAR1OSXYzp540N0NmufnTw62WB-QnyhxWAYd73srgugsfjJasgnCPyb9Vhj4

Read More !

Terengganu Agih RM10 Juta Untuk Bantuan Persekolahan

| | 2 comments

Dr Ahmad Samsuri (kanan) menyerahkan barangan dapur kepada penerima bantuan musim tengkujuh dari DUN Rhu Rendang.
MARANG, 28 Disember - Kerajaan negeri memperuntukkan RM10 juta untuk bantuan persekolahan kepada lebih 81,000 pelajar di seluruh negeri Terengganu sehingga penghujung bulan ini.

Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ada di antara daerah yang sudah selesai membuat pengagihan bantuan itu dan ada juga yang masih dalam pelaksanaan.

Beliau berkata demikian ketika bercakap kepada media selepas Program Agihan Sumbangan Musim Tengkujuh Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang di Masjid Sultanah Nur Zahirah di sini hari ini.

Turut hadir Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ketua Polis Daerah Marang DSP Mohd Zain Mat Dris.

Pada majlis berkenaan, seramai 525 penerima yang layak menerima sumbangan  dengan peruntukan sebanyak RM50,000 yang disediakan untuk DUN tersebut.

Sementara itu, ketika menyampaikan ucapan perasmian majlis berkenaan, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)i Rhu Rendang menyarankan agar Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh negeri Terengganu membuat 'post mortem' cara pengagihan pakaian sekolah tahun ini kerana berlaku sedikit kelemahan yang perlu diperbaiki untuk penambahbaikan di masa akan datang.

"Terdapat sebanyak 10 peratus berlaku kelemahan yang perlu diperbaiki dalam pengagihan pakaian dan peralatan sekolah tahun ini.

"Ada cadangan penerima bantuan hanya perlu diberi voucher dalam kadar tertentu contohnya RM100, untuk membolehkan mereka menukarnya dengan barangan berkenaan di kedai yang ditentukan.

"Namun cara tersebut, juga ada kelemahan tersendiri termasuk menyalahgunakan voucher untuk membeli barangan lain, selain barangan yang telah ditetapkan," ujarnya.

Read More !

Manifesto SRIDI Terengganu Makin Berkembang

| | 3 comments


Oleh: Pyang Mamat

KEMAMAN, 29 Disember - Kerajaan Terengganu sekali lagi menepati dan meneruskan janji manifestonya dengan menawarkan pengambilan pertama untuk pelajar tahun satu Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) di tiga lagi daerah menjelang tahun 2020 yang tinggal dua hari lagi.

Tiga buah lagi SRIDI yang akan dibuka Januari tahun hadapan, masing-masing sebuah di Permaisuri, Setiu, Kerteh 1, Dungun dan Kijal, Kemaman selepas langkah cemerlangnya menubuhkan SRIDI di enam lokasi iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun, Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Kuala Nerus) serta Kampung Raja (Besut).

Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu (SRAYIT) yang terletak di Losong (Kuala Terengganu) juga digabung jalinkan menggunakan modul yang sama dengan SRIDI.

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ini menjadikan sembilan buah SRIDI dibuka bagi menunaikan janji manifesto Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) yang lalu.

Sementara itu, janji manifesto kerajaan negeri "Satu DUN (Dewan Undangan Negeri) Satu SRIDI" telah terlaksana di DUN Kijal dengan diadakan Majlis Perasmian SRIDI pagi semalam.

Majlis yang disempurnakan oleh Pegawai Penyelarasnya, Ustaz Hazri Jusoh di Kompleks Paya Lasir, Bandar Baru Kijal mencatatkan seramai 59 orang pelajar tahun pertama bagi sesi 2020.

Beliau mengucapkan jutaan terima kasih di atas kepercayaan yang diberi oleh Kerajaan Terengganu melalui Jabatan Hal Agama Islam Terengganu (JHEAT) kerana menjadikan DUN Kijal sebagai 'Pilot Project' SRIDI di Kemaman.


Dalam perkembangan sama, beliau bersyukur dengan kesedaran ibu bapa tentang betapa pentingnya pembelajaran agama untuk anak-anak mereka.

"Tahniah kepada ibu bapa sekarang kerana menyedari betapa pentingnya asas pendidikan agama, kefahaman tentang tauhid dan al-Quran bagi anak mereka," ucap beliau.


Katanya, Sekolah Menengah Islam Darul Iman (SMIDI) juga dalam perhatian kerajaan untuk dilaksanakan di negeri Terengganu.

"Insya-Allah untuk SMIDI pun kami di DUN Kijal sanggup untuk menyediakan tapak bagi melihat pembangunan pembelajaran agama ini, kecil tapak tangan nyiru kami tadahkan," ucap beliau lagi.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/12/manifesto-sridi-terengganu-makin.html?fbclid=IwAR1454R6Myj4YXVXpsRKvV4k_dF8BnWah7qdcAhYD2hfTHzCHtXbPKwqotQ

Read More !

Pagar SRIDI Siap Mac, Isu Air dan Elektrik Selesai

| | 3 comments

Para pelajar SRIDI Kuala Terengganu ketika sesi taklimat.
KUALA TERENGGANU, 1 Januari - Kerajaan negeri memberi jaminan isu keselamatan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) Kuala Terengganu akan diselia dengan baik.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat ketika mengulas penularan berita berkaitan masalah yang berlaku di SRIDI berkenaan berkata, pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) menyasarkan pagar sekolah itu akan selesai dibina Mac nanti.

Ketiadaan pagar tersebut dilihat sebagai antara masalah besar berkaitan keselamatan pelajar dan pengurusan SRIDI maklum akan perkara itu.
Satiful dan Lothman memberi penjelasan berkenaan SRIDI Kuala Terengganu.
“Buat sementara ini, JHEAT menyediakan pengawal keselamatan dan pembantu hal ehwal murid untuk mengawal pelajar-pelajar termasuk lalu lintas di kawasan sekolah itu.

“Kami juga telah mewujudkan agihan tugas guru-guru kepada dua sektor tugasan iaitu giliran mengajar dan kawalan keselamatan,” katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Penolong Pesuruhjaya JHEAT (Bahagian Pendidikan), Lothman Awang.

Jelasnya, prosedur keselamatan itu juga telah diamalkan di SRIDI-SRIDI lain yang diwujudkan sebelum ini sehingga kemudahan sekolah agama milik kerajaan negeri itu siap sepenuhnya.

Beliau turut berterima kasih atas keprihatinan wartawan, pihak media dan orang ramai tentang masalah yang berlaku.
Air dan elektrik telah disambungkan sebelum sesi persekolahan, hari ini.
“Antara masalah yang dibangkitkan adalah ketiadaan air, eletrik serta kemudahan asas seperti kerusi, meja dan alat bantu mengajar.

“Air dan eletrik baru hari ini dapat disambungkan sebagaimana disepakati berikutan kekangan prosedur pemilikan bangunan sebelum ini. Ini disebabkan bangunan berkenaan baru dibeli oleh Lembaga Tabung Amanah Warisan Negeri Terengganu daripada pihak persendirian,” katanya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu bagaimanapun menyangkal dakwaan ketiadaan kemudahan asas pembelajaran oleh pihak terbabit.

“Adapun menggambarkan pelajar yang hanya duduk di atas tikar getah, itu sebenarnya ruang surau yang digunakan untuk aktiviti berkumpulan anak-anak ini.

“Sebenarnya, ada ruangan kelas yang terdapat kemudahan alat bantu mengajar iaitu kerusi, meja dan tidak dibuka kerana hari ini hanya membabitkan proses pendaftaran murid, taklimat dan aktiviti berkumpulan sempena ‘minggu transisi’ pelajar baharu,” jelasnya.
Guru di SRIDI menunjukkan keadaan kelas yang tedapat kemudahan pembelajaran dan lampu yang menyala.
SRIDI merupakan pelaksanaan manifesto kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Tahun lalu, sebanyak enam SRIDI telah dibuka di enam daerah di seluruh negeri dan kini sebanyak tiga lagi SRIDI dibuka menjadikan jumlah keseluruhan sekolah tersebut yang beroperasi sebanyak sembilan buah.

SRIDI juga mengetengahkan pendekatan berbeza apabila menyediakan makanan secara tempahan khas tanpa mewujudkan kantin sebagai pendekatan membekalkan makanan sihat kepada pelajar.

SRIDI Kuala Terengganu menerima pendaftaran 110 pelajar tahun ini dengan pengurusan 20 orang guru diperkukuh dengan kemudahan 10 pintu lot rumah kedai yang merangkumi lima kelas, satu bilik guru dan pejabat, dewan solat serta dewan makan. Manakala, terdapat dua ruangan masih belum digunakan.

Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...