'Jauhi Pesta Liar Di Ambang Merdeka' - Ustaz Satiful Bahri

| | 0 comments


Ustaz Satiful Bahri Mamat.
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu meminta semua agensi kerajaan memantau mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengadakan pesta liar dan maksiat sempena ambang merdeka di seluruh negeri sekali gus mengambil tindakan undang-undang jika didapati melakukan kesalahan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, Kerajaan Negeri juga menasihatkan mereka terbabit tidak mengadakan sebarang acara atau pesta yang bercanggah dengan peraturan dan enakmen yang ditetapkan kerajaan, jika mereka tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.

"Perbuatan yang menyalahi undang-undang mencemarkan keharmonian negeri dan negara sekali gus meletakkan diri masing-masing mencabar enakmen negeri dan undang-undang negara.

"Kita akan mengembeling semua pihak untuk membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas jika ada pihak sengaja mengingkari perundangan yang sedia ada.
"Jadilah rakyat yang berguna dan bermanfaat kepada negeri dan negara, hiduplah dengan aman tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu seterusnya berkata, tidak ada masalah mereka mahu meraikan hari kemerdekaan negara tetapi biarlah keraian dibuat tidak melanggar lunas-lunas agama dan undang-undang negara.

Katanya tujuan sambutan itu juga ialah untuk memupuk semangat petriotisme dan cinta kepada keamanan serta kedamaian negara tanpa terbabit dengan gejala sosial yang merosakkan akal, jasmani dan rohani.

"Jadi, kembalilah kepada fitrah manusia yang suci murni dengan sentiasa beramal dengan amalan mulia Islam dan menghargai akal dan jasmani yang sihat kurniaan Allah kepada kita semua, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 62 dan selamat maju jaya," ujarnya lagi.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/08/jauhi-pesta-liar-di-ambang-merdeka.html?fbclid=IwAR2eOvlUKGJewm2UnIvK-Ga-vQ-p2naDkhWhkfo-9tHUSvWw5q_iMhCBB_s

Read More !

Ketua Hakim Negeri Menyokong Hukuman Hudud dan Qisas Terengganu

| | 0 comments



Oleh: Amiirullah Mansor

ACHEH, 27 Ogos- Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Hudud dan Qisas) Terengganu Tahun 2002 mendapat sokongan penuh daripada Ketua Hakim Mahkamah Syariah Terengganu.

Ketua Hakim Mahkamah Syariah Terengganu, Wan Muhammad Zakri Wan Mohd berkata,  sokongan penuh akan diberikan kepada kepimpinan sekarang yang diketuai oleh Exco Pelaksanaan Syariah Negeri, Saiful Bahri Mamat.

"Saya setuju dan sangat menyokong kajian semula bagi memperbetulkan beberapa perkara yang ada dalam enakmen yang telah diluluskan itu supaya ia sentiasa relevan dengan keadaan semasa," katanya.

Selain itu, jelasnya beliau berharap agar enakmen ini diluluskan secepat mungkin demi kesejahteraan tanah Darul Iman itu.

"Saya harap ia dapat dijayakan secepatnya kerana enakmen itu perlu diperbetulkan sedikit pindaan sahaja," ujarnya.


Beliau berkata demikian ketika sidang media Majlis Lawatan Berkaitan Pelaksanaan Hukuman Sebatan Dan Perkongsian Maklumat Berhubung Dengan Pelaksanaan Syariah di Mahkamah Syar'iah Ache, Banda Acheh.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Maliaman Kassim, Hakim Mahkamah Syar'iyah Aceh, Drs H Zulkifli Yus MH dan Wakil Ketua Mahkamah Syar'iyah Aceh, DRA. Hj. Rosmawardani, SH, MH.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata pihak negeri agak serius dan memberi komited secara keseluruhan enakmen yang telah diluluskan pada 2002 itu.

"Kerjasama dan buah fikiran yang kita dapat di sini akan dipraktikkan dan buat penambahbaikan di negeri Terengganu,” ujarnya.

Katanya,  diharapkan dengan lawatan hubungan dua hala antara Terengganu dengan Acheh ini, dapat menjayakan Pelaksanaan Syariah di negeri Terengganu serta dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/08/ketua-hakim-negeri-menyokong-hukuman.html?m=1&fbclid=IwAR0p2oYWgxhASSDPyABHRPq8LRsrl3Ak2ccR3hsrDlzm6en5gAJxH912wOE

Read More !

Sebatan Pertama Bukti Terengganu Mampu Laksana Undang-Undang Syariah

| | 0 comments



Oleh: Amiirullah Mansor

ACHEH, 25 Ogos- Pelaksanaan hukuman sebatan terhadap pasangan lesbian di Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu tahun lalu membuktikan Kerajaan Negeri mampu menjalankan undang-undang syariah mengikut ajaran Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ianya secara tidak langsung memberi pencerahan perbezaan mahkamah syariah dengan mahkamah sivil kepada masyarakat.

"Pertama kali sebatan mengikut mahkamah syariah di negara ini dibuat secara 'public' telah menghangatkan seluruh negara,

"Dan ia dapat membuka mata masyarakat betapa berbezanya mahkamah syariah dengan mahkamah sivil sekaligus berhasrat kearah pelaksanaan syariah di negeri Terengganu khususnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Pertemuan bersama Pesatuan kebangsaan Pelajar Malaysia Indonesia (PKPMI) cawangan Acheh di Universiti Islam Ar-Raniry Banda Acheh.

Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Maliaman Kassim, Ketua Hakim Mahkamah Syariah Terengganu, Wan Muhammad Zakri Wan Mohd, Setiausaha Agong PKPMI Cawangan Acheh, Muaz Afifuddin dan Presiden Overseas Students Of Terengganu Council (OSTeC), Wan Fakruddin Wan Rosli.

Sehubungan dengan itu katanya, bagi merealisasikan hasrat kerajaan negeri itu Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah akan membuat bengkel bagi membincang perkara ini dan akan mempelajari pelaksanaannya daripada negara luar seperti Indonesia.

"Insya-Allah dengan kehadiran kita ke Acheh ini, kita dapat meninjau perkembangan yang ada di sini apabila negara Indonesia melaksanakan syariah," ujarnya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, selain itu usaha kerajaan adalah untuk menambahkan pelaksanaan syariah sukarelawan di setiap peringkat dan DUN.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/08/sebatan-pertama-bukti-terengganu-mampu.html?m=1&fbclid=IwAR1YSfDGItnN9CaLUSvykaLLfED-eHYqsrbA2tHHs09hd_a9lz-Ep48MNBw

Read More !

Guru Al-Quran Terengganu Bertambah 1,000 Orang Lagi

| | 0 comments

Ustaz Satiful Bahri Mamat.
KUALA TERENGGANU, 28 Ogos -  Kerajaan negeri telah menambah guru al-Quran daripada 732 kepada 1,700 orang.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, ia melibatkan tambahan elaun daripada RM3.2 juta kepada RM7 juta.

Katanya, peruntukan untuk kefahaman al-Quran ditambah oleh kerajaan negeri, bukan berkurang atau dikurangkan.

"Penyelarasan itu dibuat bagi mengimbangi elaun guru Kelas Fardu Ain (KAFA)  yang turut melakukan tugasan sama.

"Mereka itu ialah yang terlibat di bawah KEMAS dan Tadika Perpaduan di bawah Kerajaan Pusat," katanya ketika ditemui pemberita di pejabatnya di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Guru berkenaan akan diselaraskan elaun mereka dari RM500 kepada RM400 mulai bulan depan dan isu ini tular di media sosial hari ini.

Satiful yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu menjelaskan, elaun itu boleh dikekalkan atau ditingkatkan sekiranya Kerajaan Pusat memberi peruntukan sewajarnya.

Di samping itu kata beliau, kerajaan negeri membuka lebih banyak peluang untuk anak-anak negeri mempelajari al-Quran dengan kewujudan guru yang ramai di setiap kawasan.

"Ia juga mengurangkan bebanan tugas yang ditanggung guru al-Quran apabila semakin meningkat permintaan untuk belajar al-Quran.

"Dahulu seorang guru mengawal 10 murid tetapi sekarang seorang guru hanya lima orang murid sahaja," katanya. 

Read More !

SEM Terengganu Terus Cemerlang Garap Inovasi Generasi Muda

| | 0 comments

Satiful menyampaikan sijil penghargaan dan cek daripada kerajaan negeri.
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Kerajaan negeri menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada sekolah-sekolah yang menyertai Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) serta berjaya mengangkat nama negeri ke peringkat nasional dan antarabangsa melalui pelbagai inovasi idea dan produk alternatif.  

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, program SEM akan terus menggarap lebih banyak kreativiti generasi baharu untuk terus berinovasi dan mencungkil bakat mereka.

“Berdasarkan faktor umur mereka,  amat membanggakan kerana mereka bukan sekadar berjaya melontar idea tetapi mengeluarkan produk.

“Lebih-lebih lagi pada zaman Revolusi Industri 4.0 yang mana kita memang perlukan pelapis-pelapis untuk menhadapi zaman yang lebih mencabar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pesta SEM 2019 di Perpustakaan Negeri Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamuddin Hashim, Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Azman Othman, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Lothman Awang serta Pengerusi Persatuan Pendidikan Terengganu Bestari (T-Confra), Mazlan Che Wil.
 
Guru penyelaras sekolah menunjukkan hasil inovasi pelajarnya kepada Satiful.
Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri turut menyampaikan dana bernilai RM1,000 bagi setiap 24 buah sekolah yang terlibat untuk membantu perkembangan idea dan inovasi.

Satiful juga menyatakan, kejayaan sekolah  adalah satu fenomena  yang baik atas inisiatif guru-guru dan ibu bapa yang menyokong melalui tenaga dan wang membolehkan mereka berkembang sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerajaan negeri juga optimis untuk mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan dengan cara komersial selepas menilai kebolehpasaran inovasi yang dibangunkan.

“Saya rasa, tidak mustahil ia direalisasikan pada masa akan datang. Kita sememangnya berbangga dengan produk-produk yang dihasilkan.

“Cuma, masa dan waktu akan membuktikan. Jika mereka telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, mengapa tidak ia dipaten atau dikomersialkan?,” katanya.

SEM merupakan satu program inovasi pendidikan Kerajaan Negeri Terengganu
yang bermula pada tahun 2005 hingga kini dengan fokus utama, Learning is Fun dan No Child Left Behind.

Program tersebut adalah suatu model pembelajaran menyeluruh dalam membangunkan potensi murid selain merupakan satu pendekatan tambah nilai dalam sistem pendidikan bagi membantu meningkatkan pencapaian sesebuah sekolah berdasarkan kepada sumber-sumber persekitaran, bilangan murid, kepimpinan sekolah dan kreativiti sesuatu organisasi.

Dalam Pesta SEM 2019 yang berakhir hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut berjaya merangkul Anugerah Khas SEM dengan penghasilan produk berasaskan kulit telur.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/08/sem-terengganu-terus-cemerlang-garap.html

Read More !

Teknologi 5G Beri Impak Interaksi Sosial Masyarakat

| | 0 comments


Oleh: Amiirullah Mansor

DUNGUN, 4 Ogos - Perkembangan Teknologi Generasi Kelima (5G) khususnya di negeri Terengganu bakal memberikan pelbagai implikasi terhadap interaksi sosial dalam kalangan masyarakat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, ujian 5G yang akan dilaksanak di negeri Terengganu wajar diberi perhatian.

“Pada masa ini, rangkaian 4G sahaja sudah mempengaruhi dunia masyarakat terutama anak-anak muda melalui kecanggihan peranti mudah alih sehingga kadang-kadang mengabaikan perkara – perkara semasa, apatah lagi dengan rangkaian 5G lebih luas akses dan aplikasinya.

“Zaman sekarang, majoriti individu menggunakan telefon mudah alih untuk mencari keseronokan dan kepuasan jiwa menyebabkan pengabaian dalam terlibat aktiviti bermasyarakat setempat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Penutup Kejohanan Bola Jaring Tertutup Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka Piala Isteri YB di Paka, semalam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu berkata, sekali pun teknologi banyak membantu manusia, masyarakat tidak boleh meninggalkan aktiviti kemasyarakatan yang membentuk jati diri dan hubungan sesama insan.

"Menggunakan teknologi itu bagus, tetapi jangan sampai terlalu mengejar kemajuan dengan mengabaikan aspek kemanusiaan.

“Tahniah kepada pihak penganjur kerana berjaya mengadakan program serta menarik masyarakat anak muda khususnya menyertai kejohanan ini. Aktiviti sebegini secara tidak langsung membentuk hubungan sosial di kalangan masyarakat,” katanya.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/08/teknologi-5g-beri-impak-interaksi.html?m=1&fbclid=IwAR2X4n_VqEKbCg-njnzClNEVuDwypRta4mTPeihixf3nGipCtqZ9CwsJCQE

Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...