TUAH KEJAR MB TERENGGANU

| | 0 comments



SERDANG, 30 November - Mohd Rosdi Roslan, 30 dan Nurasyikin Roslan, 28 tidak menyangka tindakan mereka mengejar Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk berswafoto mengundang tuah.

Nurasyikin berkata, mereka berdua amat mengagumi pemimpin itu dan teruja dapat bertemunya lebih dekat.

"Ketika itu, kami baru sahaja keluar dari Pavilion Terengganu dan melihat Dr. Samsuri beserta rombongan tiba di sana.

"Kami sempat berpatah balik mengejar beliau dan sempat berswafoto sebelum Menteri Besar masuk melawat Pavilion Terengganu," katanya ketika ditemui di sana, hari ini.

Nurasyikin bersyukur kerana Dr. Samsuri menyambut baik hasratnya dan suami.

Hasil tindakan tersebut, pasangan dari Semenyih, Selangor itu dipilih oleh Pavilion Terengganu sebagai peserta bertuah dan memenangi percutian tiga hari dua malam di Pulau Redang.

"Alhamdulillah atas rezeki ini. Terima kasih Pavilion Terengganu kerana memilih kami sebagai pemenang," katanya.

Beliau turut menganggap ia kegembiraan berganda apabila Dr. Samsuri sendiri menyampaikan hadiah yang dimenanginya.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/tuah-kejar-mb-terengganu.html?m=1&fbclid=IwAR1dS5VfDqNuMu-URz-lVMGNDhlD-gRmXVUtCl5_UNgiklqt4axNmsuEYHU

Read More !

TAMAN ILMU TIDAK AKAN JADI PROJEK "GAJAH PUTIH"

| | 0 comments



Oleh: Nooreni Abu Bakar

KUALA TERENGGANU, 29 November- Kerajaan Negeri tidak akan membiarkan Taman Ilmu di Tembila, Besut menjadi projek ‘gajah putih' dan akan berusaha untuk membangunkan kembali projek tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, pembangunan Taman Ilmu perlu diteruskan selaras dengan matlamat mewujudkan hab pendidikan tinggi di negeri ini.

Katanya, ianya akan dipulihkan secara berperingkat mengikut kemampuan kewangan kerajaan negeri dengan mengambil kira perkembangan semasa.

"Kita memandang berat segala kerosakan yang berlaku pada struktur bangunan dan kemudahan yang disediakan, dan ia memerlukan kos penyelenggaraan yang dianggarkan hampir sama dengan pembinaan awal projek itu.

 "Kos membaiki dianggarkan sebanyak RM400 juta berbanding kos membinanya dulu sebanyak RM350 juta," ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Ustaz Ridzuan Hashim (PAS-Buluh Gading) yang diwakili Hishamuddin Abdul Karim (PAS-Tepoh) sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Satiful berkata, Kerajaan negeri juga membenarkan pihak UniSZA mengguna pakai kemudahan dua blok di Taman Ilmu tanpa sewaan selama 10 tahun dengan kesediaan institusi itu menampung kos baik pulih blok berkenaan.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/bajet-2019-taman-ilmu-tidak-akan-jadi.html?m=1&fbclid=IwAR3NZBW4xq5fQ-sPlKPwmKXCq1T1I307vdUikz8c1inXhHxXaDJObbeFdK0

Read More !

NURIDAH CALON AHLI DEWAN NEGARA WAKILI DUN TERENGGANU

| | 0 comments



KUALA TERENGGANU, 29 November -Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pemilihan Nuridah Mohd Salleh sebagai calon wanita untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara menerusi undian sebulat suara sebagai Senator selama tiga tahun berkuat kuasa bulan ini.

Beliau menggantikan Engku Naemah Engku Taib yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai  Ahli Dewan Negara pada 5 November lalu.

Nuridah, 57, berasal dari Kampung Padang Buloh, Pekan, Pahang yang merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia mendapat pendidikan awal  di Sekolah Menengah Agama Kuala Rompin dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ijazah Pengubatan Islam Darussyifa’.

Beliau yang juga pendakwah bebas pernah tiga kali dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu dua kali sebagai calon parlimen di Rompin pada PRU13 dan Sungai Buloh pada PRU14 serta calon DUN Tahan pada PRU12.

Ibu kepada 10 orang anak ini turut aktif dalam persatuan dan menyertai program keamanan seperti Misi Kemanusiaan Gempa Bumi di Lombok & Palu, Indonesia,  Misi Kemanusiaan ke Syria, Myanmar, Bangladesh, Jerman dan Republik Czech, Misi Food Flotilla For Rohingya, Misi Dakwah di Pulau Krismas, Australia dan banyak lagi bagi menunjukkan wanita juga boleh memainkan peranan membawa suara keamanan kepada masyarakat dunia.

Nuridah yang ditemui selepas persidangan DUN hari ini berkata, pencalonan ini merupakan satu penghormatan dan kepercayaan kepadanya bagi menjalankan tugas untuk menyuarakan hasrat kerajaan negeri di peringkat pusat.

"Saya juga sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana memberi kepercayaan kepada Zuraida sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili suara wanita.

"Ini suatu perkara yang sangat menggembirakan kami serta seluruh muslimat kerana sudah lama menantikan saat ini dan kami berharap dapat menjalankan tugas sebaiknya dengan sokongan dari semua pihak," katanya.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/nuridah-calon-ahli-dewan-negara-wakili.html?m=1&fbclid=IwAR3ly32x4IjiJw5qcPCHrdBm9XkY6oEkmEl5HMniEsVEJdqh6w7vMoayD2A

Read More !

ADUN WANITA UNTUK SEMUA :ZURAIDA

| | 0 comments



KUALA TERENGGANU, 29 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) wanita pertama di Terengganu, Zuraida Md Noor menyatakan, pelantikannya hari ini membuktikan bahawa Kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menyedari kepentingan dan peranan wanita dalam kepimpinan untuk sama-sama menyumbang idea untuk pembangunan negeri.

"Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Dewan Undangan Negeri Terengganu atas pelantikan ini. Tugas ADUN Wanita bukan sekadar membawa isu berkaitan wanita dan kekeluargaan sahaja tetapi untuk berkhidmat kepada semua masyarakat.

"ADUN Wanita juga sebagai semak dan imbang (check and balance) kepada polisi kerajaan negeri. Ini kerana kami mempunyai pandang sisi berbeza sebagai seorang ibu, anak, isteri dan juga sebagai rakyat ke atas sesuatu isu," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media hari ini, mengulas tentang pelantikannya yang telah berlangsung di Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Terengganu Keempat Belas (Bajet), hari ini.

Menurutnya, beliau percaya wanita lebih dinamik dan holistik untuk membantu kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu rakyat.

"Dengan slogan 'ADUN Wanita Untuk Semua' insyaAllah akan berbakti untuk rakyat Terengganu sebaiknya demi agama, bangsa dan negara. Semoga dengan pelantikan ini akan menjayakan lagi agenda Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS 2030) ke arah Terengganu maju, berkat dan sejahtera," ujarnya.

Kerajaan PAS Terengganu mencipta sejarah hari ini apabila melantik Zuraida sebagai ADUN wanita pertama di Terengganu.

Zuraida, 38, yang juga Pengarah Ameerah negeri mengangkat sumpah memegang jawatan itu selama sepenggal bagi tempoh lima tahun, di hadapan Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN), Yahaya Ali.

Pemilihan itu dibuat selaras dengan pelantikan ADUN yang termaktub dalam Perkara 27, Fasal 2, Undang-Undang Tubuh negeri Terengganu yang diluluskan ketika era pemerintahan PAS pada 1999 hingga 2004.

Untuk rekod, Terengganu merupakan negeri pertama di Semenanjung Malaysia melantik ADUN wanita yang membolehkan wanita yang tidak dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum mewakili DUN untuk bercakap, berbahas dan mengemukakan soalan kepada DUN Terengganu, selain mempunyai hak yang sama seperti ADUN lain tetapi tidak boleh mengundi.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/adun-wanita-untuk-semua-zuraida.html?m=1&fbclid=IwAR3evfB-XPMhAK2t6ied9le9tmx7fLUNGssrr3P0uHKjVt1qIx4VcZKb4vU

Read More !

TIGA AHMAD BERPADU TUNTUT ROYALTI TERENGGANU

| | 0 comments


KUALA TERENGGANU, 27 November - Dua mantan Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ahmad Razif Abd Rahman dan Dato’ Seri Ahmad Said menyatakan hasrat untuk membantu Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar mendesak Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan baki royalti yang dianggarkan bernilai RM400 juta hingga RM500 juta.

Ahmad Razif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir  berkata, wang ehsan atau royalti merupakan perkara yang sensitif kepada rakyat Terengganu.

“Kebiasaannya pada tahun-tahun yang lalu, kerajaan negeri akan menerima jumlah sepenuhnya pada bulan Oktober.

"Kini, sudah penghujung November dan baki anggaran sekitar RM500 Juta belum diterima lagi.

“Kita melahirkan rasa bimbang kerana Bajet 2019 yang diumumkan berasas kepada sumber ini,” katanya kepada media selepas sesi soal jawab Sidang Dewan Undangan Negeri, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini.


Beliau menggesa sebuah jawatankuasa ditubuhkan untuk rundingan bersama Kerajaan Persekutuan sebagai satu lagi medium penyelesaian.

“Kita perlu bersama-sama dalam hal ini termasuklah bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, bekas ADUN Bandar dan bekas ADUN Batu Buruk yang sentiasa mengemukakan perkara ini sejak dahulu.

“Malah, bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu yang kini menjadi Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan perlu bersama kerana beliau mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Persekutuan,” katanya yang merujuk kepada Senator Dato’ Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad.
    
Sementara itu, Ahmad Said (BN-Kijal) pula menggesa Kerajaan Persekutuan supaya menghormati perjanjian yang telah dimeterai sebelum ini.

“Kita mesti akur dengan perjanjian royalti minyak yang telah dipersetujui kedua pihak sejak dahulu.


“Walaupun hakikatnya, kadar lima peratus itu tidak adil kepada kita tetapi kita tetap menerima perjanjian yang telah ditandatangani dan berharap Kerajaan Persekutuan juga sama dalam hal ini.

“Saya telah menyatakan hasrat untuk bersama-sama kerajaan negeri dalam hal ini. Namun, keputusannya terserah kepada Menteri Besar,” katanya.

Dr. Samsuri menyambut baik hasrat mereka dan memutuskan untuk merangka jawatankuasa yang akan diperincikan selewat-lewatnya sebelum akhir Disember.

"Kita sebagai pemimpin perlu bersatu dalam memenuhi hak rakyat dan kerjasama ini merupakan politik matang dan sejahtera yang kita inginkan," katanya.


Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/bajet-2019-tiga-ahmad-berpadu-tuntut.html?m=1&fbclid=IwAR1s4YROBsl41t00pIQVYA75fRn6Q0Q499wpZZ8Kl4-ggboc47ZC3KUsUuI

Read More !

MADRASAH MODEN AKAN DITAMBAH BAIK

| | 0 comments



Oleh : Muhd Lukman 

KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri bersedia untuk menambah baik tiga Madrasah Moden Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) yang sedia ada di Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, tiada penambahan bilangan pusat pengajian agama itu, namun kerajaan akan menaik taraf infrastruktur serta menyelaras semula pentadbirannya .

"Kerajaan negeri tidak berhasrat untuk menambah bilangan Madrasah Moden MAIDAM tetapi kita akan kekalkan dan menaik taraf infrastruktur tiga buah madrasah sedia ada iaitu di Besut, Kuala Nerus dan Hulu Terengganu.

"Pihak kerajaan juga akan menyelaraskan pentadbirannya di bawah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) (Bahagian Pendidikan)," katanya.

Beliau menjelaskan demikian ketika menjawab soalan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama DUN Ke-14, hari ini.

Satiful berkata, permintaan daripada ibu bapa untuk memasukkan anak mereka ke madrasah moden amat tinggi namun kuota pengambilan pada masa kini amat terhad.

"Kita mendapat banyak permintaan daripada ibu bapa untuk menghantar anak - anak ke madrasah ini tetapi kuota pelajar buat masa ini amat terhad kecuali di Madrasah Moden Besut yang membuka lebih kurang 60 orang pelajar untuk pengambilan baru," katanya.

Menurut beliau lagi, Terengganu  juga akan memfokuskan manifesto (PAS) pada Pilihan Raya Umum lalu, untuk mewujudkan satu Parlimen, satu sekolah rendah islam.

"Setakat ini, kita akan fokus kepada manifesto kita iaitu untuk mewujudkan sekolah rendah islam sekurang- kurangnya satu di setiap Parlimen.

"InsyaAllah sebanyak enam buah Sekolah Rendah Islam akan beroperasi bermula Januari 2019,"katanya.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/bajet-2019-madrasah-moden-akan.html?m=1&fbclid=IwAR0AzzFrwVWO9ZHseJkTy0W7JREYoiB8T-eSM3W8RzuDYyKzpXBWHQwId3g

Read More !

BAJET 2019: TERENGGANU TERUSKAN BIASISWA KEPADA PELAJAR BIDANG AGAMA DI LUAR NEGARA

| | 0 comments



KUALA TERENGGANU, 26 November - Kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu (YT) akan menyambung semula penajaan kepada pelajar Terengganu yang berjaya melanjutkan pengajian dalam bidang agama di luar negara bermula tahun depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, sebelum ini kerajaan terdahulu telah menghentikan pemberian biasiswa kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran di beberapa buah negara.

“Ianya melibatkan pelajar yang melanjutkan pengajian dalam bidang agama di Mesir pada 2011 diikuti pelajar di Jordan dan Maghribi pada tahun 2015.

"Alhamdulillah, dalam Bajet 2019, kerajaan negeri akan menyambung semula penajaan kepada pelajar ini dengan peruntukan sebanyak RM15 juta yang akan diuruskan oleh YT.

"Daripada jumlah itu, RM5 juta ialah biasiswa untuk pelajar cemerlang dan RM10 juta pula pinjaman yuran untuk pelajar luar negara di mana ia tidak terhad kepada pengajian Islam sahaja, malah turut dibuka kepada pelajar bidang lain seperti perubatan," ujarnya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ab Razak Ibrahim (PAS-Air Putih) berkaitan apakah jenis pembiayaan yang diberikan agensi kerajaan kepada pelajar luar negara dalam bidang keagamaan dalam sesi soal jawab lisan sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Ke-14 di Wisma Darul Iman, hari ini.

Satiful yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, bagi menampung kos sara hidup bulanan pelajar di luar negara pula, pihaknya akan berkolaborasi dengan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) untuk pemberian zakat kepada pelajar yang layak.

Katanya, kerajaan negeri juga akan meneruskan pemberian insentif persediaan awal RM1,000 kepada pelajar yang berjaya menyambung pengajian di mana-mana universiti dalam dan luar negara.

"Sebanyak RM1.5 juta juga diperuntukkan kepada pelajar yang melanjutkan pelajaran ke peringkat Ijazah Sarjana dan Doktor Falsafah untuk anak-anak Terengganu yang berkelayakan," katanya. 

Dalam pada itu, menjawab soalan Maliaman Kassim (PAS-Ajil) pula, Satiful berkata,  kerajaan negeri akan meningkatkan kemudahan infrastruktur di tiga madrasah moden sedia ada iaitu di Kuala Nerus, Hulu Terengganu dan Besut dan tidak bercadang untuk mewujudkan madrasah yang baharu di kawasan lain.

"Saya sendiri turun padang dan tengok kemudahan yang ada di madrasah ini, ianya berada dalam keadaan tidak terurus dan boleh mendatangkan musibah kepada pelajar. Kita akan baik pulih dan bersetuju agar madrasah ini ditadbir urus oleh Bahagian Pendidikan JHEAT selepas ini," katanya. 

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/terengganu-sambung-pemberian-biasiswa.html?m=1&fbclid=IwAR0cMx8TjXJTT0OPWRcFeh06wrvBSbR1kZLnJXWxuv8Rqj152FBcW3wqVRw

Read More !

BAJET 2019: RM 2.015 BILION 'BAJET BERIMBANG'

| | 0 comments



KUALA TERENGGANU, 25 November - Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan akan memperuntukkan sejumlah RM2.015 bilion tahun depan sebagai 'bajet berimbang' melebihi RM1.996 bilion tahun sebelum ini bagi melaksanakan teras serta strategi Bajet Terengganu yang ditetapkan.

"Bagi tahun depan kita menjangkakan akan memperoleh hasil berjumlah RM2.015 bilion menjadikan bujet tahun 2019 merupakan bajet berimbang.

"Daripada jumlah tersebut, sebanyak RM66.93 juta merupakan Hasil Cukai, RM203.53 juta adalah Hasil Bukan Cukai dan RM1.745 bilion merupakan Terimaan Bukan Hasil," katanya ketika membentang Enakmen Perbekalan 2019 (Bajet Negeri Terengganu 2019) dalam Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu Ke 14 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.

Katanya, secara perinciannya, kerajaan negeri mencadangkan peruntukan sebanyak RM2.015 bilion untuk Perbelanjaan Mengurus.


Daripada jumlah tersebut kata beliau sebanyak RM600 juta akan dicarumkan kepada Kumpulan Wang Pembangunan untuk Perbelanjaan Pembangunan.

"Ia termasuk RM186.2 juta untuk projek bayaran tertangguh (deferred payment) dan bayaran berjadual (scheduled payment). Kerajaan negeri juga memperuntukkan sebanyak RM1.8 juta kepada Kumpulan Wang Bekalan Air," jelas beliau.

Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang berkata, di bawah peruntukan Perbelanjaan Mengurus, sebanyak RM86.025 juta atau 4.27 peratus akan diperuntukkan bagi Perbelanjaan Tanggungan sebagaimana yang termaktub secara khusus menurut undang-undang, manakala sejumlah RM1.929 bilion atau 95.73 peratus pula diperuntukkan untuk Perbelanjaan Perbekalan.


Menurutnya, di bawah peruntukan Perbelanjaan Bekalan pula, sebanyak RM285.47 juta untuk emolumen, RM197.1 juta untuk Perkhidmatan dan Bekalan, RM24.98 juta untuk Aset, RM1.42 bilion untuk Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap dan RM1.16 juta untuk Perbelanjaan lain-lain.

Beliau berkata, di bawah komponen Pemberian dan Kenaan Bayaran Tetap, sejumlah RM600 juta adalah caruman kepada Kumpulan Wang Pembangunan, RM230 juta diperuntukkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan, Badan-badan Berkanun dan Pelbagai agensi.

"Sebanyak RM184 juta diperuntukkan bagi pemberian kepada jabatan-jabatan kerajaan dan RM400 juta pula diperuntukkan bagi pelbagai program di bawah seliaan Pejabat Setiausaha Kerajaan yang akan memberi impak secara langsung kepada rakyat," jelasnya lagi.

Sementara itu Dr Ahmad Samsuri menjelaskan bahawa perancanaan bajet itu disokong oleh empat teras utama termasuk Teras Pertama, Keberkatan, Teras Kedua (Kemajuan), Teras Ketiga (Kebajikan) dan Teras Keempat (Kecekapan).

Sementara teras tersebut akan diperkukuhkan dengan lapan strategi pelaksanaan termasuk, mengukuhkan prinsip Islam, mewujudkan polisi patuh syariah, membangun kualiti modal insan, merancakkan pertumbuhan ekonomi, mengukuhkan insitusi keluarga dan masyarakat, merealisasikan Terengganu sebagai negeri berkebajikan, meningkatkan kecekapan sistem penyampaian dan menerapkan nilai integriti dan ketelusan.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/rm2015-bilion-bajet-berimbang.html?m=1&fbclid=IwAR0i2sHNU4mJxd9Ici8L77DOh45A8iiiUL4GriYGtvOh7Z8Tp3m5ayvjUsY

Read More !

"BISA" ANAK BERANAK BANTU TEBING TEMBAH FC MUNCUL JUARA

| | 0 comments


Oleh: Muhd Lukman Abdul Rahman

DUNGUN, 23 November - Aksi anak - beranak yang juga merupakan pemain Tebing Tembah FC pada perlawanan akhir Kejohanan Bola Sepak Piala YB Ustaz Saiful Bahri Mamat berjaya menobatkan pasukannya,  muncul juara.

Mohd Zawawi Sidek, 48 (bapa) dan dua anak beliau, Mohd Shuib Mohd Zawawi, 22 dan Mohd Qhaidir, 20, mencuri perhatian peminat bola sepak setempat apabila mempamerkan aksi memukau pada perlawanan akhir..


Kemenangan 2 - 1 hasil jaringan sepakan percuma cantik daripada Mohd Shuib sekaligus meranapkan impian Tibang FC untk merangkul gelaran juara kejohanan anjuran DACS Paka di Padang Kampung Nyior, di sini.

Selaku juara, Tebing Tembah FC membawa pulang Piala Pusingan, pingat dan wang tunai bernilai RM 2,000 manakala naib juara, Tibang FC membawa pulang pingat dan RM 1,000.

Lebih manis lagi Mohd Shuib turut memenangi Anugerah Pemain Terbaik Perlawanan dan bapanya, Mohd Zawawi dinobatkan sebagai Pemain Veteran Terbaik.

Gelaran penjaring gol terbanyak kejohanan pula menjadi milik penyerang Tibang FC , Azizzudin Ismail yang juga merupakan kapten pasukan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pengajian dan Pendidikan Tinggi, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata aktiviti sebegini berjaya mengeratkan hubungan anak muda dan veteran.

"Kalau kita tengok, setiap pasukan dibarisi oleh pemain muda dan veteran, namun mereka boleh bermain dalam satu pasukan dengan begitu baik.


"Kalah atau menang bukanlah agenda utama tetapi yang lebih penting ialah matlamat program ini untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan para pemain serta penduduk setempat,"katanya.

Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turut mengucapkan tahniah kepada pasukan Tebing Tembah dan Tibang FC yang berjaya mara ke perlawanan akhir.

Mengulas mengenai perlawanan akhir tersebut, Pengerusi penganjur kejohanan, Encik Bari' Asyraf Mohd Safian berkata, kedua - dua pasukan berbalas serangan dan menunjukkan semangat berpasukan yang tinggi.
"Perlawanan ini berlangsung sengit walaupun Tebing Tembah FC ketinggalan satu jaringan, namun kembali bangkit untuk menjaringkan dua gol di hadapan ratusan peminat bola sepak setempat.

"Pasukan Tibang FC turut memberikan tentangan hebat, bagaimanapun rezeki bergelar juara dalam kejohanan ini memihak kepada Pasukan Tebing Tembah FC, " ujarnya.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/bisa-anak-beranak-bantu-tebing-tembah.html?m=1&fbclid=IwAR0v3EEAJHQTbsVFkgSw1KkLWq0vQQgXHMPZuMjyGtQQEo7BdLzI4zOGt4A

Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...