Karpal Singh telah menerima Hukum Hudud?

| |
Kejahilan adalah musuh no 1 manusia. Ketika Islam datang Ke Mekah masyarakat itu dikenali sebagai Jahiliyyah. Tetapi setelah proses menyebaran dakwah dan masyarakat mendapat maklumat sebenar mereka menerima Islam. Apabila Islam dipraktikkan dengan seadil-adilnya sudah pasti manusia yang dicipta oleh Allah ini boleh menerima hukum yang diturunkan oleh Allah swt, pencipta manusia itu sendiri kecuali kerana keangkuhan, kesombongan dan mengikut hawa nafsunya sendiri. Sebab itulah Islam mampu bertahan dan memerintah sejak 14 abad yang lalu dan pernah memerintah di Sepanyol dan Portugal selama 700 tahun.

Hari ini manusia tercari-cari penyelesaian kepada permasalahan manusia. Meskipun mereka hidup dizaman moden dan canggih tetapi manusia tetap manusia. Imam al-Ghazali pernah berkata selagi manusia itu bernama manusia walau dimana ia hidup dan dibumi mana ia dilahirkan dia akan tetap bersifat dan bertabie manusia. Kerana itulah hukum Allah itu relevan dimana sahaja dan dizaman apa sekalipun.

Hari ini kecoh apabila jenayah rogol yang makin meningkat. Data-data rogol di Malaysia boleh dilihat artikel penulis yang lalu. http://ustsaifulbahri.blogspot.com/2010/07/rogol-penan-najib-bahagi-cawat-besi.html

Kenapa kalau diperhatikan jenayah rogol di Arab Saudi, Iran dan disetengah Negara Afrika yang mengamalkan Islam rendah berbanding Negara maju dan hebat di Barat?. Ianya kerana perlaksanaan hokum hudud. Bagi Islam jenayah rogol menerima pakai hukum Hudud dan Takzir seperti penzina. Mereka di Rejam jika sudah berkahwin atau disebat 100 rotan dan dibuang negeri jika belum berkahwin dan jika tidak boleh disabitkan kesalahnnya melalui undang2 keterangan Islam bagi kesalahan zina, maka berpindah hukuman tersebut kepada takzir. Tahap kekerasan hukuman takzir itu adalah tertakluk kepada tahap kekejaman yang dilakukan oleh perogol berkenaan terserah kepada kebijaksanaan hakim untuk menjatuhkan hukuman yg sesuai dengan kesalahan yg dilakukan. Kalau diperhatikan dalam Islam banyak hukumannya dikenakan atas diri si pelaku dan bukannya denda dan bayaran kepada pemerintah. Termasuklah hukum qisas yang akan member kesan secara langsung terhadap pelaku dan masyarakat kerana perlaksanaan tersebut dilakukan dihadapan orang ramai.
Bahkan hukuman Allah itu sendiri merupakan satu konsep perlindungan dan penjagaan Allah sendiri terhadap zuriat dan keturunan umat Islam. Contohnya dalam ayat mencuri:-

"Dan orang lelaki Yang mencuri dan orang perempuan Yang mencuri maka (hukumnya) potonglah tangan mereka sebagai satu balasan Dengan sebab apa Yang mereka telah usahakan, (juga sebagai) suatu hukuman pencegah dari Allah. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana". Surah al-maidah:34


Hari ini masyarakat tidak puas-hati dengan hukuman yang dilakukan terhadap perogol. Banyak pandangan pelbagai pihak tentangnya dan pelbagai cadangan hukuman berdasarkan ide dan fikiran manusia. Habis kenapa tidak kembali kepada Islam. Kalau ia dituduh sebagai hokum lapuk dan ketinggalan zaman tetapi jika ia berkesan kenapa tidak kita praktikkan sahaja. Karpal Singh yang dahulunya pernah mengatakan “langkah mayatnya dahulu sebelum melaksanakan Islam”, hari ini sendiri meminda pandangannya agar hukuman mati terhadap perogol dilaksanakan. Bukankah dalam Islam, perogol boleh direjam sampai mati. Adakah karpal Singh sekarang bersedia menerima hokum Islam?
Pengerusi DAP kebangsaan Karpal Singh hari ini meminta kerajaan meminda Seksyen 376 Kanun Keseksaan agar perogol kanak-kanak boleh dikenakan hukuman mati.

Karpal berkata walaupun sebelum ini beliau memperjuangkan agar hukuman mati dimansuhkan, tetapi memandangkan saban hari, semakin banyak kanak-kanak menjadi mangsa penjenayah, termasuk perogol, maka sudah tiba masanya kerajaan bertindak menjaga kepentingan awam dengan melaksanakan tindakan lebih tegas dan berkesan.

Terlalu lama undang-undang manusia diterapkan dan terbukti gagal. Undang-undang yang dipraktikkan dinegara ini adalah dipusakai diBarat sedangkan Barat sendiri tiada penyelesaian yang berkesudahan.

Ia timbul kerana kita merasa simpati dan kasihan kepada mangsa. Kemarahan ini akan membuak jika mangsa itu adalah kenalan atau mempunyai pertalian saudara dengan kita. Ketika itu zahirlah kehendak untuk mempraktikkan undang-undang yang menyerupai Islam secara bersungguh-sungguh. Tiada lagi pendekatan kaunseling, nasihat, psikologi dan pelbagai pemikiran yang terlalu ide yang tak terpijak dibumi.

Pernah penulis bertanyakan pendapat seorang teman India ketika isu hukum hudud di Terengganu. Beliau menyuarakan persetujuan kerana beliau tidak pernah mencuri dan apa perlu takut bahkan dengan marah beliau berkata: “ Itu Samy Vellu bukan hanya potong tangan, tapi mesti potong siku dan kepala pun musti potong” saya Tanya apa pasal? “ Dia tipu orang India. Saya punya wang dalam Maika disapu..”. Penulis hanya tersenyum.

Dalam Islam bukannya hanya hukuman dipraktikkan tetapi penjagaan diri dan masyarakat dengan syariat perlu dititik-beratkan. Permasalahan pendedahan aurat yang dijaga, hubungan bebas dengan mahram dan penjagaan-penjagaan adab amat ditik-beratkan. Pendidikan dan tarbiyyah serta pengamalan masyarakat terhadap system sosial Islam akan menjadikan Negara kita lebih aman dan tenteram serta lebih kondusif untuk dijadikan tempat kehidupan.
Menurut statistik diambil dari sebuah terbitan dari Jabatan Keadilan Amerika Syarikat dengan tajuk Sex Offences & Offenders yang diterbitkan dalam tahun 1997 di bawah kelolaan Lawrence A. Grenfeld menyatakan 90% dari mangsa rogol yang berusia di bawah 12 tahun mengenali perogol terbabit. 73% atau hampir 3 dari setiap 4 daripada kes-kes rogol dan serangan seksual yang dilaporkan, dilakukan oleh pemangsa yang dikenali mangsanya. Bagi mangsa yang berusia 12 tahun ke bawah, 43% dari kes mereka dilakukan oleh perogol yang mempunyai kaitan kekeluargaan dengan mereka.

Lihatlah beberapa ajaran Rasulullah Saw yang sudah diabaikan oelh masyarakat kita. Mungkin dianggap ketinggalan zaman tetapi kesan dan akibatnya jelas dihari ini.

Dari Ibnu Abbas r.a., katanya dia mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda : “Seorang lelaki tidak boleh berada di tempat sunyi dengan seorang perempuan, melainkan harus disertai mahram. Begitu juga seorang perempuan tidak boleh berjalan sendirian, melainkan harus bersama-sama seorang mahram.” Tiba-tiba berdiri seorang lelaki, lalu dia bertanya: “Isteriku hendak menunaikan ibadat haji, sedangkan aku ditugaskan pergi berperang ke sana dan ke situ, bagaimana itu ya Rasulullah?” Jawab Rasulullah : “Pergilah kamu haji bersama isterimu!”.
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda: “Ketahuilah! Seorang lelaki bukan mahram tidak boleh bermalam di rumah perempuan janda, kecuali jika dia bernikah dan suaminya ada di rumah, atau ada muhrimnya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Dari ‘Uqbah r.a. Bin Amir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda : “Hindarilah olehmu masuk ke rumah-rumah wanita!” Lalu bertanya seorang Ansar. “Ya Rasulullah! Bagaimana pendapat anda tentang Al Hamwu (keluarga dekat bagi suami, cth: pak cik, saudaranya, anak saudara dan sebagainya).” Jawab Rasulullah s.a.w., “Bahkan itu lebih berbahaya.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Suruhlah anak-anakmu untuk mengerjakan solat ketika mereka berusia tujuh tahun dan pukullah mereka jika enggan ketika sudah berumur sepuluh tahun serta pisahkan tempat tidur mereka (lelaki dan perempuan)” (HR. Abu Dawud).

Dari Jabir r.a. katanya Rasulullah s.a.w. bersabda, “Jangan biarkan ternak dan anak-anakmu lepas berkeliaran ketika matahari terbenam sampai hilangnya cahaya senja. Karena setan keluar ketika matahari terbenam sampai hilang cahaya senja.”
(Hadis Riwayat Muslim)

Allah s.w.t. telah memerintahkan dalam Al-Qur’an dalam surah An Nuur ayat 30:
“Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan.”

Kalau masyarakat kita beramal, sudah tentu banyak masalah dapat diselesaikan.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...