Ezam? Belut pulang ke lumpur

| |

Jawatan menurut pandangan Islam adalah amanah. Ia tidak melantik seseorang melainkan atas sikap amanah dan adil. Amanah kerana ia melibatkan Allah dan Rasul. Ia juga melibatkan kepimpinan keatas umat Islam. Amanah terhadap harta benda dan negara umat Islam. Penerima jawatan juga perlu amanah. Bukan hanya amanah ketika mula dilantik tetapi istiqamah dengan sifat tersebut sehingga selesai tugas dan tanggungjawabnya. Adil dalam melantik kepimpinan adalah meletakkan seseorang pada tempat yang selayaknya. Perlantikan seseorang bukan atas kehendak nafsunya tetapi perkiraan dan perhitungan sebaik mungkin untuk melaksanakan tugas, khidmat dan mencurahkan bakti dan jasa. Ia bukan melantik kerana ia isteriku, anak-anakku, teman dan rakanku. Tetapi ianya juga adalah amanah yang turut dipersoalkan keatasnya kelak.



Rasulullah Saw ketika diminta diberikan jawatan oleh Abu Zar al-Ghifari, Baginda menolaknya dengan sabdanya:

يَا أَبَا ذَرٍّ إِنَّكَ ضَعِيفٌ وَإِنَّهَا أَمَانَةُ وَإِنَّهَا يَوْمَ الْقِيَامَةِ خِزْيٌ وَنَدَامَةٌ إِلَّا مَنْ أَخَذَهَا بِحَقِّهَا وَأَدَّى الَّذِي عَلَيْهِ فِيهَا
Wahai Abu Zar, sesungguhnya kamu lemah dan jawatan itu amanah. Dan di hari kiamat kelak merugikan dan penyesalan melainkan orang yang mengambilnya dengan haknya dan menunaikan segala tuntutannya. (Riwayat Muslim).



Hari ini bukan kriteria itu yang menjadi sempadan. Siapa yang paling kuat mengampu maka ia diberi pangkat dan jawatan. Siapa yang paling kuat akur kepada tuannya maka ia diberi kedudukan. Kalau inilah menjadi neraca, itulah tanda dan saat-saat kejatuhan. Kejatuhan beberapa kerajaan Islam kerana mereka dilingkungi oleh golongan pengampu yang menjadi penasihat dan pengampu, maka itulah tanda-tanda kejatuhan. Para pegawai yang paling banyak mengutip cukai untuk dipersembahkan kepada pemimpin nescaya mereka diberi kedudukan, maka orang yang paling zalim akan mendekati kepimpinan.

Masing-masing hanya mencari jalan bagi memperkukuhkan jawatan masing-masing dan mereka sanggup melacurkan diri mereka sendiri. Mereka sanggup menjilat ludah dan kahak mereka sendiri. Benarlah Rasulullah Saw bahawa golongan ini ada sepanjang zaman. Samada pembantu dan penasihat yang baik atau penolong yang buruk dan jahat. Sabda baginda:

عَنْ أَبِي سَعِيدٍ الْخُدْرِيِّ : عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ مَا بَعَثَ اللَّهُ مِنْ نَبِيٍّ وَلَا اسْتَخْلَفَ مِنْ خَلِيفَةٍ إِلَّا كَانَتْ لَهُ بِطَانَتَانِ بِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالْمَعْرُوفِ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ وَبِطَانَةٌ تَأْمُرُهُ بِالشَّرِّ وَتَحُضُّهُ عَلَيْهِ فَالْمَعْصُومُ مَنْ عَصَمَ اللَّهُ تَعَالَى
Daripada Abi Said al-Khudri bahawa Nabi Saw bersabda: Tidak dibangkitkan Allah para nabi dan tidak dilantik seorang khalifah melainkan akan ada baginya dua bitanah (penasihat yang rapat). (Pertama) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kebaikan dan menggalakkannya. (Kedua) bitanah yang menyuruhnya untuk melakukan kejahatan dan menggalakkannya. Hanya selamat ialah sesiapa yang selamatkan Allah. Riwayat al-Bukhari

Orang-orang yang jujur dalam etika kehidupannya, mereka inilah sepatutnya diambil sebagai pembantu dan pemberi nasihat. Mereka inilah yang layak diberi pangkat dan jawatan. Amat malang jika sekiranya mereka yang hanya membekalkan lidah dan kebijaksanaan mengampu diangkat dan dilantik. Sekali mereka khianat dalam perjuangan, nescaya umat Islam perlu berhati-hati dengannya.

Tetapi kalau gerombolan itu sendiri terdiri daripada golongan-golongan yang tercalar moral, akhlak dan perilakunya, apalah sangat hendak diharapkan yang terbaik. Sudah tentu ia menjadi tempat berhimpun golongan yang sewaktu dengannya. Lidah mereka bercabang dan perbuatan mereka bersimpang-siur.

Imam Bukhari pernah meriwayatkan: Ada golongan berkata Ibn ‘Umar: “Kami masuk kepada pemerintah kami, lalu kami berkata kepada mereka berbeza dengan apa yang kami cakap apabila kami keluar dari mereka.” Kata Ibn ‘Umar: “Kami dahulunya (zaman Nabi s.a.w) menganggap itu sebagai nifak (perbuatan munafik).” Riwayat al-Bukhari.

Tetapi itulah golongan yang dianggap terpilih dizaman ini. Mungkin mereka sudah biasa dengan kerja-kerja macam tu. Ianya hanya dianggap sebagai sirih pulang ke gangang. Ibarat Kabo tahik. Walau diambil dan dibersih serta dilumur minyak wangi, diletak diatas kapas tetapi apabila dilepaskan, ia akhirnya terbang ke tempat tahik juga.

Golongan seperti ini jangan diharapkan ia sanggup berjuang sehingga ke penghujung. Mereka sudah biasa dengan kemewahan, pangkat dan kuasa. Lihatlah mereka yang lari dari perjuangan melompat kepada parti yang memerintah. Mereka tidak sanggup menjadi pejuang tulen. Peringkat awal semasa reformasi, betapa ramai tokoh-tokoh penegak keadilan dan pembela mereka yang tertindas dan dizalimi. Mereka berada dipentas dengan semangat meluap-luap dan ceramah mereka berapi-rapi. Apa yang tidak mereka kata tentang kejahatan, kezaliman, penyelewengan dan seribu macam kejelikan dan kejinya parti yang memerintah. Mereka berani dan mereka tahu menyebutnya kerana mereka bersama-sama dengan UMNO dan kerajaan yang memerintah dulunya.

Pengalaman bersama penulis sendiri, terlalu ramai mereka yang diatas pentas bab panglima jihad Khalid ibn walid tetapi dikerusi bawah pentas mereka yang jiwa mereka senipis bawang. Yang menjadi wirid mereka adalah payah, sukarnya bejuang, masalah kewangan, tiada peruntukan dan…. Bla.. bla.. blaa. Hari ini mereka menzahirkan diri mereka sendiri. Maka berterabur pulalah air liur mereka memaki pimpinan PR dan Pas sendiri. Penulis sendiri sempat berceramah sekali dengan orang yang seperti Roslan Kassim, Cucu ghafar baba, Lukman adam maupun Ezam sendiri. Fuhhh ingatkan sehingga titisan darah terakhir rupanya hanya setakat air liur dihalqum sahaja. Dulu bab panglima di Istana Pembangkang tetapi hari ini menadah tempurung, merempat dikaki lima UMNO-BN sebagai peminta sedekah. Amat aib dan hina sekali. Dari penentang kezaliman ingin menjadi gulkha pembela kejahatan.


وَلَوْ شِئْنَا لَرَفَعْنَاهُ بِهَا وَلَكِنَّهُ أَخْلَدَ إِلَى الْأَرْضِ وَاتَّبَعَ هَوَاهُ َمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ ذَلِكَ مَثَلُ الْقَوْمِ الَّذِينَ كَذَّبُوا بِآَيَاتِنَا فَاقْصُصِ الْقَصَصَ لَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ
Dan kalau kami menghendaki, Sesungguhnya kami tinggikan (derajat)nya dengan ayat-ayat itu, tetapi dia cenderung kepada dunia dan menurutkan hawa nafsunya yang rendah, Maka perumpamaannya seperti anjing jika kamu menghalaunya diulurkannya lidahnya dan jika kamu membiarkannya dia mengulurkan lidahnya (juga). demikian Itulah perumpamaan orang-orang yang mendustakan ayat-ayat kami. Maka Ceritakanlah (kepada mereka) kisah-kisah itu agar mereka berfikir.



Munasabahlah golongan seperti ini, Rasulullah Saw tidak mengaku umat dan tidak layak meminum kolam baginda. Mereka yang bersekongkol dengan pemerintah yang zalim serta membelakangkan syariat dan sunnah baginda.

عَنْ جَابِرِ بْنِ عَبْدِ اللَّهِ : أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ لِكَعْبِ بْنِ عُجْرَةَ أَعَاذَكَ اللَّهُ مِنْ إِمَارَةِ السُّفَهَاءِ قَالَ وَمَا إِمَارَةُ السُّفَهَاءِ قَالَ أُمَرَاءُ يَكُونُونَ بَعْدِي لَا يَقْتَدُونَ بِهَدْيِي وَلَا يَسْتَنُّونَ بِسُنَّتِي فَمَنْ صَدَّقَهُمْ بِكَذِبِهِمْ وَأَعَانَهُمْ عَلَى ظُلْمِهِمْ فَأُولَئِكَ لَيْسُوا مِنِّي وَلَسْتُ مِنْهُمْ وَلَا يَرِدُوا عَلَيَّ حَوْضِي
Daripada Jabir bin Abdullah bahawa Nabi Saw bersabda kepada Ka’ab bin Ujrah: Aku memohon perlindungan Allah daripada pimpinan yang bodoh. Ia berkata: Siapakah pemimpin bodoh itu? Sabda Baginda : “ Sesungguhnya selepasku ini akan adanya para pemimpin yang metidak mengikuti petunjukku dan tidak mengikuti akan sunnahku. Sesiapa masuk kepada mereka lalu membenarkan pembohongan mereka dan menolong kezaliman mereka maka dia bukan dariku dan aku bukan darinya dan dia tidak akan mendatangi telaga (di syurga).



Lihatlah cara bagaimana seorang raja yang ingin melantik penolong kanan beliau. Pada suatu hari, seorang raja memanggil kesemua penasihatnya yang terdiri daripada mufti, menteri-menteri dan timbalannya, para hukama dan tokoh-tokoh agama negarawan ke istana hinggapnya. Mereka dijamu dengan pelbagai juadah dan dianugerahi dengan bintang-bintang kehormat. Selepas menikmati jamuan, raja mengeluarkan sebotol minyak wangi dari sakunya. Baginda membuka dan menghidunya. "Minyak wangi apa ni... busuk sangat baunya.." Sambil berkata begitu, raja itu menghulurkan botol itu kepada mufti di sebelahnya. Mufti itu menghidunya. "Ya, benar. Terlalu busuk minyak wangi ini." Minyak wangi itu diberikan pula kepada wazir di sebelahnya. Wazir itu berkata, "Betul Tuanku! Minyak wangi ini memang busuk." Begitulah seterusnya botol itu diedar kepada para jemputan yang ada di balai rong. Kesemua mereka mengatakan busuk sebagaimana didakwa oleh rajanya. Akhirnya sampailah kepada giliran seorang mamanda menteri. Sebaik saja menciumnya, dia terus berikan respons, "Tidak betul, mana ada minyak wangi yang tidak wangi. Kesemua minyak wangi adalah wangi termasuk yang ini. Minyak wangi ini sangat harum, tidak seperti yang tuan-tuan katakan." Mendengar kata-kata mamanda menteri tadi, raja itu tersenyum sambil berkata, "Benar kata-kata menteriku ini. Kamu semua adalah pengampu yang berbohong. Kamu sanggup menyembunyikan kebenaran kerana nak mengampu dan menjaga status kamu semua. Mulai hari ini pengampu-pengampu semua dipecat dari sebarang jawatan. Mamanda menteri yang berkata benar ini beta lantik menjadi penasihat diraja."

Lihat juga bagaimana Khalifah Harun ar-Rashid mencari orang yang menasihatinya. Pada suatu malam, Harun ar-Rasyid memanggil Fazl Barmesid, salah seorang di antara pengawal kesayangannya. Harun ar-Rasyid berkata kepada Fazl: “Malam ini bawalah aku kepada yang boleh menunjukkan kapadaku siapakah aku ini sebenarnya. Aku telah jemu dengan segala kebesaran dan kebanggaan.”

Fazl membawa Harun ar-Rasyid ke rumah Sufyan al-Uyaina. Mereka mengetuk pintu dan dari dalam Sufyan menyahut: “Siapakah itu?” Amirul Mukminin. Sufyan berkata: “Mengapa sultan mahu menyusahkan diri. Mengapa tidak diberitahu sahaja padaku sehingga aku datang sendiri menemuinya?” Mendengar ucapan tersebut Harun ar-Rasyid berkata: “Ia bukan orang yang kucari. Ia pun mengagungkanku seperti orang lain.”

Kemudian mereka pergi kerumah Abu Ali al-Fuzail bin Iyaz at-Talaqani mereka. Mengetuk pintu rumah Fuzail. Dari dalam Fuzail bertanya: “Siapakah itu?” Apabila diberitahu kehadiran Amirul Mukminin, beliau menolak untuk menerima kehadirrannya tetapi setelah dipaksa beliau membuka pintunya. Harun ar-Rasyid melangkah masuk, Begitu Harun menghampirinya, Fuzail meniup lampu sehingga padam agar ia tidak dapat melihat wajah sultan. Harun ar-Rasyid menghulurkan tangannya dan disambut oleh tangan Fuzail yang kemudian berkata: “Betapa lembut dan halus tangan ini! Semoga tangan ini terhindar dari api neraka!”

Setelah berkata demikian Fuzail berdiri dan berdoa. Harun ar-Rasyid meresa hatinya sangat tersentuh dan tidak dapat menahan tangisannya. “Katakanlah sesuatu kepadaku,” Harun bermohon kepada Fuzail. “Anggaplah negeri Islam sebagai rumahmu sendiri dan penduduknya sebagai keluargamu sendiri. Ziarahilah ayahmu, hormatilah saudaramu dan bersikap baiklah kepada anakmu. Aku sayangkan jika wajahmu yang tampan ini akan terbakar hangus di dalam neraka. Takutilah Allah dan taatilah perintah-perintah-Nya. Berhati-hatilah dan bersikaplah secara bijaksana, kerana pada hari Akhirat nanti Allah akan meminta apa yang dipertanggungjawabkan olehmu sehubungan dengan setiap Muslim dan Dia akan memeriksa apakah engkau telah berlaku adil kepada setiap orang. Apabila ada seorang wanita uzur yang tertidur dalam keadaan lapar, di hari Akhirat nanti ia akan menarik pakaianmu dan akan memberikan kesaksian yang akan memberatkan dirimu.”

Harun ar-Rasyid menangis dengan sangat kuatnya sehingga nampak ia akan jatuh pengsan. Melihat hal ini wazir Fazl menyentak Fuzail: “Cukup! Engkau telah membunuh pemimpin kaum Muslimin.” “Diamlah Hamam! Engkau dan orang-orang yang engkau inilah yang telah menjerumuskan dirinya, kemudian engkau katakan aku yang membunuhnya. Apakah yang kulakukan ini suatu pembunuhan?” Mendengar kata-kata Fuzail ini tangisan Harun ar-Rasyid semakin menjadi-jadi. “Ia menyebutmu Hamam,” kata Harun ar-Rasyid memandang Fazl. “Kerana ia menyamakan diriku dengan Firaun.”

Kemudian Harun bertanya kepada Fuzail: “Apakah engkau mempunyai hutang yang belum dijelaskan?”“Ya,” jawab Fuzail. “hutang kepatuhan kepada Allah. Seandainya Dia memaksaku untuk menjelaskan hutang ini celakalah aku!” “Yang kumaksudkan adalah hutang kepada manusia, Fuzail,” Harun menegaskan. “Aku bersyukur kepada Allah yang telah mengurniakan kepadaku sedemikian banyaknya rezeki sehingga tidak ada keluh-kesah yang harus kusampaikan kepada hamba-hamba-Nya.” Kemudian Harun ar-Rasyid menaruh sebuah bekas yang berisi seribu dinar di hadapan Fuzail sambil berkata: “Ini adalah wang halal yang diwariskan oleh ibuku.”

Tetapi Fuzail mengutuknya: “Wahai pemimpim kaum Muslimin, nasihat-nasihat yang kusampaikan kepadamu ternyata tidak ada faedahnya. Bahkan engkau telah memulakan lagi perbuatan salah dan mengulangi kezaliman.” “Apakah perbuatan yang salah telah kulakukan?” tanya Harun ar-Rasyid.“Aku menyerumu ke jalan keselamatan tetapi engkau menjerumuskan aku ke dalam godaan. Bukankah hal itu suatu kesalahan? Telah kukatakan kepadamu, kembalikanlah segala sesuatu yang ada padamu kepada pemiliknya yang berhak. Tetapi engkau memberikannya kepada yang tidak patut menerimanya. Aku memberi nasihat kepadamu tanpa mengenakan sedirham pun.” Setelah berkata demikian, Fuzail berdiri dan melemparkan wang-wang emas itu keluar.

“Benar-benar seorang manusia yang hebat!” Harun ar-Rasyid berkata ketika ia meninggalkan rumah Fuzail. “Sesungguhnya Fuzail adalah seorang raja bagi umat manusia. Ia sangat alim dan dunia ini terlalu kecil pada pandangannya.”

Adakah lagi manusia yang tidak pelahap seperti Fuzail dihari ini?. Adakah lagi seorang pemimpin umat Islam seperti Harun ar-rashid? Semoga Allah memberkati kita semua.

3 comments:

rosidi1410 said...

fakta yang dikemukakan amat jelas dan memberi faham kepada saya tentang manusia akhir zaman. Semoga kita dilindungi-Nya. Semoga Islam didaulatkan di bumi Melayu ini untuk dinikmati bersama oleh masyarkat Cina, India, Kadazan, dan Iban

Anonymous said...

SAYA NAK PESAN KAT USTAZ SUPAYA BAGITAU KAT PETUGAS YANG KONONNYA PEJUANG ISLAM .. JANGAN TAMPAL POSTER CERAMAH MERATA RATA.. MINTAK DENGAN TUANPUNYA BANGUNAN DULU.. BARU LAH ISLAM NAMANYA.. KE TOK GURU TAK AJAR???

Anonymous said...

APA YANG USTAZ BUAT SEPANJANG USTAZ PEGANG TIMB PESURUHJAYA PAS TERENGGANU? USTAZ PUN SAMA LAH... DOK PAYOH CAKAPLAH...

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...