NURIDAH CALON AHLI DEWAN NEGARA WAKILI DUN TERENGGANU

| |


KUALA TERENGGANU, 29 November -Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu meluluskan pemilihan Nuridah Mohd Salleh sebagai calon wanita untuk dilantik sebagai Ahli Dewan Negara menerusi undian sebulat suara sebagai Senator selama tiga tahun berkuat kuasa bulan ini.

Beliau menggantikan Engku Naemah Engku Taib yang tamat tempoh perkhidmatan sebagai  Ahli Dewan Negara pada 5 November lalu.

Nuridah, 57, berasal dari Kampung Padang Buloh, Pekan, Pahang yang merupakan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia mendapat pendidikan awal  di Sekolah Menengah Agama Kuala Rompin dan seterusnya menyambung pengajian ke peringkat Diploma Pendidikan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia dan Ijazah Pengubatan Islam Darussyifa’.

Beliau yang juga pendakwah bebas pernah tiga kali dicalonkan dalam Pilihan Raya Umum (PRU) iaitu dua kali sebagai calon parlimen di Rompin pada PRU13 dan Sungai Buloh pada PRU14 serta calon DUN Tahan pada PRU12.

Ibu kepada 10 orang anak ini turut aktif dalam persatuan dan menyertai program keamanan seperti Misi Kemanusiaan Gempa Bumi di Lombok & Palu, Indonesia,  Misi Kemanusiaan ke Syria, Myanmar, Bangladesh, Jerman dan Republik Czech, Misi Food Flotilla For Rohingya, Misi Dakwah di Pulau Krismas, Australia dan banyak lagi bagi menunjukkan wanita juga boleh memainkan peranan membawa suara keamanan kepada masyarakat dunia.

Nuridah yang ditemui selepas persidangan DUN hari ini berkata, pencalonan ini merupakan satu penghormatan dan kepercayaan kepadanya bagi menjalankan tugas untuk menyuarakan hasrat kerajaan negeri di peringkat pusat.

"Saya juga sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan negeri kerana memberi kepercayaan kepada Zuraida sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mewakili suara wanita.

"Ini suatu perkara yang sangat menggembirakan kami serta seluruh muslimat kerana sudah lama menantikan saat ini dan kami berharap dapat menjalankan tugas sebaiknya dengan sokongan dari semua pihak," katanya.

Rujukan: https://www.teganukita.net/2018/11/nuridah-calon-ahli-dewan-negara-wakili.html?m=1&fbclid=IwAR3ly32x4IjiJw5qcPCHrdBm9XkY6oEkmEl5HMniEsVEJdqh6w7vMoayD2A

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...