JAGO MA MOLEK, KITO NOK GI DOH

| |


Oleh: Muhd Lukman
DUNGUN, 14 November - "Jago ma molek, kito nok gi doh," itulah kata-kata terakhir Konstabel Wan Mohd Arif Wan Yahya kepada kakaknya, seakan-akan membayangkan dirinya akan pergi buat selama-lamanya.
Kata-kata tersebut disampaikan mangsa ketika pulang bertemu keluarganya pada 1 November yang lalu.
Khadijah Daud, ibu mertua mangsa ketika ditemui pemberita memberitahu mangsa juga sempat meminta untuk mencium dan memeluk ibunya sendiri semasa pulang ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.
"Dia beritahu nak cium dan peluk ma (ibu mangsa) sebelum kembali bertugas di Balai Polis Paka.
"Saya terkejut apabila mendapat makluman dari abang ipar mangsa tentang hal ini dan mengajak ahli keluarga untuk menunaikan solat hajat agar mangsa selamat dan ditemui pihak keselamatan," katanya.
Khadijah bersama keluarga bertolak ke Paka pada malam kejadian dan singgah di Kuala Terengganu untuk mengambil isteri mangsa yang belajar di Kolej Kejuruwatan Kuala Terengganu.
Beliau turut memaklumkan ibu dan bapa kandung mangsa tidak dapat hadir ke lokasi kejadian disebabkan masalah kesihatan.


Satiful hadir memberi sokongan kepada keluarga mangsa.
Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat turut hadir ke lokasi kejadian menghulurkan sumbangan kepada keluarga mangsa, semalam.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka turut mengetuai bacaan doa di lokasi kejadian bersama semua anggota keselamatan dan juga penduduk setempat yang hadir menghulurkan bantuan.
"Kita harap orang ramai turut mendoakan dan melakukan solat hajat agar operasi pencarian mangsa oleh anggota keselamatan dipermudahkan oleh Allah," katanya.
Dalam laporan sebelum ini, mayat lelaki yang terbabit dalam kejadian kejar mengejar dengan anggota polis sebelum terjatuh ke dalam Sungai Paka di Kampung Baru Penyiram, Durian Mentangau, Dungun, Jumaat lalu, ditemui lemas kira-kira 400 meter dari tempat dia dilaporkan terjatuh pada 11.50 pagi, 12 November.
Usaha mencari seorang lagi mangsa iaitu anggota polis, Konstabel Wan Mohamad Ariff Wan Yahaya, 28, terus dipergiatkan meliputi jarak lebih 10 kilometer.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...