JHEAT MULA OPERASI SRIDI JANUARI INI

| |




KUALA TERENGGANU, 1 November - Kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bakal memulakan operasi Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) mulai Januari ini untuk sesi persekolahan 2019.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, permohonan kemasukan untuk pendaftaran murid Tahun Satu di SRIDI mula dibuka hari ini (1 November) hingga 30 November depan.

“Buat permulaan, SRIDI akan beroperasi di enam lokasi iaitu di Bandar Al Muktafi Billah Shah (AMBS), Dungun; Ajil (Hulu Terengganu), Binjai Rendah (Marang), Manir (Kuala Nerus) serta Kampung Raja (Besut).

“Dan Sekolah Rendah Agama Yayasan Islam Terengganu (SRAYIT) yang terletak di Losong (Kuala Terengganu) juga akan digabung jalinkan menggunakan modul yang sama dengan SRIDI,” ujarnya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Graduasi dan Anugerah Hafazan Al-Quran 2018 Sekolah-Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 346 pelajar Tingkatan Lima diraikan selain pemberian insentif RM1,000 kepada 300 pelajar yang telah berjaya menghafaz 30 juzuk al Quran.

Menurut beliau, pembukaan enam SRIDI merupakan langkah awal untuk menunaikan janji manifesto PAS dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu yang mahu menawarkan SRIDI di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

“Selepas ini lebih banyak akan dibuka secara berperingkat termasuk Sekolah Menengah Islam di kawasan Parlimen pula," katanya.

Katanya, buat permulaan setiap SRIDI akan dibuka sebanyak dua kelas memuatkan pelajar seramai 50 orang (25 orang satu kelas).

 “Waktu pembelajaran bermula dari pukul 8 pagi sehingga 4 petang.

“Secara tidak langsung, sesi pembelajaran di SRIDI ini akan memudahkan ibu bapa yang bekerja untuk menguruskan rutin persekolahan anak-anak mereka," ujarnya.

Katanya , kerajaan negeri mempelawa kanak-kanak yang dilahirkan pada tahun 2012 yang berdekatan dengan SRIDI tersebut agar segera membuat permohonan di Bahagian Pendidikan, Kompleks Seri Iman, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu.

Rujukan :https://www.teganukita.net/2018/11/jheat-mulakan-operasi-sekolah-rendah.html?m=1

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...