KUALA TERENGGANU, 28 Ogos - Kerajaan Negeri Terengganu meminta semua agensi kerajaan memantau mana-mana individu atau kumpulan yang cuba mengadakan pesta liar dan maksiat sempena ambang merdeka di seluruh negeri sekali gus mengambil tindakan undang-undang jika didapati melakukan kesalahan.
Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, Kerajaan Negeri juga menasihatkan mereka terbabit tidak mengadakan sebarang acara atau pesta yang bercanggah dengan peraturan dan enakmen yang ditetapkan kerajaan, jika mereka tidak mahu dikenakan tindakan undang-undang.
"Perbuatan yang menyalahi undang-undang mencemarkan keharmonian negeri dan negara sekali gus meletakkan diri masing-masing mencabar enakmen negeri dan undang-undang negara.
"Kita akan mengembeling semua pihak untuk membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas jika ada pihak sengaja mengingkari perundangan yang sedia ada.
"Kita akan mengembeling semua pihak untuk membuat pemantauan dan mengambil tindakan tegas jika ada pihak sengaja mengingkari perundangan yang sedia ada.
"Jadilah rakyat yang berguna dan bermanfaat kepada negeri dan negara, hiduplah dengan aman tanpa melanggar peraturan yang ditetapkan," katanya ketika dihubungi hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu seterusnya berkata, tidak ada masalah mereka mahu meraikan hari kemerdekaan negara tetapi biarlah keraian dibuat tidak melanggar lunas-lunas agama dan undang-undang negara.
Katanya tujuan sambutan itu juga ialah untuk memupuk semangat petriotisme dan cinta kepada keamanan serta kedamaian negara tanpa terbabit dengan gejala sosial yang merosakkan akal, jasmani dan rohani.
"Jadi, kembalilah kepada fitrah manusia yang suci murni dengan sentiasa beramal dengan amalan mulia Islam dan menghargai akal dan jasmani yang sihat kurniaan Allah kepada kita semua, Selamat Menyambut Hari Kemerdekaan ke 62 dan selamat maju jaya," ujarnya lagi.
Sumber : https://www.teganukita.net/2019/08/jauhi-pesta-liar-di-ambang-merdeka.html?fbclid=IwAR2eOvlUKGJewm2UnIvK-Ga-vQ-p2naDkhWhkfo-9tHUSvWw5q_iMhCBB_s
No comments:
Post a Comment