Semak Semula Keputusan Gabung UMT - UniSZA - Ahmad Amzad

| |
Ahmad Amzad (tengah) dalam satu majlis di Kuala Terengganu baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU, 21 September - Kerajaan Pusat diminta menyemak semula keputusan penggabungan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kerana penggabungan dilihat bukan pilihan dan prioriti pada masa kini. 

Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, kerajaan boleh terus membantu memperkasakan kursus-kursus tujahan di UMT dan UniSZA tanpa perlu kepada satu proses penggabungan yang memerlukan kepada kos yang tinggi. 

"Ditambah dengan protes berterusan daripada ahli akademik, mahasiswa dan masyarakat setempat, proses yang tidak perlu ini akan menjadi rumit sekali untuk diselesaikan kerajaan," jelasnya.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan media di status Facebooknya pada Khamis.. 

Ahmad Amzad turut meneliti alasan-alasan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan Malaysia Dr Maszlee Malik berhubung dengan penggabungan UMT dan UniSZA. 

Faktor utama penggabungan ini dikatakan kerana faktor pencapaian UMT yang tidak memuaskan terutamanya kegagalan universiti itu mengetengahkan kursus maritim sebagai kursus rujukan di peringkat antarabangsa. 

Seterusnya, Dr Maszlee juga mewajarkan keputusan kerajaan itu dengan memberi alasan bahawa kebolehpasaran kerja bagi graduan universiti ini adalah rendah di samping kedua-duanya mempunyai kursus dan professor dalam bidang yang sama. 

Katanya, kenyataan-kenyataan Dr Maszlee ini menimbulkan banyak keraguan. 

"Tidak wajar perbandingan dilakukan melalui 'ranking' universiti dengan mengambil kira usia penubuhan UMT jika dibandingkan dengan universiti-universiti terkemuka tempatan yang lain. 

"Jika 'ranking' menjadi punca, bukan tidak wujud universiti-universiti yang berada di bawah UMT.

"Sekadar persamaan kursus juga bukan alasan yang kukuh untuk satu penggabungan kerana  universiti yang mempunyai kursus tujahan sendiri juga masih mempunyai kursus-kursus lain yang ditawarkan," ujarnya. 

Katanya, alasan kebolehpasaran kerja pula hanya menunjukkan kegagalan kerajaan menyediakan peluang pekerjaan yang sesuai dengan bidang graduan. 

"Paling tidak boleh diterima adalah apabila menteri sendiri menidakkan pencapaian UMT dalam bidang marin.  

"Walhal, Institut Oseanografi dan Sekitaran (INOS) UMT telah diiktiraf oleh Kementerian Pendidikan Malaysia sendiri sebagai Pusat Kecemerlangan Industri (ICoE) kluster Maritim kerana sumbangan dan kerjasamanya dengan universiti luar dalam pemfokusan bidang yang sama," jelas beliau lagi. 

Ahmad Amzad juga berkata, di sebalik usia penubuhannya yang masih muda, ia juga diiktiraf oleh badan profesional iaitu The Chartered Institute of Logistics and Transport (CILT) dalam bidang pengangkutan dan logistik maritim dengan penubuhan Pusat Pengangkutan dan Logistik Maritim (MALTrac) yang pertama di Malaysia. 

Menurutnya, UMT turut menubuhkan Pusat Pelayaran dan sedang giat membangunkan sebuah Pelabuhan Pengajaran (teaching port) UMT dan Pusat Repositori Marin Kebangsaan.

"Banyak lagi pencapaian UMT di peringkat antarabangsa yang menjadi kebanggaan warga UMT. 

"Saya percaya UMT sudah pun berada di trek yang betul untuk terus cemerlang dan menjadi rujukan universiti-universiti lain," ujar Ahmad Amzad.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...