SEM Terengganu Terus Cemerlang Garap Inovasi Generasi Muda

| |
Satiful menyampaikan sijil penghargaan dan cek daripada kerajaan negeri.
KUALA TERENGGANU, 1 Ogos - Kerajaan negeri menzahirkan ucapan tahniah dan syabas kepada sekolah-sekolah yang menyertai Pesta Schoolwide Enrichment Model (SEM) serta berjaya mengangkat nama negeri ke peringkat nasional dan antarabangsa melalui pelbagai inovasi idea dan produk alternatif.  

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, program SEM akan terus menggarap lebih banyak kreativiti generasi baharu untuk terus berinovasi dan mencungkil bakat mereka.

“Berdasarkan faktor umur mereka,  amat membanggakan kerana mereka bukan sekadar berjaya melontar idea tetapi mengeluarkan produk.

“Lebih-lebih lagi pada zaman Revolusi Industri 4.0 yang mana kita memang perlukan pelapis-pelapis untuk menhadapi zaman yang lebih mencabar,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Pesta SEM 2019 di Perpustakaan Negeri Terengganu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Ishamuddin Hashim, Ketua Sektor Pengurusan Akademik Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu, Azman Othman, Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan) Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu, Lothman Awang serta Pengerusi Persatuan Pendidikan Terengganu Bestari (T-Confra), Mazlan Che Wil.
 
Guru penyelaras sekolah menunjukkan hasil inovasi pelajarnya kepada Satiful.
Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri turut menyampaikan dana bernilai RM1,000 bagi setiap 24 buah sekolah yang terlibat untuk membantu perkembangan idea dan inovasi.

Satiful juga menyatakan, kejayaan sekolah  adalah satu fenomena  yang baik atas inisiatif guru-guru dan ibu bapa yang menyokong melalui tenaga dan wang membolehkan mereka berkembang sehingga diiktiraf di peringkat antarabangsa.

Katanya, kerajaan negeri juga optimis untuk mengetengahkan produk-produk yang dihasilkan dengan cara komersial selepas menilai kebolehpasaran inovasi yang dibangunkan.

“Saya rasa, tidak mustahil ia direalisasikan pada masa akan datang. Kita sememangnya berbangga dengan produk-produk yang dihasilkan.

“Cuma, masa dan waktu akan membuktikan. Jika mereka telah diiktiraf di peringkat antarabangsa, mengapa tidak ia dipaten atau dikomersialkan?,” katanya.

SEM merupakan satu program inovasi pendidikan Kerajaan Negeri Terengganu
yang bermula pada tahun 2005 hingga kini dengan fokus utama, Learning is Fun dan No Child Left Behind.

Program tersebut adalah suatu model pembelajaran menyeluruh dalam membangunkan potensi murid selain merupakan satu pendekatan tambah nilai dalam sistem pendidikan bagi membantu meningkatkan pencapaian sesebuah sekolah berdasarkan kepada sumber-sumber persekitaran, bilangan murid, kepimpinan sekolah dan kreativiti sesuatu organisasi.

Dalam Pesta SEM 2019 yang berakhir hari ini, Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut berjaya merangkul Anugerah Khas SEM dengan penghasilan produk berasaskan kulit telur.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/08/sem-terengganu-terus-cemerlang-garap.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...