Kebakaran Di Pasar Payang, Empat Gerai Musnah

| |



Oleh: Syed Kamal

KUALA TERENGGANU, 27 Mac - “Saya tidak mampu buat apa-apa, hanya bingung dan hampir pitam ketika melihat gerai saya terbakar dijilat api yang sedang marak, kata Ibrahim Abdullah, 64, mangsa kebakaran gerai di Pasar Kedai Payang, di sini, tengah malam tadi.

Ibrahim yang sudah berniaga di situ sejak 30 tahun lalu berkata, kejadian berlaku ketika dia meninggalkan gerainya sementara kawannya pula sedang menggoreng keropok di gerainya itu dan sebaik kembali semula, tiba-tiba kawasan jualannya itu sudah dijilat api. 

Dia dengan beberapa peniaga berhampiran kemudiannya bertindak memadamkannya dengan menyimbah air, pun begitu usaha itu tidak berhasil apabila api semakin marak dan turut memusnahkan tiga kedai lain yang berhampiran.

Akibat kejadian itu, Ibrahim yang berasal dari Kampung Manir itu memberitahu, kerugian yang dialaminya kira-kira RM15,000.


Pegawai Bomba Kanan 2, Mohd Zuhan Shafei berkata, sepasukan 16 anggota bomba dari Balai Bomba Dan Penyelamat Jalan Kota dan Balai Bomba Dan Penyelamat Kuala Terengganu dikerahkan ke lokasi kejadian sebaik sahaja menerima panggilan pada jam 11.41 malam.

Menurutnya, kebakaran berjaya dikawal kira-kira 25 minit daripada merebak ke kawasan lebih luas.

“Kebakaran berhampiran Pasar Payang ini melibatkan empat buah gerai jualan dengan satu gerai  musnah keseluruhan dan tiga lagi musnah hampir 50 peratus.

Katanya, dua jentera bomba dengan sembilan anggota dari balai bomba Kuala Terengganu dan tujuh lagi dari  Jalan Kota berjaya memadam kebakaran itu sepenuhnya kira-kira jam 12.10 tengah malam tadi dan tiada sebarang kecederaan jiwa dilaporkan.

Menurutnya lagi, punca kejadian dan jumlah kerugian akibat kebakaran itu sedang disiasat.

sumber : https://www.teganukita.net/2019/03/kebakaran-di-pasar-payang-empat-gerai.html?fbclid=IwAR23-caIi4R2lpJo89G4Fdm-UpuhgM5DsCAJaDkQjk9WGhBH0dXgtp40EnI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...