300 Perantau Sertai Siri Jelajah Kerajaan Terengganu

| |
Anak-anak Perantau merakamkan kenangan bersama pimpinan negeri.


BAYAN LEPAS, 10 Mac- Lebih 300 anak negeri Terengganu yang bermastautin di utara semenanjung Malaysia diraikan dalam Program Jelajah Anak Terengganu: Pasca Pembentangan Bajet 2019 Zon Utara, hari ini.

Program yang berlangsung di Tabung Haji (TH) Hotel, Pulau Pinang itu bertujuan menyebar luaskan perancangan Bajet negeri bagi tahun 2019 kepada anak-anak negeri selain membina jaringan ukhuwah antara mereka dan kerajaan negeri.

Sebahagian besar mereka yang hadir merupakan ahli Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu (PERMATA) terdiri daripada penuntut Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP) dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

Manakala, sekitar 50 peserta pula terdiri daripada ahli Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (PERANTAU) yang bermastautin di negeri Perak, Kedah, Pulau Pinang dan Perlis.
Satiful Bahri kemukakan agenda kerajaan kepada mahasiswa PERMATA zon utara.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat merakamkan terima kasih kepada sambutan yang menggalakkan dan kesudian rakyat memberi kepercayaan kepada kepimpinan baharu memerintah selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 lalu.

Menurutnya, kerajaan negeri masih meneruskan skim-skim yang baik kerajaan terdahulu untuk kepentingan rakyat.

"Sebahagian besar manifesto yang dijanjikan dahulu juga telah dilaksanakan dan sedang berjalan secara berperingkat.

"Begitu juga dengan Bajet 2019. Buat masa ini, kerajaan negeri fokus menunaikan janji kepada rakyat selain memberi banyak keutamaan buat belia dan mahasiswa," katanya ketika berucap dalam sesi dialog sempena program tersebut.
Sulaiman turut dilantik sebagai bapa angkat UUM.

Antara panel dialog berkenaan ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Wan Sukairi Wan Abdullah.

Hadir sama dalam majlis tersebut, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong; ADUN Bandar, Ahmad Shah Mohamed; ADUN Rantau Abang, Alias Harun serta Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.

Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu (YT), Ishamudin Hashim; Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Strategic & Intergrity Institute (TSIS), Dr. Wan Mat Sulaiman; Ketua Penolong Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)Bahagian Pembangunan Keluarga, Abdul Ghaffar Mamat serta Pengurus Kanan Pengurusan Aset dan Pembiayaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Zulkifli Yunus.

Siri jelajah itu dianjurkan YT dengan kerjasama agensi-agensi kerajaan negeri bagi membuka ruang memperkenalkan agenda kerajaan kepada anak-anak negeri di perantauan.

Bagi tahun ini, program berkenaan sedang dilaksanakan ke setiap daerah Terengganu dan seluruh negara secara berperingkat.

Mahasiswa yang hadir turut melontarkan idea dan persoalan berkenaan Bajet 2019 yang dibentangkan baru-baru ini.



Sumber : https://www.teganukita.net/2019/03/300-perantau-sertai-siri-jelajah.html?fbclid=IwAR13ABvSgOrbOp4wTi9OyLO2zzJ9od4g7D3cNyIJ4-M8j2Bd-92v0HOfORU

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...