Hospital Baharu Dungun Terengganu Dijangka Siap Ogos Ini

| |

DUNGUN, 26 Mac - Penduduk Dungun kini mampu menarik nafas lega apabila projek pembinaan bangunan baharu Hospital Dungun bernilai RM118 juta dijangka siap Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh berkata, pembinaan hospital berkenaan kini berada pada tahap 70 peratus.


“Kontraktor daripada Nukima Sdn Bhd telah menyiapkan sekitar 70 peratus daripada pembangunan hospital ini dan selepas Perakuan Kelambatan Dan Lanjutan Masa (EOT) selama enam bulan, ianya dijangka siap Ogos ini.

"Sekiranya terdapat hal-hal lain termasuk masalah teknikal dan sebagainya ia mungkin dilanjutkan sehingga Februari tahun hadapan untuk mulakan operasi sepenuhnya.

“Pembinaan hospital ini mengalami sedikit kelewatan disebabkan beberapa masalah termasuk pertindihan di peringkat awal melibatkan urusan tambun tanah, berkaitan dengan peruntukan ketika berlaku perubahan Kerajaan Pusat dan disebabkan kekangan tenaga kerja.

“Walau bagaimanapun, masalah-masalah ini telah diselesaikan dan saya yakin selepas EOT projek ini dapat disiapkan mengikut jadual,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Muara Sungai Dungun dan Pembinaan Hospital Dungun, di sini, semalam.

Turut serta, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.

Dr Mamad berkata, Hospital Dungun yang baharu itu dibina di atas tanah seluas 6.13 hektar dengan kapasiti 110 buah katil yang dilengkapi kemudahan termasuk wad pesakit, wad bersalin, dewan bedah serta perkhidmatan doktor pakar.


“Apabila hospital ini siap, ianya dapat mengatasi kesesakan dan masalah banjir yang sering berlaku di hospital lama.

"Bagaimanapun, hospital lama Dungun masih akan terus beroperasi memandangkan dengan kapasitinya yang mempunyai lebih kurang 100 buah katil dan tidak ada banyak perbezaan dengan hospital baharu.

"Adalah lebih baik ianya terus digunakan untuk menampung keperluan penduduk dan tidak mendatangkan masalah walaupun ada dua hospital di daerah ini,” ujarnya.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/03/hospital-baharu-dungun-terengganu.html?fbclid=IwAR25BrJRVyC1M-jpIr6Qan3Cx-9aywLgfy5jcGaGsI37NKdFlrshNZ2kskY

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...