Kedatangan Islam ke Tanah Melayu telah membawa kepada penubuhan Kesultanan Melayu yang menggantikan sistem pemerintahan hindu sebelumnya. Sejarah membuktikan kesultanan Islam awal seperti Kesultanan Kedah telah bermula 531H/ 1136M. Kesultanan Kelantan bertapak pada tahun 577H/ 1181M dan sudah bermulanya pentadbiran dan undang-undang Islam di Rantau Melayu ini.
Selain peraturan Islam yang tercatat di batu Bersurat Terengganu pada 702H/1303M, Kerajaan Melaka telah menggubal undang-undangnya sendiri yang berasaskann undang-undang Islam yang dikenali sebagai Risalah Hukum Qanun. Ia dikuat-kuasakan di Melaka. Qanun ini ditulis pada zaman pemerintahan Sultan MUzaffar Syah (1446-1456) dan ianya dilengkapkan oleh Hang Sidi Ahmad dizaman pemerintahan Sultan Melaka terakhir (1488-1511). Dalam masa yang sama Undang-undang Laut juga digubal yang menyentuh tentang peraturan pelabuhan, pelayaran di laut dan percukaian.
Hukum kanun Melaka meliputi bidang yang luas termasuklah jenayah, mu’amalah, keluarga, acara, keterangan, adab alqadi dan undang-undang pentadbiran dan pemerintahan. Hukuman keseksaan pula berdasarkan kepada bentuk hudud, qisas, diat dan ta’zir. Menurut beberapa orang pengkaji barat, seperti William R. Roff dan Alfred R. Rubin bahawa Undang-undang Melaka itu pada dasarnya berasaskan Undang-undang Islam di samping Hukum Akal dan Hukum Adat. Pendapat mereka ini adalah menepati kenyataan yang terdapat di dalam qanun tersebut; “Mengikut hukum Allah, pada hukum Allah, menurut dalil AlQuran dan menurut amar bil ma’ruf wa nahi munkar”.
Berdasarkan kepada teks Hukum Qanun Melaka yang diselenggarakan oleh Dr Ph. S. Rankel mengandungi 27 fasal , Kitab Undang-undang Melaka dari Muzium British mengandungi 44 fasal dan setelah diteliti dan dikaji Undang-undang Melaka, dapatlah disimpulkan bahawa , Undang-undang Qanun Melaka ini adalah pada keseluruhannya berdasarkan Undang-undang Islam menurut Mazhab Syafie.
Contoh nas - nas qanun tersebut adalah seperti berikut:-
Fasal - fasal berikut :
5.1 Hukum membunuh secara sengaja maka dibunuh balas
5.7 Hukum yang mencuri tiada harus dibunuh melainkan dipotong tangan
12.3 Hukum qazaf disebat lapan puluh kali
36 Hukum bagi si murtad iaitu diminta taubat selama tiga hari , jika enggan dihukum bunuh.
Penasihat kehakiman dan pentadbiran kepada sultan ketika itu adalah ulama yang digelar para qadi. Yang terkenal seperti Qadi Amir Sa’id dari Syiraz, Kadi Tajuddin dari Isfahan, Kadi Amir Dawlasa dari Delhi. Ulama setempat seperti Qadi Yusof, Qadi Menua dan Qadi Menawar Syah.
Fasal - fasal berikut :
5.1 Hukum membunuh secara sengaja maka dibunuh balas
5.7 Hukum yang mencuri tiada harus dibunuh melainkan dipotong tangan
12.3 Hukum qazaf disebat lapan puluh kali
36 Hukum bagi si murtad iaitu diminta taubat selama tiga hari , jika enggan dihukum bunuh.
Penasihat kehakiman dan pentadbiran kepada sultan ketika itu adalah ulama yang digelar para qadi. Yang terkenal seperti Qadi Amir Sa’id dari Syiraz, Kadi Tajuddin dari Isfahan, Kadi Amir Dawlasa dari Delhi. Ulama setempat seperti Qadi Yusof, Qadi Menua dan Qadi Menawar Syah.
Apabila kejatuhan Melaka ke tangan Portugis pada 1511M, undang-undang dan peraturan Islam ini masih diteruskan pemakaiannya oleh Kesultanan Melayu di negeri-negeri lain. Ia digubal di negeri masing-masing seperti Qanun Pahang (1596M), di Kedah dengan Tembera Dato Seri Paduka Tuan (1078H/ 1667M), Undang-undang 99 dan 12 di Perak. Hukum Qanun Dato Setar (1099H/ 1784M), Qanun Johor (1789M), Qanun Kelantan 1168H. Di Terengganu ia diguna pakai semenjak kesultanan pertama Terengganu yang mencatatkan nama Sultan Zainal Abidin 1 (1708-1733) pada tahun 1120 hijrah (bersamaan tahun 1708) sehinggalah undang-undang Islam itu diperkukuhkan pada tahun 1911M iaitu dengan penggubalan Undang-undang diri Terengganu.
Sistem pentadbiran undang-undang Islam di Tanah Melayu sudah sofistikated dan tersusun kemas mengikut institusi pemerintahan di Timur Tengah. Ia telah matang sebelum kedatangan British. Beberapa orang Qadi telah dilantik secara formal bagi menguruskan pentadbiran kekeluargaan. Mereka mempunyai bidang kuasa membicarakan kes-kes melibatkan keluarga dan rumah-tangga serta beberapa kesalahan Islam di “Mahkamah Syariah”. Para hakim juga dilantik yang mempunyai bidang kuasa bagi membicarakan kes-kes jenayah bagi mahkamah jenayah negeri yang dikenali “Mahkamah Adat” yang berlandaskan undang-undang Islam dan adat tempatan. Kes rayuan dari dua mahkamah ini diangkat kepada Sultan dan di bantu oleh mufti dan dibicarakan di “Mahkamah Balai”. Jawatan Syaikhul Islam atau mufti serta dibantu oleh qadi. Mufti yang boleh memberikan fatwa dan menasihati sultan khususnya melibatkan kes ulang-bicara di Mahkamah Balai. Mufti merupakan ketua eksekutif kehakiman dan pentadbiran agama sebelum kedatangan British.
Khatib dan bilal berperanan untuk menguat-kuasakan undang-undang Islam disetiap mukim dan daerah dan disamping berkuasa memungut zakat. Penghulu, penggawa dan hulubalang adalah antara penguatkuasa undang-undang Islam.
Di Terengganu, Mahkamah Balai yang menjadikan undang-undang Islam sebagai rujukan telah mula diwujudkan sejak pemerintahan Baginda Sultan Omar (1839-1875M)lagi. Negeri Terengganu mula mencapai zaman kegemilangan apabila berada di bawah pemerintahan Sultan Omar Apabila Baginda Omar mangkat, takhta kerajaan Terengganu diduduki oleh Sultan Ahmad Shah II (1876–1881). Sultan Ahmad Shah pula digantikan oleh putera baginda, Sultan Zainal Abidin III (1881–1918). Ketika pemerintahan baginda, undang-undang Islam dikuatkuasakan sepenuhnya. Negeri Terengganu ketika itu tergolong dalam senarai Negeri-negeri Melayu Tidak Bersekutu. Oleh sebab itu, tidak wujud satu pusat pemerintahan sebagaimana Negeri-negeri Selat dan Negeri-negeri Melayu Bersekutu yang negeri-negeri tersebut bergabung dan diletakkan di bawah satu pusat pentadbiran. Tetapi bagi Terengganu, ia bebas, merdeka dan Sultan serta para pembesarnya pula berkuasa penuh dalam hal ehwal pentadbiran negerinya.
Sultan Zainal Abidin III mentadbir negeri Terengganu berasaskan hukum Islam kerana baginda sendiri terkenal sebagai seorang yang kuat berpegang kepada ajaran agama Islam. J. de Vere Allen pernah menghuraikan cara Sultan Zainal Abidin III menjatuhkan hukuman. Dalam kes-kes jenayah, keterangan daripada dua pihak didengar oleh baginda tetapi akhirnya dirujukkan kepada al-Quran untuk mendapatkan satu keputusan menjalankan hukuman itu. Jenis-jenis hukuman yang mungkin dikenakan ialah mati, penjara, denda dera dan kalau berlaku kesalahan zina, perempuan yang bersalah itu akan ditanam setakat pinggang di halaman pasar untuk satu hari, orang ramai diizinkan merejam pesalah itu dengan batu. Hukuman dera dikhaskan untuk pesalah-pesalah muda dan kadang-kadang perempuan. Deraan dikenakan di bahagian punggung tanpa membuang pakaian. Jumlah yang mati dihukum dalam masa 27 tahun pemerintahan baginda ialah hanya 5 orang. Kejayaan ini disebabkan keinginan daripada golongan pemerintah dan kegigihan para ulama sehingga timbul kesedaran dan keyakinan rakyat terhadap kesempurnaan dan keadilan hukum Allah.
Tok guru-tok guru dijadikan rujukan seperti Tok Syeikh Duyung (Syeikh al-Ulama) yang menjadi Mufti Negeri dan Tok Ku Paloh (Syed Abdul Rahman) yang menjadi menteri dan juga penasihat khas kepada baginda. Di samping itu, baginda juga berpegang kuat kepada ibadat dan amalan keagamaan. Menurut M. C. ff. Sheppard, baginda digambarkan sebagai “not only attend the chief mosque in person but never missed the five hours of prayer and enforced a similar observance on his people.” Hubungan alim ulama dengan pihak Sultan menyebabkan sukar bagi pihak Inggeris untuk mencampuri hal ehwal politik negeri Terengganu berbanding dengan negeri-negeri lain di Semenanjung Tanah Melayu
British beberapa kali cuba melibatkan diri dalam kerajaan Terengganu. Pada tahun 1911, Sultan Zainal Abidin III meluluskan "Undang-Undang Bagi Diri Kerajaan Negeri Terengganu" yang di antara lain menyatakan Sultan Yang DiPertuan Besar Terengganu memiliki kuasa kerajaan dan jajahan serta adalah ketua tertinggi kerajaan Terengganu. Raja sahaja berkuasa melantik dan memecat menteri dan pegawai-pegawainya. Sultan ditegah membuat sebarang perjanjian untuk melepaskan kuasa negeri kepada kerajaan lain atau kepada bangsa Eropah. Seandainya dilakukan juga oleh Sultan, maka pemerintahannya tidak perlu ditaati lagi.
Undang-undang ini yang diberinama “Itqan al-Muluk Bi- Ta’dil al-Suluk” antaranya mengukuhkan pengistiharan Terengganu sebagai sebuah negeri Melayu Islam dengan peraturan dan undang-undang Islam. Secara langsung dan tegas untuk menolak campur-tangan British di Terengganu. W. Conlay sebagai wakil British yang datang ke Kuala Terengganu pada Julai 1909M tidak mampu berbuat apa-apa dan gagal mencampuri urusan pemerintahan Baginda ketika itu.
Dibawah ini penulis lampirkan sebahagian dari 'Undang-Undang bagi diri Kerajaan Terengganu' yang diguna pakai sehingga kini meskipun ada tambahan dan pindaan.
Secara jelas di sebut dalam fasal :51 mengenai ugama negeri Terengganu iaitu " Sesungguhnya telah disifatkan dan disebutkan dan ditetapkan selama-lamanya kerajaan Terengganu ini kerajaan Islamiyyah 'Melayuwiyyah' ialah yang dikatakan ugama negeri dan kerajaan".
2 comments:
Assalamuaalaikum Ustaz,
Mohon kebenaran untuk "link" siri ini ke facebook/blog keluarga saya.
Saya pernah mendengar kisah melalui ceramah dirumah saya tetapi belm pernah ada bahan tulisan.
Terima kasih.
sebar2kan. semoga masing2 menunaikan hak masing2 i'allah
Post a Comment