SYABAS ANAK

| |



Hakmilik: Peneroka dakwa Felda tipu

Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) hari ini menyerahkan memorandum kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung dakwaan pelanggaran hak asasi, diskriminasi dan dakwaan berlakunya penipuan oleh Felda.Memorandum tersebut diserahkan oleh presidennya Mazlan Aliman (kiri) kepada pesuruhjaya suruhanjaya tersebut Datuk Khalid Ibrahim (kanan) di pejabatnya kira-kira jam 3.30 petang ini.Turut hadir ialah barisan peguam yang ketuai oleh Ahmad Nizam Hamid serta beberapa pemimpin Pakatan Rakyat, antaranya ahli parlimen Batu Tian Chua dan ADUN Port Dickson M Ravi.

Kira-kira 100 peneroka hadir dalam majlis penyerahan memorandum tersebut kepada Suhakam.Dalam memorandum tersebut, persatuan itu menyenaraikan beberapa aduan termasuk dakwaan diskriminasi terhadap 25,000 peneroka yang mengendalikan sendiri kebun mereka selepas melangsaikan bayaran hutang."Tanah mereka itu, sudah selesai bayaran hutangnya, tetapi sampai hari ini, mereka tidak dapat hak milik," kata Mazlan dalam aduannya kepada Khalid.Beliau yang juga ahli jawatankuasa pusat PAS juga mendakwa terdapat peneroka menerima ugutan daripada Felda, termasuk dakwaan akan disingkirkan dari tanah rancangan.Menurutnya, terdapat sesetengah peneroka Felda telah menggunakan pelbagai cara untuk mendapatkan hak milik tanah mereka itu, termasuk membuat laporan polis, berjumpa dengan menteri dan membawa perkara tersebut ke mahkamah.Dalam memorandum tersebut, peneroka juga menuntut hak mereka yang telah dinafikan oleh agensi kerajaan itu selama ini, antaranya wang tanam semula sebanyak RM17,000 yang tidak diterima mereka sehingga hari ini.Selain itu, mereka juga mendakwa dinafikan hak, antaranya, untuk mendapat bantuan tanam semula Risda bagi tanaman getah, lesen menjual hasil sawit dari Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) serta bantuan pendidikan dan pinjaman usahawan.

Dalam aduannya juga, Mazlan turut mendakwa Akta Penempatan Beramai-ramai (GSA) 1960 telah menjadi "senjata" agensi kerajaan itu untuk mengawal selia keseluruhan aktiviti dan kegiatan peneroka."Mereka akan menyebut akta ini termasuklah berhubung pengurusan ladang, dan kegiatan aktiviti peneroka mengikut tafsiran felda. Dan peneroka tidak boleh buat apa-apa," kata Mazlan.Memorandum itu juga mendakwa akta tersebut membolehkan penguasaan tanah rancangan secara langsung dalam bentuk syarat nyata yang tertulis dalam surat hak milik peneroka, sama ada secara tersirat atau tidak nyata.Akta itu, menurut memorandum tersebut, tidak membenarkan tanah mereka digadai, dipecah-pecahkan atau dibahagikan dan diserahkan kepada seorang penama sahaja.Akta ini, kata peneroka terbabit, telah menimbulkan konflik dalam keluarga dari sudut pembahagian pusaka, hak peneroka terhadap tanah dan masa depan generasi kedua.Memorandum itujuga mendakwa, peneroka terpaksa menandatangani beberapa perjanjian untuk mendapat hak milik tanah, termasuk perjanjian penanaman semula yang diperkenalkan beberapa tahun dahulu.Peneroka juga didakwa tidak mendapat salinan surat perjanjian tersebut dan felda juga boleh bertindak hingga ke tahap mendapatkan 'kaveat' tanah peneroka.

Dalam majlis tersebut juga lima wakil peneroka felda dari pelbagai negeri turut mengemukakan aduan lisan mereka kepada Khalid, yang rata-ratanya berkisar mengenai masalah yang dibangkit itu.Sementara itu, Khalid berkata bagi pihaknya tidak pernah menerima aduan berhubung masalah yang dihadapi oleh peneroka."Kami hanya mendengar yang elok-elok sahaja, yang tidak ada masalah. Oleh sebab itu, kita mahu mendengar sendiri dari peneroka sebagai langkah pertama untuk menyelesaikan masalah ini," katanya.Beliau berkata, pihaknya juga akan mendapatkan penjelasan daripada Felda sendiri berhubung aduan yang dikemukakan oleh persatuan tersebut.Sehubungan itu, para pesuruhjaya Suhakam akan bermesyuarat pada 8 Mac depan untuk mengkaji dan menentukan tindakan mereka berhubung aduan yang diterima itu, termasuklah membuat siasatan nasional sekiranya sukar untuk mendapatkan maklumat."Kita tidak ada kuasa untuk memaksa kerajaan mesti buat itu, mesti buat ini. Kita hanya menyampaikan kepada kerajaan, maklumat yang tidak menyebelahi mana-mana pihak," katanya.Manakala Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula memberitahu pemberita sebelum penyerahan memorandum tersebut bahawa sebagai ahli parlimen, akan membahaskan akta Akta Penempatan Berkelompok 1960 (GSA) dan masa depan Felda dalam sidang parlimen yang akan bermula 15 Mac ini.Beliau yang juga ahli parlimen Kubang Kerian berkata, akta tersebut menindas peneroka dan sudah tiba masanya akta tersebut di semak semula. Terdapat 112,635 peneroka di Malaysia di 317 tanah rancangan Felda di seluruh negara. Daripada jumlah tersebut, tiga buah negeri yang mempunyai jumlah peneroka yang ramai iaitu Pahang (43,123); Johor (27,641) dan Negeri Sembilan (16,429) orang.Felda Lurah Bilut di Bentong yang dibuka pada 1958 adalah rancangan Felda yang terawal dengan projek penanaman getah, manakala Felda Taib Andak di Kulai Johor dibuka pada 1961 untuk penanaman kelapa sawit.


Komen:-

Syabas kepada ANAK atas tuntutan terhadap hak para peneroka dan generasi pelapis golongan peneroka. Mesti ada orang yang terus berani ke hadapan dan bertembung dengan golongan kapitalis yang menindas. Bersekongkol dengan pemerintah mengaut keuntungan dari keperitan para peneroka yang dinafikan hak mereka.

Saya sendiri memahami dan terlibat secara langsung kes-kes yang melibatkan penafian hak peneroka ini. Di dalam dun Paka sendiri adanya beberapa gugusan felda iaitu felda Kerteh Satu, Dua, tiga dan Empat. Ia menjadi lubuk untuk mempertahan kekuasaan politik UMNO Barisan nasional. Alhamdulillah kemenangan Pas pada tahun 1999, buat julung-julung kalinya para peneroka di felda Kerteh Satu dapat melihat Geran tanah tempat tinggal dan Kebun kelapa sawit mereka yang sekian lama mereka membanting tulang mengusahakannya. Sebagai Adun Pas ketika itu serta dengan kesungguhan JSR dari Felda tersebut, akhirnya hasrat mereka untuk memiliki geran tercapai meskipun terpaksa melalui pelbagai rintangan dan kerenah. Pihak Ketengah serta Felda sendiri menentangnya. Pimpinan UMNO sendiri menjalankan kempen untuk menolak supaya memulau penerimaan geran tersebut atas alasan geran palsu. Ada juga puak-puak UMNO bodoh sombong yang terpengaruh.

Hari ini para peneroka Felda Kerteh satu menanam sendiri ladang-ladang mereka dan tidak menyerahkan kepada Felda. Mereka berjaya menubuhkan Koperasi Pekebun Kecil dan mereka berjaya dengan pakatan mereka mengurus serta menyelia hasil-hasil ladang mereka. Kejayaan mereka dicemburui oleh pihak Felda yang menanggap bahawa para peneroka ini golongan bodoh yang tidak tahu mengurus dan mentadbir. Hari ini tohmahan mereka itu terjawab. Sekarang ramai para peneroka lain berhasrat menanam sendiri. Tetapi beberapa cara dan tindakan pihak Felda serta pemimpin UMNO sendiri yang cuba menghalang... sehingga hari ini hasrat penereko untuk memiliki geran hanyalah angan-angan semata. Dan dua penggal UMNO memerintah... bukannya berusaha untuk memberi geran tetapi meneruskan ugutan, diskriminasi serta penafian hak-hak peneroka.

Saya sendiri baru-baru ini turut sama bersama peneroka felda Kerteh Lima menahan cubaan pihak Felda untuk menyapu bersih menggunakan jentolak tanaman kelapa sawit yang ditanam sendiri oleh peneroka. Pegawai Felda yang saya temui akhirnya bersetuju menangguhkan setelah perbincangan diadakan. Akibatnya pegawai tersebut telah ditukar dari felda Kerteh Lima. Kes ini telah dibawa ke mahkamah untuk diadili dan masih menunggu perbicaraan. para peneroka Kerteh dua dan Tiga juga menghadapi masalah yang sama. Ada usaha untuk memaksa supaya diserahkan kepada Felda. Dan mereka akan menjadi hamba felda buat selama-lamanya dengan bebanan hutang yang tidak berkesudahan.

Begitu juga anak-anak peneroka. Zaman Pas memerintah kita menyediakan 1,000 lot tanah tempat tinggal buat generasi kedua Felda berhampiran Tnah felda Kerteh Satu. Mereka telah membersih dan menanam batu perenggang tanah masing-masing hasil kerjasama juruukur swasta tetapi apabila UMNO berkuasa semula semuanya dihentikan sehingga sekarang terbiar begitu sahaja. Apa yang anak- anak peneroka dapat??? Para peneroka yang percaya kepada janji- janji UMNO apa yang mereka dapat. Hak dan kelangsungan generasi mereka dinafika oleh UMNO. Sepatutnya Umno bukan sekadar memberikan tanah tetapi rumah dengan kelengkapak infanya sekali. Munasabah sebab para peneroka adalah pemberi kemenangan kepada UMNO.. tetapi mereka ditipu mentah-mentah hinga ke hari ini. Nyanyian si Luncai yang mereka amalkan.... " Biarkan si Luncai terjun dengan labu-labunya... biarkannn... biarkan..."


Apapun syabas kepada sahabat ku Mazlan Aliman... agar istiqamah menolong golongan marhaen ini. Semoga para peneroka satu hari nanti menyedari dan membela nasib mereka sendiri.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...