Skuad Penguatkuasa Sukarelawan Syariah Bakal Ditubuh

| |
Ustaz Satiful Bahari (kiri) ketika berucap di Majlis Dialog Exco Kerajaan Negeri Bersama Rakyat di Dewan Majlis Perbandaran Dungun semalam.

DUNGUN, 18 Oktober - Kerajaan negeri dalam proses melantik empat orang penguatkuasa sukarelawan syariah setiap qaryah bertujuan antara lain memantau sesiapa yang tidak mengerjakan solat Jumaat.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahari Mamat berkata, mereka terdiri dari empat orang penduduk setempat masing-masing dua lelaki dan perempuan.

Katanya, mereka terbabit akan diberi kursus untuk melaksanakan tugas mengawasi kampung masing-masing.

“Antara fungsi melantik muslimat itu ialah persoalan berkait dengan hari Jumaat untuk memastikan orang lelaki pergi solat jumaat di masjid berdekatan.

“Kalau tidak ada orang perempuan menjadi penguatkuasa nanti pesalah akan mendakwa penguatkuasa lelaki turut sama tidak solat jumaat.

"Selepas daripada ini semua masjid qaryah masing-masing menjaga qaryah masing-masing dengan adanya sukarelawan tersebut,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan orang ramai di Majlis Dialog Exco Kerajaan Negeri Bersama Rakyat di Dewan Majlis Perbandaran Dungun di sini semalam.

Orang ramai yang hadir di Majlis Dialog Exco Kerajaan Negeri Bersama Rakyat di Dewan Majlis Perbandaran Dungun semalam.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Haji Hanafiah Mat, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan ADUN Rantau Abang, Haji Alias Harun.

ADUN Paka itu berkata, ada empat kes mengenai kesalahan tidak solat Jumaat dalam perbicaraan di Mahkamah Syariah Kuala Terengganu dalam tempoh terdekat.

Katanya, ini bukan bererti kerajaan negeri hanya ingin mencari kesalahan orang semata-mata.

“Bukan kerja kerajaan negeri mencari kesalahan orang untuk ditangkap dan dipenjarakan, memberi nasihat itu lebih baik.

“Kita (kerajaan) mahu pastikan rakyat mematuhi undang-undang sedia ada tanpa perlu menghukum mereka.

“Jangan kita letakkan konsep Islam hanya mencari salah orang sahaja. Pendekatan kerajaan ambil ialah dengan terlebih dahulu memberi nasihat kepada mereka terbabit,” jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...