Terengganu Bakal Tubuh Pusat Tahfiz Mandarin

| |

KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Kerajaan Negeri merancang untuk menubuhkan Pusat Tahfiz Mandarin dengan menyediakan bangunan di kawasan sekolah jenis kebangsaan cina sedia ada di negeri Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, di peringkat awal kerajaan negeri akan mengambil 15 orang pelajar untuk belajar bahasa Mandarin dan hafaz Al-Quran di sekolah berkenaan.

"Kerajaan negeri sedang mengenal pasti beberapa buah sekolah cina termasuk di Dungun dan daerah lain yang mempunyai keluasan tanah mencukupi untuk membina bangunan bagi mewujudkan pusat berkenaan.

"Selepas siap bangunan itu kerajaan akan segera membuka pusat tersebut kepada rakyat negeri Terengganu terutama yang berbangsa Melayu bagi merebut peluang istimewa ini," katanya ketika bercakap kepada pemberita selepas bersiaran secara langsung di TV Darul Iman di pejabat Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di sini hari ini.

Ketika bersiaran secara langsung itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Paka berkata, pelajar berkenaan akan belajar tiga bahasa termasuk bahasa Mandarin, Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris di samping menghafaz Al-Quran sebanyak 30 juzu.

"Pengambilan pelajar pusat itu bermula dari tingkatan satu. Selepas pelajar berkenaan lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam jangka masa lima tahun, mereka akan di hantar ke China untuk belajar di institusi yang sesuai dengan pembiayaan dari kerajaan negeri," katanya.

Menurut beliau cara pembelajaran di sekolah itu ialah antara lain di sebelah pagi mereka belajar bahasa terlebih dahulu dan di sebelah petang mereka belajar menghafaz al-Quran dari guru-guru yang terlatih dalam bidang-bidang ilmu berkenaan.

"Ini adalah usaha kerajaan negeri untuk menggabungjalinkan pendidikan konvensional dengan pendidikan Islam bagi menunjukkan bahawa kerajaan tidak mengabaikan sistem pendidikan sedia ada," jelasnya lagi.

Rujukan : https://www.teganukita.net/2019/01/terengganu-bakal-tubuh-pusat-tahfiz.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...