Terengganu Bakal Terima Royalti RM1.5 Bilion

| |
Menteri Besar bergambar bersama barisan AJK Kawat sempena kunjungan hormat ke Pejabat Menteri Besar, Wisma Darul Iman.

KUALA TERENGGANU, 22 Januari - Kerajaan Terengganu dijangka akan menerima wang royalti atau wang tunai petroleum (WTP) berjumlah sekurang-kurangnya RM1.5 bilion pada Mac dan September ini.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, berita menggembirakan seluruh rakyat Terengganu itu membuktikan Kerajaan Pusat mengiktiraf hak negeri ini untuk menerima tuntutan sepertimana perjanjian agihan royalti minyak yang ditandatangani antara kedua belah pihak pada 1974.

Katanya, perkembangan positif mengenai WTP  yang dibayar dua kali setahun sepertimana amalan biasa itu, berdasarkan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang mengunjungi Terengganu pada awal bulan ini.

 “Selepas kunjungan Perdana Menteri, kita terima makluman daripada Kementerian Kewangan bahawa keputusan dasar telah dibuat oleh kabinet, di mana wang (royalti) (Dana Khas Persekutuan) petroleum yang  kini menggunakan istilah wang tunai petroleum akan dibayar terus kepada kerajaan negeri. 

“Itu perkembangan yang sangat menarik dan positif kepada kita dan kita mengucapkan terima kasih kepada Pusat kerana telah mengiktiraf bahawa Terengganu berhak menerima wang tunai pertroleum sebagaimana perjanjian (agihan royalti) pada 1974,”katanya. 

Beliau berkata demikian ketika sidang media sejurus menerima kunjungan hormat daripada Ahli Jawatankuasa Kelab Media Wartawan Terengganu (Kawat) kepada Menteri Besar, di Pejabat Menteri Besar, di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. 


Dr. Samsuri berkata,  jumlah sepatutnya diterima belum dimuktamadkan bagaimanapun berdasarkan pengiraan kasar kerajaan negeri dengan mengambil kira harga minyak semasa, jumlah tuntutan sekurang-kurangnya antara RM1.5 bilion hingga RM1.6 bilion setahun.

Bagaimanapun, Menteri Besar menjelaskan, Kementerian Kewangan pada masa yang sama juga meminta kerajaan negeri supaya menjelaskan hutang kepada Kerajaan Pusat menerusi pemotongan WTP  pada kadar yang tinggi sekali gus ianya memberi kesan ketika Bajet 2019 negeri yang dibentangkan pada akhir November tahun lalu itu, sedang berjalan.

Susulan itu, Menteri Besar akan menemui Perdana Menteri dalam tempoh terdekat untuk menyampaikan surat rayuan supaya pemotongan hutang menerusi WTP distruktur semula dan dibuat secara berkala pada jumlah yang tidak membebankan kerajaan negeri.

“Kita amat berharap supaya ia diberi pertimbangan serius oleh Pusat terutama Kementerian Kewangan.

"Kerajaan negeri juga sangat komited dan telus dalam perbelanjaan, kalau isu kebimbangan perbelanjaan itu digunakan untuk tujuan yang tidak patut, kami sangat terbuka untuk diaudit dalam apa jua cara dan saya rasa ianya tidak perlu ada kebimbangan,” katanya.

Pada masa yang sama juga, beliau mahu Kerajaan Pusat menimbang seadil-adilnya permohonan penstrukturan semula pembayaran hutang itu kepada Terengganu dan juga Kelantan yang merupakan antara negeri merekodkan hutang terendah.

Bagaimanapun menurut Dr. Samsuri, negeri lain yang berhutang sehingga tiga kali ganda lebih tinggi tidak pula menerima tekanan (menjelaskan hutang) sepertimana Terengganu.

Malah, menurutnya lagi, mengikut rekod juga, Terengganu tidak pernah gagal membayar hutang kepada Pusat pada setiap tahun walaupun adakalanya pembayaran dalam jumlah yang kecil.

Untuk rekod, sehingga kini, Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan sudah membuat pembayaran secara terus sebanyak tiga kali hasil royaliti minyak berjumlah RM450 juta.

Rujukan : https://www.teganukita.net/2019/01/terengganu-bakal-terima-royalti-rm15.html

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...