SRIDI Jadi Pilihan Ibu Bapa

| |
Antara tetamu yang hadir di Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Dungun,di Masjid An-Naim Sura Jetty Dungun.


Oleh: Amiirullah Mansor 


DUNGUN, 14 Januari - Langkah kerajaan negeri menubuhkan Sekolah Rendah Islam Darul Iman (SRIDI) disambut baik ramai ibu bapa apabila pusat pendidikan itu kini menjadi pilihan utama untuk menempatkan anak masing-masing di SRIDI yang berdekatan.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat berkata, respon baik masyarakat terhadap pendidikan berasaskan agama menyebabkan penempatan pelajar di sekolah itu melebihi had yang sepatutnya.


"Ini menggambarkan 'signal' bahawa masyarakat hari ini ingin pendidikan Islam yang lebih baik dan sistematik.

"Justeru itu, masyarakat juga ingin menjadikan al-Quran bukan sekadar dibaca tetapi dipraktikkan dalam kehidupan," katanya ketika berucap sempena perasmian Majlis Tilawah Al- Quran Peringkat Daerah Dungun di Masjid An-Naim Sura Jetty Dungun, di sini, kelmarin.

Satiful berkata, pada tahun ini, terdapat enam sekolah (SRIDI) dibangunkan sebagai permulaan dan akan diikuti dengan yang lainnya bagi melunaskan janji dalam manifesto PAS Terengganu yang akan mewujudkan sekolah berkenaan di seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN).


"Sebagaimana janji manifesto kerajaan negeri, 32 sekolah bagi 32 DUN termasuk sekolah rendah dan menengah akan dibuka pada tahun hadapan. Tahun ini, kita sedang baik pulih pembangunan dan infrastruktur," katanya.

Menurut beliau lagi, Terengganu memberi komitmen yang tinggi ke arah melaksanakan syariat Islam walaupun terdapat suara sumbang pendokong fahaman liberal pro-barat yang beranggapan ajaran al-Quran terkebelakang.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, peringatan Allah Taala juga jelas bahawa sesiapa yang meninggalkan al-Quran, maka kehidupannya di atas bumi ini dalam kehinaan.

Beliau juga berharap masyarakat dapat menerima suntikan rohani daripada peserta qari dan mendapat limpah rahmat dari Allah SWT ke seluruh negeri ini.


Rujukan : https://www.teganukita.net/2019/01/sridi-jadi-pilihan-ibu-bapa.html?m=1&fbclid=IwAR0pvBegte8AReUprpXzpx2ZFReABwlbSx4Wea4i2jm9PXAaQRWOyJSQ1Rc

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...