RM1.4 Juta Untuk 600 Persatuan Belia Terengganu - MB

| |

KEMAMAN, 28 Jun - Kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM1.4 juta untuk Tabung Pembangunan Belia Terengganu (TPBT) dengan memberi manfaat kepada 600 persatuan belia pelbagai peringkat.

Demikian diumumkan Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika merasmikan Sambutan Hari Belia Negara Peringkat Negeri Terengganu di Dewan Berlian Utama, Majlis Perbandaran Kemaman, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah dan  Timbalannya, Hishamuddin Abdul Karim.

Sempena hari berkenaan, Dr Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Persatuan Belia Sepakat Kampung Tebakang Marang kerana telah merangkul Anugerah Perdana Belia Negara Peringkat Kebangsaan bagi kategori Pertubuhan Belia Tahun 2018.

"Ucapan tahniah dan syabas juga kepada adik Dailami Daniel Mat Nor dari daerah Hulu Terengganu kerana memenangi Anugerah Khas Kategori Emas Remaja Perdana Peringkat Kebangsaan.
"Kejayaan ini membuktikan bahawa persatuan belia merupakan satu organisasi yang diberi sokongan oleh kerajaan," jelasnya.

Bagaimanapun, beliau berharap agar persatuan belia terus memainkan peranan mereka sebagai sebuah organisasi yang menjadi penyambung antara golongan belia dan masyarakat.

"Ini bertujuan untuk menghasilkan program-program yang berkualiti dan berimpak tinggi kepada belia," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, katanya, dalam usaha membentuk keperibadian diri yang luhur dan terpuji, golongan belia harus mendekatkan diri, mempelajari dan memahami al-Quran dan as-Sunnah serta melibatkan diri dengan kerja-kerja kebajikan, kemasyarakatan dan kesukarelawan.

"Malah Profesor Yusof Al-Qaradhawi menyatakan pemuda pemudi Islam yang berhemah tinggi adalah mereka yang membaca al-Quran dan mempelajari Sunnah al-Nabawiyyah.

"Jelasnya, melalui pendekatan diri kepada kitab suci al-Quran, golongan belia akan dapat membentuk sifat mementingkan ilmu pengetahuan, suka beramal dan hidup berjemaah yang kukuh," tambah beliau.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/06/rm14-juta-untuk-600-persatuan-belia.html?fbclid=IwAR1DRLyxK2iSsU9EJl4H7hjUyI7_MuTkjBt7hs8bbs9sYtzYG1bSGO5fLEI

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...