SAYA TAK NAK JADI AHLI VETERAN PAS!

| |
Baru-baru ni dalam satu majlis kenduri kahwin, saya bertemu dengan salah seorang tokoh lama dalam memperjuangkan Parti PAS kawasan Dungun ini. Beliau pernah memegang setiausaha Pemuda Pas era 60an -70an. Umurnya sudah nak mencecah 80 tahun. Pernah jatuh sakit dan alhamdulillah kini agak pulih kembali. Apabila saya bertanya khabar kepada beliau sambil menceritakan era perjuangan beliau kepada orang-orang muda yang mungkin tidak mengenali beliau… nampaknya beliau menjadi semangat kembali. Seolah-olah darah anak muda dihadapan beliau itu menyerapi kerangka tubuh yang agak usang. Beliau lantas berkata: “ ana tidak sudi dikategorikan veteran PAS, ana taknak orang bagi hadiah kepada ana sebagai ahli kelab veteran!”. Segera saya bertanya: “Kenapa?. Takkan tak sudi?”. “Bukan. Tapi ana bekerja didalam PAS, tidak ada masa muda atau masa veteran. Ana akan bekerja sampai mati. Mana ada istilah veteran dalam perjuangan!”.

Fuhhh.. Lihatlah saudara ku sekelian. Darah orang berjuang dijalan Allah ini manis. Sentiasa segar mengalir bagi mengabdikan jasad kepada perjuangan Tuhannya sehingga lupus dari bumi yang fana’ ini. Ia menjadi pembakar semangat untuk kita generasi pelapis untuk rasa malu dengan daya tahan yang dimiliki oleh mereka. Perjuangan yang penuh dengan onak dan duri.. tetapi ikhlas tidak mengharapkan apa-apa walau sekelumit tetapi hanya mengharapkan kemenangan Islam semata-mata mencari keredhaan Allah Rabbul jalil. Memang berkesan tarbiyyah mereka terdahulu. Mereka semua ini pernah mendapat sentuhan Tuan Guru Haji Zainal Abidin yang merupakan pengasas Pas di Terengganu yang berpusat di Pondoknya Madrasah az-Zainiyyah di Sura Gate pada 6 Julai 1956 dan beliau dilantik menjadi Yang Dipertua Pas kawasan Dungun yang pertama pada tahun 1956 dan melepaskan jawatannya pada tahun 1971 kerana keuzuran dan istiqamah dengan Pas sehingga beliau kembali ke rahmatullah pada 20 Ramadhan 1976.

menemani Tuan Guru Presiden menziarahi Ust Hj Wan abas di tebing Tembah

Antara pengasas Pas yang hadir di Madrasah az-Zainiyyah dalam penubuhan Pas di Terengganu pada tahun 1956 itu yang masih hidup adalah Ustaz Hj Wan Abas yang kini tinggal di tebing Tembah dan merupakan antara tokoh penting dalam mengembangkan Pas di Dungun dan Paka. Beliau juga sebagai murid kepada Tok Guru Hj. Bidin. Sebagai guru agama, beliau bukan sekadar menyampai dan menyebarkan pengajaran Islam kepada masyarakat setempat bahkan mentarbiyyah masyarakat supaya bekerja dalam amal jamaie bersama Parti Islam Pas. Walaupun kini beliau menghidapi berbagai penyakit dan uzur, apatah lagi faktor umur tetapi semangat perjuangan tidak pernah luntur. Semenjak kecil lagi saya mendapat ilmu daripada kuliah-kuliah beliau dan sangat dikenali kesungguhan dalam berdakwah sehingga seluruh Paka termasuk Felda dan Ketengah termasuk kawasan ulu Dungun. Setiap kali kalau Ustaz di ziarahi nescaya beliau sentiasa menceritakan perit getir Pas dalam era perjuangan awalnya. Berkat kesabaran, Pas berkembang khususnya di cawangan tebing Tembah bersama rakan-rakan dan keluarga beserta anak dan menantunya.

ketika menziarahi Hj wahab Yunus


Ketika menziarahi Hj Wahab Yunus yang diserang penyakit ahmar baru-baru ini, meskipun tubuh beliau lumpuh separuh badan tetapi tidak melumpuhkan ingatan serta daya juangnya. Minatnya dalam membaca, menulis apatah lagi kalau menceritakan tentang sejarah perjuangan… nescaya wajahnya menjadi ceria. "Semoga panjang umur, banyak lagi ana nak tulis sejarah Pas ni. blum selesai lagi" ucapnya. Terlupa keadaan yang menimpanya dan seolah kembali muda semula. Apatah lagi sebagai Pengerusi Persatuan Sejarah Dungun sudah pasti beliau memiliki pelbagai nostalgia penuh liku perjuangan. Beliau selaku anak saudara kepada Tok Guru Hj Bidin dan pelajar di Pondok Sura Gate adalah orang yang menyusun kerusi semasa program penubuhan Pas 1956 itu. Akhirnya beliau pernah menjadi Adun Ulu Dungun pada 1964 hingga 1969, Ahli Parlimen Dungun (1969-1978); Setiausaha Parlimen Kementerian Kewangan. Beliau yang menyertai PAS pada 9 Ogos 1956 pernah memegang jawatan Setiausaha Dewan Pemuda PAS(DPP) Kawasan Dungun (1957-1960), Ketua DPP Dungun (1960-1961), Setiausaha PAS Kawasan Dungun (1960-1975), Yang Dipertua PAS Kawasan Dungun (1979-1983), Ketua DPP Negeri Terengganu (1965-1969), Bendahari, Setiausaha dan Timbalan Pesuruhjaya PAS Terengganu (1968-1975), Pesuruhjaya PAS Terengganu (1975-1982), Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat (1973-1975), Bendahari Agung PAS (1977-1979) danAJK PAS Pusat (1979-1983). Mutakhir beliau sempat bersama menubuhkan SRABZA (Sek. Ren. Agama Bersepadu Zainal Abidin) di Dungun bersama Sri Darul Bayan dalam memberi khidmat pendidikan alternatif Islam kepada masyarakat. Semoga Allah menjadikan semua amalnya sebagai ibadah, InsyaAllah.

Pernah mengunjungi Hj Wahab untuk bertanyakan sejarah Pas Dungun beberapa tahun lalu


Salah satu cara dalam meneruskan perjuangan dan meningkatkan daya istiqamah kita adalah melalui ziarah pimpinan dan ulama. Kisah-kisah getir mereka dalam perjuangan yang kita dengar secara langsung dari lidah mereka sendiri mempunyai terapi perjuangan yang tersendiri. Ia membangkitkan emosi, spiritual, mental serta roh kita untuk turut sama menjejaki denai yang dilalui oleh mereka bagi mengecapi sedikit kemanisan perjuangan yang diperolehi mereka.

Teringat buku catatan Mujahid Umar Tilmisani, pimpinan Ikhwan muslimin Mesir yang bertajuk “ Baina Hikmatus Suyukh wa hamasatus Syabab” (Antara Hikmah orang Veteran dan Semangan Generasi Muda) yang menyarankan gabungan mantap antara ilmu dan pengalaman pimpinan dan pejuang orang lama dengan dan semangat dan fizikal kental generasi pelapis pemuda dewasa kini. Selalulah menziarahi mereka untuk mengutip mutiara hikmah sebelum ianya hilang dari pandangan.

2 comments:

Kamis - NG Trading said...

salam ustaz, tahniah, sbb dh reti berblog sndiri, saya org paka jgk, dulu pernah ikut kuliah2 ustaz di masjid pinang merah.

tk

Saiful said...

demi untuk perjuangan dan semoga dakwah tersebar luas. i'allah.semoga disokong

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...