Terengganu Sasar Dana Raya Bagi Penerima Yang Layak - MB

| | 0 comments

Dr. Samsuri mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk yang hadir.
KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kerajaan Terengganu sedang melaksanakan pertimbangan baharu dana raya dengan menyasarkan kepada rakyat yang benar-benar layak menerimanya.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri masih dalam proses menentukan bentuk dan cara penyampaian sumbangan tersebut.

“Dana raya akan diberikan, cuma kita masih menilai kumpulan sasar yang benar-benar layak dan ia akan dimaklumkan semula nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin, di sini semalam.
Dana Raya akan diberikan kepada yang benar-benar layak - Dr. Samsuri.

Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk diagihkan oleh Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) selama tiga hari kepada masyarakat sekitar.

Kerajaan negeri turut menaja sebanyak 2,000 bekas bubur setiap hari sepanjang bulan Ramadan untuk masjid negeri itu.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr. Wan Ahmad Rudirman bin Wan Razak serta pegawai-pegawai eksekutif anak-anak syarikatnya.

Dr. Samsuri yang hadir bersama isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman turut menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Terengganu yang sentiasa memberikan pandangan positif dan menyokong usaha kerajaan negeri.

“Terima kasih kepada rakyat yang sentiasa memberikan pandangan positif mahupun kritikan yang sangat membantu kerajaan.

“Saya turut berharap rakyat bersabar dengan usaha-usaha dan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.



Sumber : https://www.teganukita.net/2019/05/terengganu-sasar-dana-raya-bagi.html?fbclid=IwAR1du42DPtr2RTemX9plH14G3OTwlAAap96W3OykL2zUzQGxWwiwl6rWWQI

Read More !

Kerajaan Arab Saudi Tawar Biasiswa Penuh Untuk Anak Terengganu - MB

| | 0 comments


KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kerajaan Arab Saudi menawarkan  biasiswa penuh  kepada anak Terengganu bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Oil & Gas di lapan universiti awam negara itu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran itu diberikan dari hasil pertemuan Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat dengan pihak kedutaan Arab Saudi dalam bidang kejuruteraan terutamanya  Oil & Gas.

“Walaupun masing-masing dah ada buat pemilihan, dah pergi pun ada, tetapi masih ada ruang  dan peluang kerana industri Oil & Gas sangat besar di Arab Saudi dan mereka ada peluang untuk belajar di sana. Jika ada ruang memang elok sangat pelajar kita ke sana untuk menyambung pengajian dalam industri besar ini.

“Tawaran ini diberikan kepada 100 orang anak Terengganu dan kini cuma ada 40 pemohon, itu pun dalam bidang agama, jadi masih ada 60 lagi kekosongan dan peluang untuk memohon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Tahun 2019 (Kali Ke-40) dan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 di dewan besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin dannPengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.

Seramai 493 penerima anugerah  menerima insentif sebanyak RM248,700 sebagai penghargaan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu dalam menghargai dan mengiktiraf setiap usaha pelajar bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, dua pelajar telah dipilih untuk menerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu.

Amirah Husna dan Muhammad Hilman.
Amirah Husna Abdul Kahar dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) dan Muhammad Hilman Nor Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz YT Kuala Terengganu menerima wang tunai RM4,000, sehelai blazer, satu unit komputer tablet dan sijil penghargaan.

Anugerah Khas Yayasan Terengganu pula menjadi milik Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Abang, Dungun bagi SPM dan Nur Hazwani Hussain dari SMK Nasiruddin Shah, Besut dalam kategori STPM.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000, sehelai blazer, satu unit komputer tablet dan sijil penghargaan.

Bagi Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2018 diberikan kepada Nur Syahidah Hassan dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) dan Muhammad Shahidan Wahab (SMK Bukit Sawa) manakala Pelajar Terbaik STAM 2018 ialah Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi dan Nik Karimah Nik Abdul Ghafar.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/05/kerajaan-arab-saudi-tawar-biasiswa.html?m=1&fbclid=IwAR0HOXxFFfBq9n845vIf6vjTImvT-pCgfTzpkpPYLyuD_8u_C4RyZFH8O3o

Read More !

Kakitangan WDI Tidak Jadi Berpindah Ke Bangunan Baharu

| | 0 comments



KUALA TERENGGANU, 8 Mei- Keputusan kerajaan negeri untuk tidak memindahkan kakitangan keBangunan Wisma Darul Iman (WDI) yang baharu di Kampung Tanjung, dekat sini, mampu menjimatkan kos antara RM30 juta hingga RM40 juta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, berkata bangunan WDI setinggi 30 tingkat yang hampir 90 peratus siap itu pada awal cadangan pembinaan adalah Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) membabitkan kos pembinaan RM180 juta.

Katanya, disebabkan pertukaran Menara MBKT kepada Bangunan WDI, kos sedia ada terpaksa ditambah sehingga nilaian mencecah kos RM210 juta.

“Memandangkan nilaian itu terlalu tinggi, kerajaan negeri dengan persetujuan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) mengekalkan cadangan asal iaitu kekal kepada Menara MBKT yang dijangka siap pertengahan tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan  MMKN, di WDI, hari ini.

Dalam laporan teganukita pada 26 Disember tahun lalu, pembinaan projek bangunan Wisma Darul Iman (WDI) yang baharu di Kampung Tanjung, dekat sini, berketinggian 30 tingkat membabitkan kos RM210 juta kini lebih 80 peratus siap.


Projek di kawasan seluas 2.2 hektar dan dimulakan pada pertengahan 2017 itu, pada awalnya dijangka siap pada Mei tahun depan, bagaimanapun terpaksa dilanjutkan tempoh sehingga Jun 2020 berikutan berdepan masalah kewangan dan beberapa teknikal.

Pada masa sama, kelewatan itu turut berpunca daripada pertukaran projek Menara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) kepada bangunan WDI dengan persetujuan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN)  pada 24 Mei tahun lalu.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/05/kakitangan-wdi-tidak-jadi-berpindah-ke.html?fbclid=IwAR3d1MUMNrjqiPXpWG3MooVQWTGm8eYSJbTvjur6PeJGnN8_FUwNMOSIzgY

Read More !

Struktur Semula Anak Syarikat, Mampu Jimat RM150 Juta - MB Terengganu

| | 0 comments


KUALA TERENGGANU, 9 Mei - Penstrukturan semula 50 anak syarikat kerajaan negeri (GLC) yang sebelum ini dikenal pasti tidak aktif dalam aktiviti perniagaan dijangka mampu menjimatkan sumber kewangan sehingga RM150 juta.

Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, penjimatan itu diperoleh hasil penstrukturan semula anak syarikat kerajaan melalui penutupan dan penggabungan, namun syarikat yang masih berpotensi masih terus beroperasi.

“Sejak beberapa tahun lalu sebelum kita ambil alih pentadbiran, kerajaan terpaksa suntik RM150 juta setahun kepada anak-anak syarikat kerajaan negeri. Bayangkan, jika kita boleh kurangkan sehingga angka 'zero', kita boleh jimat sehingga RM150 juta.

“Wang itu pula kita boleh salurkan untuk kegunaan lain seperti pendidikan, kesihatan, kebajikan dan apa jua yang boleh diberikan kepada rakyat,” katanya pada sidang media di Wisma Darul Iman, di sini semalam.

Menyifatkan ia sebagai antara cabaran yang perlu ditempuh selepas memerintah Terengganu, katanya, sekiranya anak-anak syarikat yang tidak aktif ini tidak ditutup, ia tidak dapat membantu menyelamatkan wang kerajaan.

“Apabila kita ambil alih kerajaan, kita mengenal pasti kelemahan-kelemahan dan baiki struktur dan cara pengurusan kerajaan. Kita kenal pasti projek-projek yang sebelum ini memberi kesan yang besar walaupun mungkin sesetengah orang tak nampak.

“Dengan mengenal pasti kelemahan ini, kita dapat bekerja secara lebih efisien tanpa terpaksa keluarkan duit yang banyak untuk menyelamatkan atau untuk tutup kelemahan-kelemahan yang berlaku sebelum ini,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Samsuri memaklumkan lebih 50 anak syarikat milik Kerajaan Terengganu yang tidak lagi aktif dalam sebarang aktiviti perniagaan akan ditutup dalam usaha menjimatkan perbelanjaan.

“Kebanyakan syarikat berkenaan adalah anak syarikat di bawah Terengganu Inc dan menjalankan perniagaan yang hampir serupa antara satu sama lain menyebabkan berlaku persaingan yang tidak sihat,” katanya.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/05/mampu-jimat-rm150-juta-struktur-semula.html?fbclid=IwAR0MoX_Lacr_AzQbcX6kClBwmjE3wEBSjbrsWKKd1zUmTCFxXMeIDa0dDVM

Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...