Kerajaan Arab Saudi Tawar Biasiswa Penuh Untuk Anak Terengganu - MB

| |

KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kerajaan Arab Saudi menawarkan  biasiswa penuh  kepada anak Terengganu bagi melanjutkan pengajian dalam bidang Oil & Gas di lapan universiti awam negara itu.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, tawaran itu diberikan dari hasil pertemuan Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat dengan pihak kedutaan Arab Saudi dalam bidang kejuruteraan terutamanya  Oil & Gas.

“Walaupun masing-masing dah ada buat pemilihan, dah pergi pun ada, tetapi masih ada ruang  dan peluang kerana industri Oil & Gas sangat besar di Arab Saudi dan mereka ada peluang untuk belajar di sana. Jika ada ruang memang elok sangat pelajar kita ke sana untuk menyambung pengajian dalam industri besar ini.

“Tawaran ini diberikan kepada 100 orang anak Terengganu dan kini cuma ada 40 pemohon, itu pun dalam bidang agama, jadi masih ada 60 lagi kekosongan dan peluang untuk memohon,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu Tahun 2019 (Kali Ke-40) dan hadiah kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) & Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 di dewan besar Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya, Pengerusi Jawatankuasa Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat, Pengarah Pendidikan Negeri, Shafruddin Ali Hussin dannPengarah Yayasan Terengganu, Ishamudin Hashim.

Seramai 493 penerima anugerah  menerima insentif sebanyak RM248,700 sebagai penghargaan kerajaan negeri melalui Yayasan Terengganu dalam menghargai dan mengiktiraf setiap usaha pelajar bagi meraih kecemerlangan dalam bidang akademik.

Sementara itu, dalam majlis yang sama, dua pelajar telah dipilih untuk menerima Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu.

Amirah Husna dan Muhammad Hilman.
Amirah Husna Abdul Kahar dari Sekolah Menengah Sains Sultan Mahmud (SESMA) dan Muhammad Hilman Nor Azmi dari Sekolah Menengah Imtiaz YT Kuala Terengganu menerima wang tunai RM4,000, sehelai blazer, satu unit komputer tablet dan sijil penghargaan.

Anugerah Khas Yayasan Terengganu pula menjadi milik Ahmad Shahir Safwan Ahmad Sabri dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Abang, Dungun bagi SPM dan Nur Hazwani Hussain dari SMK Nasiruddin Shah, Besut dalam kategori STPM.

Masing-masing membawa pulang wang tunai RM2,000, sehelai blazer, satu unit komputer tablet dan sijil penghargaan.

Bagi Anugerah Pelajar Terbaik STPM 2018 diberikan kepada Nur Syahidah Hassan dari Sekolah Menengah Agama (Atas) Sultan Zainal Abidin (SMAASZA) dan Muhammad Shahidan Wahab (SMK Bukit Sawa) manakala Pelajar Terbaik STAM 2018 ialah Muhammad Faidhu Rahman Kamalruazmi dan Nik Karimah Nik Abdul Ghafar.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/05/kerajaan-arab-saudi-tawar-biasiswa.html?m=1&fbclid=IwAR0HOXxFFfBq9n845vIf6vjTImvT-pCgfTzpkpPYLyuD_8u_C4RyZFH8O3o

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...