KUALA TERENGGANU - Kerajaan disaran untuk kembali kepada hukum Islam, iaitu syarak dalam pelaksanaan hukuman mati, dan bukannya memansuhkan hukuman mati mandatori.
Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Terengganu, Satiful Bahri Mamat berkata, pemansuhan hukuman mati dan digantikan dengan hukuman penjara bukanlah penyelesaian yang terbaik dalam mencegah jenayah.
“Kalau mengikut syarak, hukuman membunuh misalnya, dibalas dengan bunuh (nyawa dibalas nyawa. Sebab itu dalam Islam, ada hukuman bunuh yang diharuskan syarak untuk menumpahkan darahnya, antaranya adalah kerana hukuman melibatkan mati.
“Jadi kalau dia bunuh sehingga mati orang lain, tentunya anak-anak mangsa, keluarga atau kabilahnya, negeri atau negara nak balas balik. Kecuali dengan balasan balik, barulah akan terhentilah perbalahan atau pembunuhan berterusan.
“Kalau tidak, orang akan mengambil tindakan sendiri. Sebab itu, sebelum melaksanakan pemansuhan itu, perlu kajian sedalam-dalamnya pro dan kontra cadangan itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai cadangan pemansuhan hukuman mati mandatori kepada penjara minimum 30 tahun bagi menggantikan hukuman berkenaan.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Liew Vui Keong sebelum ini dipetik berkata, selain Seksyen 39 (B) Akta Dadah Berbahaya (ADB) yang mana pesalah dikenakan hukuman mati mandatori, terdapat 17 kesalahan jenayah lain yang membawa kepada hukuman sama.
Ia termasuk melancarkan serangan terhadap Yang di-Pertuan Agong dan raja, keganasan, pembunuhan, cubaan untuk membunuh ketika menjalani penjara seumur hidup, pembunuhan mangsa ketika diculik, memiliki dan menggunakan senjata api serta merogol hingga menyebabkan kematian dan merogol kanak-kanak.
Mengulas lanjut, Satiful berkata, kerajaan juga terpaksa mengeluarkan kos tambahan bagi menanggung pesalah-pesalah berkenaan.
“Berapa banyak pula belanja yang kita kena keluarkan, sedangkan mereka tidak layak ditanggung. Tapi, kos itu kita pula yang akan tanggung,” katanya.
Rujukan: http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/terengganu/mansuh-hukuman-mati-kembali-kepada-hukum-islam-
No comments:
Post a Comment