MPKK MUSLIMAT PAKA SEDIA KHIDMAT TELUS

| |

Oleh: Muhd Lukman

DUNGUN - Ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) muslimat berperanan penting dalam menggerakkan aktiviti di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Ustaz Satiful Bahri Mamat berkata, mereka perlu menyampaikan maklumat dengan tepat kepada Pejabat DUN dalam melaksanakan agenda kerajaan negeri dan membantu rakyat khususnya di DUN Paka.

"Saya memberikan kepercayaan penuh kepada semua ahli MPKK serta mengharapkan kerjasama daripada semua pihak untuk membantu kerajaan menyalurkan bantuan kepada rakyat yang memerlukan.

"Kita tahu muslimat ini mempunyai sifat lemah lembut, mudah menyantuni masyarakat setempat.

"Jadi, muslimat perlu sama-sama turun padang untuk mendengar aduan, rungutan daripada masyarakat setempat untuk memudahkankan kita menyalurkan bantuan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Pertemuan Muhibbah Bersama MPKK Muslimat DUN Paka di Bilik Seminar Masjid Pinang Merah, semalam (13 Ogos).



Ustaz Satiful Bahri Mamat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka mengharapkan golongan yang berkelayakan mendapat semua bantuan daripada kerajaan.


"Muslimat perlu menjalankan tugas yang diberikan dengan adil dan telus tanpa mengira parti politik kerana semua rakyat berhak mendapat bantuan yang sepatutnya dari kerajaan.


"Kita tidak boleh mengamalkan sikap pilih kasih terhadap rakyat," tegasnya.

Menurutnya, muslimat juga perlu melaksanakan program-program yang berfaedah dan bermanfaat kepada masyarakat setempat.

Sementara itu, Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Paka, Rafidah Ramli berkata, setiap permasalahan setempat mestilah melalui MPKK dan disalurkan kepada pejabat DUN.

"Kita perlu memastikan segala maklumat yang diperolehi tepat dan telus.

"Kita juga perlu cakna dengan masalah masyarakat setempat, ujarnya.

Turut hadir, Penyelia i-MiTS Parlimen Dungun, Ustaz Jamaludin Jusoh, Timbalan Pengerusi Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (KHAIRUNNISA'), Sabariah Ilyas, Ahli Jawatankuasa KHAIRUNNISA' serta wakil-wakil muslimat MPKK DUN Paka.

Rujukan    :http://www.teganukita.net/2018/08/mpkk-muslimat-paka-sedia-khidmat-telus.html


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...