PITAS 2030 Dalam Rancangan Struktur Terengganu 2050 - MB

| | 0 comments


KUALA TERENGGANU, 12 Mei - Kerajaan negeri akan mengambil kira dasar Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030 dalam pelaksanaan Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 yang sedang dirangka ketika ini.

Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, model polisi dan pentadbiran jangka panjang bagi menjadikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera menjelang 2030 itu akan diperincikan bagi membolehkan peranannya diharmonikan dengan Rancangan Struktur tersebut.

Katanya, selain pandangan rakyat, maklum balas dan perancangan pihak berkepentingan termasuk Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) dan Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) menerusi Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) turut diberi perhatian oleh kerajaan negeri.

“Pandangan itu akan diperincikan, diperhalusi dan diambil kira dalam menyediakan Rancangan Struktur sebenar.

“Yang penting adalah kita mendapat pandangan daripada rakyat dan dalam masa sama maklum balas serta perancangan daripada pihak lain seperti ECER dan MRL termasuk dasar serta falsafah kerajaan negeri melalui PITAS 2030 yang akan turut diambil kira dalam memastikan rancangan ini bertepatan dengan apa yang diperlukan kerajaan negeri,” ujarnya.


Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Publisiti & Penyertaan Awam dan Laporan Pemeriksaan Draf Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050 (Kajian Semula) di Dewan Besar, Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir, Ketua Pengarah PLANMalaysia (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa), Dato’ TPr. Rokibah Abdul Latif, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri, Yahaya Ali, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya, Penasihat Undang-Undang negeri, Dato’ Azhar Abdul Hamid, Pegawai Kewangan Negeri, Mohd. Zahari Md. Azahar dan Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak.

Menurut Ahmad Samsuri, semua pihak yang berkepentingan diberi peluang untuk meneliti, menyemak dan mengemukakan maklum balas terhadap Draf Rancangan Struktur itu dalam tempoh empat minggu bermula awal bulan ini hingga 2 Jun depan.

Katanya, semakan boleh dibuat di 10 lokasi iaitu di Pejabat PLANMalaysia (Tingkat 4, Wisma Negeri), lobi utama semua tujuh pihak berkuasa tempatan (PBT), lobi Wisma Darul Iman dan lobi utama Pusat Transformasi Bandar (UTC).

Sementara itu, Rokibah berkata, Rancangan Struktur Negeri Terengganu 2050  dijangka dapat disiapkan pada Oktober depan dan akan sekali lagi dibawa bagi dibentangkan kepada orang awam untuk pandangan dan bantahan.

“Draf ini antara lain mencadangkan konsep dan strategi pembangunan untuk mengukuhkan wilayah di Terengganu. Kita mengetengahkan Kuala Terengganu sebagai zon promosi pembangunan dan akan turut membangunkan bersama wilayah Utara membabitkan Setiu dan Besut di samping Barat (Hulu Terengganu) dan Selatan (Kemaman dan Dungun).

“Kita juga mengenal pasti kawasan yang sesuai atau tidak sesuai untuk dibangunkan dan apakah strategi untuk mengatasi isu termasuk banjir dan lain-lain di samping mengambil kira manfaat projek ECRL yang akan diteruskan bagi membolehkan kita menjana pembangunan di Terengganu,” katanya.

sumber : https://www.teganukita.net/2019/05/pitas-2030-dalam-rancangan-struktur.html?fbclid=IwAR1-P49_c0EMmjL8BBJTj2oFzofBXLnTAZ456xD8dqpYCLi_O06v7txGfj4

Read More !

Muhasabah Setahun Pentadbiran Kerajaan PAS Terengganu - MB

| | 0 comments

Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan kepimpinan kerajaan negeri idam "Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera". Foto - Media MB
Perutusan Setahun Pentadbiran Kerajaan Terengganu

Alhamdulillah, setinggi-tinggi ucapan syukur kita panjatkan ke hadrat Allah SWT, di atas limpah kurniaan-Nya kerajaan Terengganu di bawah pentadbiran yang baharu telah mencapai usia setahun pemerintahannya.

Sudah pasti tahun yang pertama ini pelbagai pengalaman pahit dan manis telah kita kecapi dalam menguruskan negeri. Setidak-tidaknya kita sudah dapat mengenal pasti kekuatan dan kelemahan serta ancaman dan peluang yang ada untuk diambil tindakan sewajarnya pada masa akan datang.

Saya juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pihak bermula daripada pegawai, kakitangan, pimpinan masyarakat, korporat dan seluruh rakyat yang telah memberikan kerjasama yang baik sepanjang setahun pentadbiran ini.

Tahun ini, kita meraikan setahun pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu dalam bulan Ramadan. Sangat bertepatan untuk kita melakukan muhasabah terhadap prestasi diri dan juga prestasi Kerajaan Negeri.

Dalam tempoh ini, prestasi semua agensi mesti dinilai dan dilakukan penambahbaikan untuk memastikan negeri Terengganu terus bergerak menuju matlamatnya “Maju, Berkat dan Sejahtera”.

Marilah kita mengambil semangat daripada saranan Nabi Muhammad SAW untuk menghidupkan bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan kesungguhan, dan seterusnya kita terjemahkan dalam membangunkan negeri Terengganu ini.

Akhirnya, saya mengajak semua pihak untuk sama-sama kita berdoa dan bermunajat dalam bulan yang mulia ini agar kepimpinan negeri dan rakyat diberikan petunjuk oleh Allah SWT untuk menunaikan amanah kepimpinan ini.

“Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera”

Dr Ahmad Samsuri bin Mokhtar
Menteri Besar Terengganu

sumber  : https://www.teganukita.net/2019/05/muhasabah-setahun-pentadbiran-kerajaan.html?fbclid=IwAR3w3LzhHyivx5VyBp2VXo7vIqRYBvABvj_b-xj-wezKBTe_NNB-KsrqyKk

Read More !

Belia Terengganu Persiapkan Diri Maju Ke Hadapan

| | 0 comments

Ustaz Azhar Idrus serikan Program Azam Anak Muda.


MARANG, 9 April - Program Azam Anak Muda menjadi agenda tumpuan belia Terengganu untuk mempersiapkan diri sebagai teras perkembangan dan pembangunan yang dirancang oleh kerajaannegeri.

Pelajar kursus jahitan pakaian wanita Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, Nur Hafifa Mohd Arifin, 19, berkata, program itu memberi banyak input bernilai pada belia bagi merealisasikan hasrat pada diri dan negara.

Katanya, program berbentuk pengisian agama dan pengurusan organisasi bakal melahirkan anak muda yang berkualiti dalam segenap bidang.

“Program yang sangat bermaanfaat untuk kami dan anak-anak muda lain kerana kami dapat ilmu yang baru bagi diri kami sendiri untuk maju ke hadapan.

“Dengan program ini kami lebih bermotivasi untuk mengubah diri kepada yang lebih baik berdasarkan pengisian-pengisian yang diperolehi tadi,” jelasnya.
 
Nur Hafifa Mohd Arifin.
Nurhafifa berkata demikian selepas Program Azam Anak Muda Negeri Terengganu di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Wakaf Tapai, di sini, hari ini.

Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengarah Jabatan Belia & Sukan Terengganu, Mohd Soufi Mohd Ibrahim, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said serta tenaga-tenaga pengajar IKBN seluruh Terengganu dan Institut Latihan Perindustrian (ILP) Kuala Terengganu.

Sementara itu, peserta program yang mengikuti kursus jahitan pakaian lelaki di IKBN tersebut, Nur Syafiq Hisham Zulkarnain, 19, turut berkata, anak muda sememangnya dahagakan ilmu dan motivasi untuk mencapai impian.

Ujarnya, program-program seumpama itu patut diteruskan bagi melahirkan lebih ramai belia berwibawa untuk menjadi pemimpin negara akan datang.

“Program azam anak muda memberi saya lebih motivasi dan semangat untuk terus belajar mencapai impian.

“Program ini patut diteruskan kerana memberi banyak motivasi pada belia untuk memajukan diri masing-masing,” tambah beliau.
 
Nur Syafiq Hisham Zulkarnain.
Program Azam Anak Muda yang dianjurkan oleh Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu itu bertujuan untuk melahirkan pemimpin belia profesional yang inovatif, kreatif, berwibawa dan bersahsiah tinggi.

Program tersebut juga diserikan dengan sesi ceramah khas oleh penceramah bebas, ustaz Azhar Idrus.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/belia-terengganu-persiapkan-diri-maju.html?fbclid=IwAR1hx0EqvUpnJyreXhFtZotY32JXq668egarIXZjQh16m-PPm7ZW_RLWbKw

Read More !

Guna Peluang Lanjut Pengajian Untuk Jadi Yang Terbaik - Satiful Bahri

| | 0 comments

Para pelajar bergambar bersama YB Satiful Bahri selepas tamat Kem Bina Insan.



Oleh : Amiirullah Mansor

KEMAMAN, 10 April - Pelajar yang berpeluang melanjutkan pelajaran ke Mesir perlu berusaha menjadi individu yang terbaik dengan membuat persiapan secukupnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, pelajar perlu memperkasakan pemikiran dan akidah demi memikul tanggungjawab yang besar semasa berada di sana.

“Ini kerana kita akan berhadapan dengan pelbagai ideologi yang boleh mempengaruhi diri.  

"Mereka umpama mata rantai yang akan meneruskan jalan pejuangan ditinggalkan oleh Rasulullah SAW untuk disebarkan kepada masyarakat.

"Inilah bebanan dan tanggungjawab mengangkat martabat ilmu pengetahuan dan risalah yang ditinggalkan untuk kita," katanya ketika berucap merasmikan majlis penutup Kem Bina Insan Kursus Persediaan Ke Mesir 2019, di Darul Iman Training Centre (DITC) Kemaman, di sini, baru-baru ini.
 
Satiful nasihat pelajar gunakan peluang dengan sebaiknya.
Seramai 78 pelajar berjaya melanjutkan pengajian bagi sesi pengambilan akan datang menyertai kem berkenaan.

Dalam majlis tersebut, kerajaan negeri memaklumkan bahawa Pertubuhan Ikatan Lepasan Mahasiswa Mesir (ILMAM) Terengganu akan bertindak sebagai wakil menguruskan persediaan dan menghantar  pelajar berkenaan ke bumi anbia itu.

Kerajaan turut mengumumkan bantuan awal pengajian daripada Yayasan Terengganu (YT) bernilai RM1,000 dan bantuan awal pengajian Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (Maidam) Terengganu sebanyak RM2,000.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka itu turut berpesan, selain pendidikan formal, kemahiran kepimpinan juga perlu dititikberatkan oleh setiap pelajar bagi mewujudkan kemahiran dalam mentadbir sesuatu organisasi.

"Bentuklah karisma dalam diri kita dengan sentiasa bersama jemaah untuk melatih kita menjadi seorang pemimpin yangg akan mewarisi masa hadapan,” katanya.

Beliau juga mengingatkan, hasrat kerajaan negeri untuk meletakkan Islam sebagai dasar utama dalam semua perkara.

"Saya berharap saudara sekalian dapat merealisasikan hasrat kerajaan kerana hanya kita sahaja (kumpulan pelajar dari Terengganu) yang lebih menumpukan ilmu berkaitan agama,” katanya.

Kumpulan pelajar berkenaan akan berangkat ke Mesir pada 19 dan 20 April ini.


Sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/guna-peluang-lanjut-pengajian-untuk.html?fbclid=IwAR1afE1lSHBlNUAlipFRSGAtZQKKGPn0euEtQM2G_QbaZHiMpIoMXsREVg8

Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...