Terengganu Negeri Yang Subur Dengan Ilmu

| | 0 comments

Satiful Bahari Mamat.
KUALA TERENGGANU, 14 April - Terengganu adalah sebuah negeri yang subur dengan ilmu dan institusi pendidikan  sehingga berjaya melahirkan ramai golongan teknokrat dan ilmuan Islam.

Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahari Mamat berkata, sejarah ketinggian ilmu sememangnya tidak asing di bumi Terengganu yang menyaksikan tokoh-tokoh hebat sentiasa mendapat perhatian dunia.

Jelasnya, justeru itu pihaknya sentiasa membuka ruang buat semua warga pendidik sama ada daripada dalam atau luar Terengganu untuk bekerjasama membina generasi rabbani.

“Dan insya-Allah, kita mengalu-alukan, Terengganu kita mengharapkan sebagai negeri yang subur dan sentiasa terbuka kepada dunia pendidikan khususnya yang berteraskan Islam.

“Untuk bersama-sama bekerjasama bagi mencapai matlamat, kita juga membuka peluang bukan hanya kepada anak Terengganu tetapi juga kepada mereka yang di luar Terengganu, untuk kita membina generasi pelapis,” jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Himpunan Pendidik Islam Malaysia (HPIM) 6.0 Peringkat Kebangsaan di Stadium Negeri, di sini semalam.


Tokoh murabbi ummah.
Turut hadir, Mursyidul Am PAS, Dato' Hashim Jasin, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato' Nik Mohd Amar Nik Abdullah, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Maliaman Kassim dan Ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.

Terdahulu, Satiful menyampaikan anugerah kepada beberapa tokoh pendidik yang banyak berjasa dalam institusi keilmuan di negara ini.

Anak jati Terengganu dari Kampung Baru Seberang Takir, Ustaz Mohd Fauzi Mansor dinobatkan sebagai Tokoh Pendidik Kelainan Upaya atas sumbangan beliau dalam dunia pendidikan terutamanya kepada masyarakat kurang penglihatan.

Selain itu, turut menerima anugerah pendidikan dalam himpunan kali ini ialah Dato’ Hashim Jasin yang dianugerahkan Tokoh Murabbi Ummah manakala Dato’ Dr Johari Mat sebagai Tokoh Pendidik, dan Ustaz Azhar Idrus menerima anugerah Tokoh Pendidik Masyarakat Nusantara.

Tidak ketinggalan, Tokoh Pendidik Muslimat dianugerahkan kepada Dr Halimah Ali yang banyak berjasa dalam pendidikan perubatan dan agama.

                                                                                                                       Mohd Fauzi Mansor tokoh pendidik kelainan upaya.
HPIM 6.0 menghimpunkan semua pendidik daripada pelbagai institusi pendidikan seperti Sekolah Agama Rakyat (SAR), tahfiz, madrasah, pondok,
Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) serta sekolah di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/terengganu-negeri-yang-subur-dengan-ilmu.html?fbclid=IwAR1YdcR8TGgutYTCqI5vWsoICxAfhs__XOpIM0jQiTycZ5txz4aQAB9rsfI

Read More !

Sekolah Agama Akan Dipertahankan - Dr. Khairuddin

| | 0 comments


Oleh: Nizam at-Takiri

KUALA NERUS, 15 April - Sekolah-sekolah agama seperti pondok, madrasah, dan lain-lain yang merupakan asas pendidikan utama di Malaysia, khususnya di Semenanjung  akan terus dipertahankan.

Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, asasnya adalah sekolah-sekolah agama ini telah  diwujudkan sebelum zaman penjajahan lagi.

“Dan kita lihat sekolah agama ini wujud sampai ke hari ini dan tidak akan mati usaha dan keringat umat Islam untuk meneruskan usaha membina pusat pendidikan (agama).

"Sekolah-sekolah agama mengajar penulisan, membaca dan menjadi satu pusat ilmu yang rasmi bagi rakyat mendapatkan pendidikan rasmi mereka (pada ketika itu),"katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul Rang Undang-Undang (RUU) Pentadbiran Undang-undang Islam di Sidang Parlimen, baru-baru ini.

Beliau berkata melalui usaha terdahulu, ia telah melahirkan  orang-orang bijak pandai menerusi sekolah-sekolah ini.

"Sehinggalah zaman penjajahan, diwujudkan pula sekolah-sekolah oleh Inggeris yang memindahkan nilai pendidikan itu kepada sekolah-sekolah yang ditubuhkan oleh kerajaan dengan pelbagai sijil yang diberikan," ujarnya.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/sekolah-agama-akan-dipertahankan-dr.html?fbclid=IwAR0LJBgOO5MOlC2vKE_-xQZnX5cf9kvq3Qfm5kM3FBpGv9s4ICUCUd-nBsQ

Read More !

Lesen Motosikal Percuma Akan Diteruskan

| | 0 comments



KUALA TERENGGANU, 15 April- Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera  (LMTS) bakal diteruskan pada tahun depan mengikut keperluan rakyat Terengganu.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah, berkata LMTS yang menjadi janji manifesto PAS memberi manfaat sepenuhnya kepada rakyat yang kurang berkemampuan, malah setiap peserta akan dilindungi insurans sepanjang mengikuti kursus LMTS.

“Untuk tahun hadapan, berapa orang bakal mendapat manfaat dari LMTS, kita belum dapat pastikan sebab belum tahu jumlah termasuk cadangan bajet yang bakal dibentangkan pada tahun 2020.

“Namun pihak kerajaan negeri bersedia memberi keutamaan kepada pemohon-pemohon yang gagal baru-baru ini dengan mengisi semula borang sama ada mengemas kini maklumat yang diperlukan nanti,”katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Lesen Motosikal Terengganu Sejahtera  (LMTS) Tahun 2019 di Batu Buruk Driving Academy (BBDA), Batu Buruk, di sini hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi dan wakil Pejabat Daerah Kuala Terengganu dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).




Tambah beliau, selepas peserta mendapat maklumat berjaya dalam permohonan itu, mereka boleh mendapatkan baucer daripada pejabat daerah masing-masing.

"Kemudian baucer itu dibawa ke institut memandu yang telah ditetapkan oleh kerajaan negeri, melibatkan 12 buah di seluruh Terengganu.

“Sehinggalah mereka lulus ujian berkomputer terlebih dahulu dan selepas mereka mendapat lesen 'L',  mereka boleh pula pergi ke pejabat daerah untuk menuntut baucer yang kedua dan seterusnya perlu menjalani ujian dan latihan sehingga mereka dapat lesen penuh,”katanya lagi.

Ketika diminta mengulas keperluan untuk menambah institut memandu di negeri ini memgikut keperluan, Wan Sukairi berkata pusat latihan memandu sedia ada sudah mencukupi dan hanya akan dinilai semula sekiranya diperlukan pada masa akan datang.




Untuk rekod, LMTS merupakan satu daripada 20 manifesto kerajaan PAS yang dijanjikan untuk  rakyat negeri Terengganu.

Sebanyak 12 janji manifesto tersebut telah dilaksanakan dan sedang berjalan secara berperingkat hanya dalam tempoh hampir setahun pemerintahan PAS di Terengganu.

Jumlah pemohon program tersebut sehingga 1 Mac baru-baru ini seramai ialah 49,193 orang dan daripada jumlah itu, kerajaan negeri memilih hanya 25 ribu orang sahaja pemohon berdasarkan jumlah bajet 2019 yang ditetapkan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu terdahulu.

Daripada jumlah tersebut, Kemaman mencatat permohonan tertinggi iaitu 8,484 permohonan, manakala Hulu Terengganu  merekodkan permohonan paling rendah iaitu sebanyak 4,189 orang.


Sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/lesen-motosikal-percuma-akan-diteruskan.html?fbclid=IwAR1ONQ7u6YU-JKT8TJ0dst6khAKVmQk_vVwE6XABnH6sl9RKEVukeSHTOPM

Read More !

Semua Daerah Di Terengganu Sifar Kemiskinan

| | 0 comments




KUALA TERENGGANU, 15 April- Semua daerah di negeri ini termasuk Hulu Terengganu, Setiu dan Besut berjaya keluar daripada senarai 28 daerah yang dikategorikan sebagai daerah termiskin di negara ini.

Perkara itu diakui Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Tuan Sivarasa K Rasiah yang memberitahu semua daerah di Terengganu sifar kemiskinan.

Menurutnya, rekod terbaharu itu memberi petanda baik kepada ekonomi Terengganu hasil pelbagai inisiatif kerajaan negeri mewujudkan program dan pembangunan untuk menaik taraf pendapatan rakyat.

“Pada masa yang sama, walaupun berlainan fahaman politik dengan Kerajaan Pusat, pihak kami tetap membantu Terengganu merapatkan jurang pendapatan masyarakat luar bandar supaya berjaya keluar daripada garis kemiskinan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Terengganu 2019, di Hotel Tabung Haji, Kuala Nerus, di sini, hari ini.


Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim.

Dr Azman berkata, beliau terharu mendengar penjelasan pihak kementerian  yang menyataka  semua daerah di Terengganu berjaya keluar daripada garis kemiskinan.

Katanya, kerajaan negeri sedaya upaya memberi tumpuan  kepada semua golongan di negeri ini termasuk menumpukan tiga daerah iaitu Hulu Terengganu, Setiu dan Besut  supaya seimbang pembangunan dan kemajuan seperti daerah lain.

“Antaranya  memberi fokus untuk merapatkan jurang antara masyarakat luar bandar dan bandar melalui pelbagai program yang sedang dan bakal dirancang.

“Masyarakat yang tinggal di kawasan Besut, Setiu dan Hulu Terengganu tidak boleh bercita-cita untuk memiliki daerah seperti Kemaman yang maju dengan penglibatan pelbagai industri petroleum dan gas serta Kuala Terengganu yang mempunyai pusat pentadbiran kerajaan,”katanya.


Menurutnya, ini kerana tiga daerah itu memiliki kedudukan, bentuk geografi dan kepadatan penduduk yang berbeza untuk membina pelbagai kemudahan seperti lapangan terbang dan pusat pengajian tinggi.


“Bagaimanapun  kerajaan negeri sentiasa bersikap terbuka dan mengambil cakna perihal penduduk di tiga kawasan terbabit dengan menumpukan empat bidang utama yang dianggap mampu menambah pendapatan penduduk dan seterusnya mampu keluar daripada kelompok kemiskinan.

“Sektor pertanian, perladangan, perikanan dan penternakan antara bidang yang boleh membantu golongan B40 untuk meningkatkan pendapatan,” katanya.

Sumber : https://www.teganukita.net/2019/04/semua-daerah-di-terengganu-sifar.html?m=1&fbclid=IwAR1MpynlOQnUJq_-3SiA9g4zGJIlYoi6gGnOIBa5BF_H8jNXChovW5JUSck

Read More !

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...